Kasih Tuhan: Yang Paling Membahagiakan Kepada Jiwa
Kasih Tuhan tidak terdapat dalam keadaan hidup kita, tetapi dalam hadirat-Nya di kehidupan kita.
Saudara dan saudari, adakah anda tahu betapa Tuhan, Bapa Syurgawi kita, mengasihi anda? Pernahkah anda rasa kasih-Nya dalam jiwa anda?
Apabila anda tahu dan faham betapa anda dikasihi sebagai anak Tuhan, ia mengubah segalanya. Ia mengubah tanggapan tentang diri anda apabila anda membuat kesilapan. Ia mengubah perasaan anda apabila perkara-perkara sukar berlaku. Ia mengubah pandangan anda tentang perintah-perintah Tuhan. Ia mengubah pandangan anda tentang orang lain dan keupayaan anda untuk melakukan perubahan.
Elder Jeffrey R. Holland berkata: “Saudara dan saudari, perintah pertama yang besar untuk seluruh keabadian adalah untuk mengasihi Tuhan dengan seluruh hati, daya, minda, dan kekuatan kita—itulah perintah pertama yang besar. Tetapi kebenaran pertama yang besar untuk seluruh keabadian adalah bahawa Tuhan mengasihi kita dengan sepenuh hati, daya, fikiran dan kekuatan-Nya.”1
Bagaimanakah kita dapat tahu dalam jiwa kita kebenaran besar keabadian itu?
Nabi Nefi ditunjukkan dalam sebuah penglihatan bukti kasih Tuhan yang paling berkuasa. Apabila melihat pokok kehidupan, Nefi meminta untuk mengetahui tafsirannya. Sebagai jawapan, malaikat tunjukkan Nefi sebuah kota, seorang ibu, dan seorang bayi. Semasa Nefi lihat kota Nasaret dan Maria, mendukung bayi Yesus, malaikat itu mengisytiharkan, “Lihatlah Anak Domba Tuhan, ya, bahkan Putera kepada Bapa yang Abadi!”2
Pada saat kudus itu, Nefi faham bahawa pada kelahiran Juruselamat, Tuhan tunjukkan kasih-Nya yang suci dan lengkap. Kasih Tuhan, Nefi bersaksi,”mencurahkan diri-Nya merata-rata di dalam hati anak manusia.”3
Kita boleh gambarkan kasih Tuhan sebagai cahaya yang datang dari pokok kehidupan, mencurahkan diri ke seluruh bumi dan ke dalam hati anak-anak manusia. Cahaya dan kasih Tuhan meresap ke seluruh ciptaan-Nya.4
Kadangkala kita tersilap berfikir bahawa kita boleh merasakan kasih Tuhan hanya selepas kita mengikuti batang besi dan makan buah itu. Tetapi, kasih Tuhan bukan sahaja untuk mereka yang datang ke pokok itu tetapi ia adalah kuasa yang mendorong kita untuk mencari pokok itu.
“Oleh kerana itu, ia adalah yang paling dihasratkan melebihi segala-galanya,” Nefi mengajar, dan malaikat itu berseru, “Ya, dan yang paling membahagiakan bagi jiwa.”5
Dua puluh tahun lalu, seorang ahli keluarga yang dikasihi tinggalkan Gereja. Dia ada banyak soalan yang belum dijawab. Isterinya, seorang penganut baru, tetap beriman. Mereka berusaha memelihara perkahwinan mereka dalam kesukaran yang muncul.
Tahun lepas dia menulis tiga soalan tentang Gereja yang sukar bagi dia untuk mendamaikan dan menghantarnya kepada dua pasangan yang adalah kawannya selama beberapa tahun. Dia jemput mereka untuk merenungkan soalan-soalan itu dan makan malam bersama untuk kongsi pendapat mereka.
Selepas kunjungan ini, dia masuk ke biliknya dan mula bekerja dalam satu projek. Perbualan dan kasih kawan-kawannya muncul di mindanya. Dia menulis bahawa dia terdorong untuk hentikan pekerjaannya. Dia berkata: “Cahaya yang terang memenuhi jiwa saya. … Saya tahu perasaan penerangan yang mendalam ini, tetapi ia terus berkembang lebih kuat dari sebelumnya dan berlangsung selama beberapa minit. Saya duduk senyap dengan perasaan itu, dan saya faham ia pernyataan kasih Tuhan kepada saya. … Saya rasa dorongan rohani bahawa saya boleh kembali ke gereja dan menyatakan kasih Tuhan ini dalam apa yang saya lakukan di sana.”
