Persidangan Umum
Dengan Kuasa Tuhan dalam Kemuliaan yang Agung
Persidangan Umum Oktober 2021


13:16

Dengan Kuasa Tuhan dalam Kemuliaan yang Agung

(1 Nefi 14:14)

Menghormati perjanjian mensenjatai kita dengan kesolehan dan dengan kuasa Tuhan dalam kemuliaan yang agung.

Saya berdoa agar Roh Kudus akan menerangi dan meneguhkan kita semua semasa kita pertimbangkan pekerjaan keselamatan dan permuliaan yang menakjubkan dalam kegenapan zaman ini.

Kunjungan Pertama Moroni kepada Joseph Smith

Kira-kira tiga tahun selepas Penglihatan Pertama, pada malam 21 September 1823, pemuda Joseph Smith berdoa untuk menerima pengampunan dosa-dosanya dan mengetahui pendiriannya di hadapan Tuhan.1 Satu lembaga muncul di sisi katilnya, memanggil nama Joseph, dan mengisytiharkan bahawa “dia ialah seorang utusan yang diutus dari hadirat Tuhan … dan bahawa namanya adalah Moroni.” Dia menjelaskan “bahawa Tuhan memiliki suatu pekerjaan untuk [Joseph] lakukan”2 dan kemudian mengajarnya tentang kedatangan Kitab Mormon. Nyata sekali, Kitab Mormon adalah salah satu topik pertama yang ditujukan dalam pesanan Moroni.

Kitab Mormon adalah satu lagi kesaksian tentang Yesus Kristus dan alat penukar hati yang hebat pada zaman akhir. Tujuan kita berkongsi injil adalah untuk menjemput semua datang kepada Yesus Kristus,3 menerima berkat-berkat injil yang dipulihkan, dan bertahan sampai akhir melalui iman kepada Juruselamat.4 Membantu individu untuk mengalami perubahan hati yang hebat5 dan mengikat diri mereka kepada Tuhan melalui perjanjian dan tatacara kudus adalah objektif asas untuk mengkhutbahkan injil.

Pengenalan Kitab Mormon kepada Joseph Smith memulakan pekerjaan keselamatan dan permuliaan bagi individu-individu di sebelah tirai pada zaman kegenapan keagamaan.

Seterusnya, Moroni memetik dari kitab Maleakhi dalam Perjanjian Lama, dengan sedikit perbezaan penggunaan bahasa dalam versi Raja Yakobus:

“Lihatlah, Aku akan memberitahukan kepadamu Imamat, melalui tangan Nabi Elia, sebelum kedatangan hari Tuhan yang besar dan mengerikan.

“… Dan dia akan menanamkan dalam hati anak-anak janji-janji yang dibuat kepada para bapa nenek moyang, dan hati anak-anak akan berpaling kepada para bapa nenek moyang mereka. Jika tidak demikian, keseluruhan bumi akan sepenuhnya dilenyapkan pada kedatangan-Nya.”6

Tujuan pembinaan bait suci adalah untuk menyediakan tempat-tempat kudus di mana perjanjian dan tatacara kudus yang diperlukan untuk keselamatan dan permuliaan keluarga manusia dapat ditadbirkan, bagi yang hidup dan yang mati. Arahan Moroni kepada Joseph Smith tentang peranan penting Elia dan wewenang imamat mengembangkan pekerjaan keselamatan dan permuliaan di tirai ini dan memulakan dalam zaman keagamaan kita kerja bagi yang mati di sebelah tirai.

Ringkasannya, ajaran Moroni pada September 1823 tentang Kitab Mormon dan misi Elia menubuhkan landasan ajaran untuk pekerjaan keselamatan dan permuliaan di kedua-dua belah tirai.

Ajaran-ajaran Nabi Joseph Smith

Pelajaran-pelajaran yang Joseph Smith pelajari dari Moroni mempengaruhi setiap aspek pelayanannya. Contohnya, ketika perhimpunan takzim di Bait Suci Kirtland pada 6 April 1837, Nabi mengistyharkan: “Setelah segalanya yang telah dikatakan, tugas utama yang paling penting adalah untuk mengkhutbahkan Injil.”7

Hampir tujuh tahun kemudian, pada 7 April 1844, Joseph Smith telah memberi khutbah yang kini dikenali sebagai Wacana King Follett. Dia mengisytiharkan, “Tanggungjawab terbesar di dunia yang Tuhan telah letakkan ke atas diri kita adalah untuk mencari moyang kita.”8

Tetapi bagaimanakah mengkhutbahkan Injil dan mencari moyang kita menjadi satu tugas dan tanggungjawab terbesar yang Tuhan telah amanahkan? Saya percaya Nabi Joseph Smith tekankan dalam kedua-dua pernyataan kebenaran asas bahawa perjanjian, melalui tatacara imamat yang berwewenang, boleh mengikat kita kepada Tuhan Yesus Kristus dan merupakan inti penting dalam pekerjaan keselamatan dan permuliaan di kedua-dua belah tirai.

Pekerjaan penginjilan dan bait suci serta sejarah keluarga adalah aspek yang saling menyatukan dan saling bertumpu kepada perjanjian dan tatacara kudus yang membolehkan kita menerima kuasa ketuhanan dalam hidup kita dan, akhirnya, kembali ke hadirat Bapa Syurgawi. Oleh itu, dua kenyataan oleh Nabi yang pada mulanya mungkin kelihatan bercanggah, sebenarnya, menyerlahkan fokus pekerjaan zaman akhir ini.

Terikat Kepada Juruselamat Melalui Perjanjian dan Tatacara

Juruselamat berfirman:

“Ikutlah perintah-Ku dan terimalah ajaran-Ku, kerana aku ini lemah lembut dan rendah hati; kamu akan mendapat kesejahteraan.

“Perintah yang Aku berikan kepada kamu mudah diturut, dan beban yang Aku berikan mudah dipikul.”9

Kita mengambil kuk Juruselamat ke atas diri semasa kita belajar, layak menerima serta menghormati perjanjian dan tatacara kudus. Kita diikat dengan selamat kepada dan dengan Juruselamat apabila kita mengingati dengan beriman dan melakukan yang terbaik untuk hidup selaras dengan kewajipan-kewajipan yang kita telah terima. Dan ikatan bersama Dia adalah sumber kekuatan rohani dalam setiap musim kehidupan kita.

Umat Perjanjian Tuhan

Saya menjemput anda untuk pertimbangkan berkat-berkat yang dijanjikan kepada para pengikut Yesus Kristus yang mematuhi perjanjian. Contohnya, Nefi “nampak gereja Anak Domba Tuhan [di zaman akhir], dan bilangannya kecil, … orang Suci Tuhan, juga berada di atas seluruh permukaan bumi; dan jajahan-jajahan mereka … adalah kecil.”10

Dia juga “nampak kuasa Anak Domba Tuhan, bahawa ia turun ke atas orang suci gereja Anak Domba, dan ke atas umat perjanjian Tuhan, … dan mereka disenjatai dengan kesolehan dan dengan kuasa Tuhan dalam kemuliaan yang agung.”11

Frasa “disenjatai dengan kesolehan dan dengan kuasa Tuhan dalam kemuliaan yang agung” bukan hanya idea yang bagus atau contoh bahasa tulisan suci yang indah. Sebaliknya, berkat-berkat ini jelas terbukti dalam kehidupan ramai pengikut zaman akhir Tuhan.

Tugas saya sebagai ahli Dua Belas membawa saya ke seluruh dunia. Dan saya telah diberkati untuk bertemu dan belajar pengajaran yang tidak dapat dilupakan daripada anda semua. Saya bersaksi bahawa umat perjanjian Tuhan hari ini sesungguhnya disenjatai dengan kesolehan dan dengan kuasa Tuhan dalam kemuliaan yang agung. Saya telah menyaksikan iman, keberanian, perspektif, ketekunan dan kegembiraan yang melebihi keupayaan fana—hanya Tuhan yang boleh sediakan.