Dia kemudian tertanya tentang soalannya. Dia terima perasaan bahawa Tuhan menghormati soalan-soalannya, dan meskipun tiada jawapan yang jelas ia tidak harus tahannya dari maju ke hadapan.6 Dia harus kongsi kasih Tuhan dengan semua orang semasa dia terus merenungkan. Apabila dia bertindak atas dorongan itu, dia rasa seperti Joseph Smith, yang berkata selepas Penglihatan Pertamanya, “Jiwaku dipenuhi dengan kasih, dan selama berhari-hari aku dapat bersukacita dengan kebahagiaan yang besar.”7
Beberapa bulan kemudian, ahli keluarga ini terima panggilan sama seperti yang dia pegang 20 tahun sebelum ini. Kali pertama dia memegang panggilan itu, dia melaksanakannya sebagai ahli Gereja yang bertanggungjawab. Sekarang, dia tidak tanya “Bagaimanakah saya boleh memenuhi panggilan ini?” tetapi “Bagaimanakah saya dapat tunjukkan kasih Tuhan melalui pelayanan saya?” Dengan ini dia merasakan kebahagiaan, makna dan tujuan besar dalam semua aspek panggilannya.
Saudara dan saudari, bagaimana kita boleh menerima kuasa kasih Tuhan? Nabi Mormon menjemput kita untuk “berdoalah kepada Bapa dengan sekuat tenaga hati, agar kamu boleh dipenuhi dengan kasih ini, yang telah Dia berikan kepada semua yang merupakan pengikut sejati Putera-Nya, Yesus Kristus.”8 Mormon bukan sahaja menjemput kita untuk berdoa agar kita boleh dipenuhi kasih-Nya kepada orang lain tetapi untuk berdoa agar kita boleh tahu kasih suci Tuhan untuk diri kita.9
Apabila kita menerima kasih-Nya, kita mendapat kegembiraan yang lebih besar dalam berusaha untuk mengasihi dan melayani seperti Dia, menjadi “pengikut sejati Putera-Nya, Yesus Kristus.”10
Kasih Tuhan tidak terdapat dalam keadaan hidup kita, tetapi dalam hadirat-Nya di kehidupan kita. Kita tahu tentang kasih-Nya apabila menerima kekuatan melebihi kekuatan kita sendiri dan apabila Roh-Nya membawa kedamaian, ketenangan dan bimbingan. Adakalanya susah untuk merasai kasih sayang-Nya. Kita boleh doa agar mata kita terbuka untuk melihat pengaruh-Nya dalam kehidupan kita dan kasih-Nya dalam keindahan cipataan-Nya.
Semasa kita renungkan hidup Juruselamat dan pengorbanan abadi-Nya, kita mula fahami kasih-Nya bagi kita. Kita menyanyi perkataan Eliza R. Snow: “Darah mulia dan jiwa-Nya, Rela dib’rikan-Nya.”11 Kerendahan hati Yesus dalam penderitaan bagi kita turun pada jiwa kita, membuka hati kita untuk mencari keampunan dari tangan-Nya dan memenuhi kita dengan hasrat untuk hidup seperti Dia.12
Presiden Russell M. Nelson menulis, “Semakin komited kita untuk mencorakkan kehidupan kita menurut kehidupan-Nya, kasih kita menjadi lebih suci dan lebih ilahi.”13
Anak saya memberitahu: “Sewaktu berumur 11, kawan-kawan dan saya memutus untuk sembunyikan diri daripada pengajar dan ponteng waktu pertama kelas Sekolah Primer. Apabila kami tiba, kami terkagum, pengajar itu menyambut kami dengan mesra. Dia berdoa dengan tulus hati dan bersyukur kepada Tuhan kerana kami pilih untuk datang ke kelas pada hari itu menurut kehendak bebas kami sendiri. Saya tidak ingat topik pengajaran itu, bahkan nama pengajar kami tetapi, 30 tahun kemudian, saya masih terharu dengan kasih suci yang dia tunjukkan kepada saya hari itu.”
Lima tahun yang lalu, saya lihat contoh kasih ilahi semasa hadiri Sekolah Primer di Rusia. Saya lihat seorang saudari berlutut di depan dua anak dan bersaksi kepada mereka bahawa walaupun mereka satu-satunya yang hidup di bumi, Yesus akan menderita dan mati untuk mereka.
Saya bersaksi bahawa Tuhan dan Juruselamat kita mati untuk kita. Ia merupakan pernyataan kasih-Nya yang tidak terhingga bagi kita dan Bapa-Nya.
“Dia Hidup Sang Penebusku. Lega dengar khabar ini! … Hidup ‘tuk memberkati [kita] dengan kasih-Nya.”14
Semoga kita membuka hati kita untuk menerima kasih suci yang Tuhan miliki untuk kita dan kemudian mencurahkan kasih-Nya dalam segala yang kita lakukan. Dalam nama kudus Yesus Kristus, amin.