Saya telah menyaksikan kesolehan dan kuasa Tuhan dalam kemuliaan agung yang diterima melalui ketaatan perjanjian dan tatacara dalam kehidupan seorang ahli Gereja muda yang separuh lumpuh akibat kemalangan kenderaan yang teruk. Selepas beberapa bulan pemulihan dan menyesuaikan diri dengan gaya hidup baru dan mobiliti terbatasnya, saya bertemu dan bercakap dengan jiwa gagah ini. Dalam perbualan kami saya bertanya, “Apakah pelajaran yang anda peroleh dari pengalaman ini?” Jawapan segeranya ialah, “Saya tidak sedih. Saya tidak marah. Dan segalanya akan menjadi baik.”

Saya menyaksikan kesolehan dan kuasa Tuhan dalam kemuliaan agung yang diterima melalui pematuhan perjanjian dan tatacara dalam kehidupan ahli Gereja yang baru dibaptiskan dan ditetapkan. Para penganut ini ingin belajar dan melayani, bersedia tetapi sering tidak pasti bagaimana untuk mengetepikan tabiat lama dan tradisi yang kuat, namun gembira untuk menjadi “warga umat Tuhan bersama orang suci dan keluarga Tuhan.”12

Saya menyaksikan kesolehan dan kuasa Tuhan dalam kemuliaan agung yang diterima melalui pematuhan perjanjian dan tatacara dalam kehidupan keluarga yang mengambil berat terhadap pasangan dan ibu bapa yang sakit tenat. Para pengikut berani ini menggambarkan masa keluarga mereka berasa bersendirian—dan ketika mereka tahu tangan Tuhan telah mengangkat dan memperkuatkan mereka. Keluarga ini menyatakan kesyukuran ikhlas bagi pengalaman-pengalaman fana susah yang membolehkan kita berkembang dan menjadi lebih seperti Bapa Syurgawi dan Penebus kita, Yesus Kristus. Tuhan menyokong dan memberkati keluarga ini dengan penemanan Roh Kudus dan menjadikan rumah mereka suatu tempat perlindungan kudus seperti bait suci.

Saya menyaksikan kesolehan dan kuasa Tuhan dalam kemuliaan agung yang diterima melalui ketaatan perjanjian dan tatacara dalam kehidupan seorang ahli Gereja yang mengalami kedukaan akibat perceraian. Kesusahan rohani dan emosi saudari ini ditingkatkan oleh perasaan ketidakadilan yang berkaitan dengan pelanggaran perjanjian pasangannya dan kehancuran perkahwinan mereka. Dia mahu keadilan dan pertangggungjawaban.

Semasa wanita yang beriman ini bergelut dengan semua yang telah terjadi kepadanya, dia mengkaji dan merenungkan Korban Tebusan Juruselamat dengan lebih bersungguh-sungguh dari sebelumnya. Secara beransur, pemahaman yang mendalam tentang misi penebusan Kristus meresap ke dalam jiwanya—penderitaan-Nya untuk dosa-dosa kita serta juga kelukaan, kelemahan, kekecewaan dan kepedihan kita. Dan dia diilhami untuk menanya dirinya soalan yang menembusi: memandangkan harga dosa-dosa itu telah pun dibayar, adakah anda akan menuntut agar ia dibayar dua kali? Dia sedar bahawa keperluan seperti itu tidak adil atau berbelas kasihan.

Wanita ini belajar bahawa mengikat dirinya kepada Juruselamat melalui perjanjian dan tatacara dapat menyembuhkan luka yang disebabkan oleh penggunaan hak pilihan moral orang lain yang tidak soleh dan membolehkan dia memperoleh keupayaan untuk mengampun dan menerima kedamaian, belas kasihan, dan kasih sayang.

Janji dan Kesaksian

Janji dan berkat perjanjian hanya boleh terjadi kerana Juruselamat kita, Yesus Kristus. Dia menjemput kita untuk lihat kepada Dia,13 datang kepada-Nya,14 belajar tentang Dia,15 dan mengikat diri kita kepada-Nya16 melalui perjanjian dan tatacara injil-Nya yang dipulihkan. Saya bersaksi dan berjanji bahawa menghormati perjanjian mensenjatai kita dengan kesolehan dan dengan kuasa Tuhan dalam kemuliaan yang agung. Dan saya bersaksi bahawa Tuhan Yesus Kristus yang hidup adalah Juruselamat kita. Saya bersaksi akan kebenaran ini dalam nama kudus Yesus Kristus, amin.