Persidangan Umum
Ingatlah Para Orang Suci-Mu yang Menderita, Ya Tuhan Kami
Persidangan Umum Oktober 2021


Ingatlah Para Orang Suci-Mu yang Menderita, Ya Tuhan Kami

Mentaati perjanjian-perjanjian membuka kuasa korban tebusan Yesus Kristus untuk memberikan kekuatan dan kegembiraan kepada anda yang menderita.

Rancangan kegembiraan Bapa Syurgawi termasuk pengalaman fana di mana semua anak-Nya akan diuji dan menghadapi percubaan.1 Lima tahun yang lalu, saya didiagnosis dengan kanser. Saya telah rasa kesakitan jasmani dari pembedahan, rawatan radiasi dan kesan-kesan sampingan ubatan. Saya telah mengalami pergelutan emosi yang sangat menyakitkan sehingga tidak dapat tidur. Statistik perubatan menunjukkan saya mungkin akan meninggal dunia lebih awal daripada yang saya harapkan, meninggalkan keluarga yang merupakan segala-galanya kepada saya.

Tidak kira di mana anda tinggal, penderitaan jasmani atau emosi dari pelbagai percubaan dan kelemahan fana, adalah sekarang, atau suatu hari nanti akan menjadi sebahagian kehidupan anda.

Penderitaan jasmani boleh mengakibatkan penuaan semula jadi, penyakit yang tidak dijangka, dan kemalangan rawak; kelaparan atau ketidaksolehan; atau penganiayaan, keganasan dan peperangan.

Penderitaan emosi boleh timbul dari keresahan atau kemurungan; pengkhianatan pasangan, ibu bapa atau pemimpin yang dipercayai; pekerjaan atau rintangan kewangan; penghakiman yang tidak adil oleh orang lain; pilihan kawan, anak-anak atau ahli keluarga yang lain; penganiayaan dalam pelbagai bentuknya; impian tentang perkahwinan atau anak-anak yang tidak dipenuhi; kesakitan serious atau kematian orang yang dikasihi terlalu awal; atau banyak sumber lain.

Bagaimanakah anda boleh menahan penderitaan unik dan kadang-kadang melemahkan setiap kita?

Syukurnya, harapan boleh ditemui dalam injil Yesus Kristus, dan harapan juga boleh menjadi sebahagian kehidupan anda. Hari ini saya berkongsi empat asas harapan yang diambil dari tulisan suci, ajaran nabi, kunjungan pelayanan, dan percubaan kesihatan saya sendiri yang berterusan. Asas-asas ini boleh digunakan secara umum serta peribadi.

Pertama, penderitaan tidak bermakna Tuhan tidak berkenan dengan kehidupan anda. Dua ribu tahun yang lalu, para pengikut Yesus melihat seorang lelaki buta di bait suci dan bertanya, “Guru, siapakah yang berdosa sehingga orang ini dilahirkan buta? Diakah atau ibu bapanya?”

Para pengikut-Nya telah tersalah, seperti banyak orang hari ini, bahawa segala kesusahan dan penderitaan dalam kehidupan datang akibat dosa. Tetapi Yesus menjawab, “Orang ini buta bukan kerana dosanya sendiri ataupun dosa ibu bapanya, tetapi supaya kuasa Tuhan boleh dinyatakan dalam hidupnya.”2

Pekerjaan Tuhan adalah untuk mendatangkan kebaqaan dan kehidupan abadi kita.3 Tetapi bagaimana percubaan dan penderitaan—terutamanya penderitaan yang disebabkan oleh hak pilihan orang yang berdosa4—akhirnya memajukan pekerjaan Tuhan?

Tuhan memberitahu umat perjanjian-Nya, “Aku telah menguji kamu dengan api kesengsaraan.”5 Tidak kira apa pun sebab penderitaan anda, Bapa Syurgawi yang penuh kasih boleh mengarahkannya untuk menyempurnakan jiwa anda.6 Jiwa-jiwa yang disempurnakan boleh menanggung beban orang lain dengan empati dan rasa kasihan yang sejati.7 Jiwa-jiwa yang disempurnakan datang “melalui masa penganiayaan yang dahsyat itu” disediakan untuk hidup dengan gembira di hadirat Tuhan buat selama-lamanya, dan “Tuhan akan menyapu air mata mereka.”8

Kedua, Bapa Syurgawi peka tentang penderitaan anda. Walaupun di tengah percubaan, kita mungkin fikir Tuhan jauh dan tidak peduli tentang kesakitan kita. Bahkan Nabi Joseph Smith menyatakan perasaan ini pada titik rendah dalam hidupnya. Apabila dipenjarakan di Penjara Liberty sementara beribu-ribu Orang Suci Zaman Akhir dihalau dari rumah mereka, Joseph mencari pemahaman melalui doa: “Ya Tuhan, di manakah Engkau? Dan di manakah khemah yang menutupi tempat persembunyian-Mu?” Dia mengakhiri dengan rayuan ini: “Ingatlah para orang suci-Mu yang menderita.”9

Jawaban Tuhan menyenangkan Joseph dan semua orang yang menderita:

“Anak-Ku, damai sejahteralah bagi jiwamu; kesusahanmu dan kesengsaraanmu akan menjadi bahkan suatu saat yang kecil;

“Dan kemudian, jika engkau bertahan di dalamnya dengan baik, Tuhan akan memuliakan engkau di syurga,”10

Ramai Orang Suci yang menderita telah berkongsi dengan saya bagaimana mereka merasa kasih Tuhan semasa percubaan mereka. Saya ingat satu pengalaman dalam pertempuran kanser saya apabila doktor belum mendiagnosis faktor-faktor kesakitan yang teruk. Saya duduk bersama isteri saya, berniat untuk memberkati makanan tengah hari kami. Sebaliknya, saya hanya mampu menangis, “Bapa Syurgawi, tolonglah saya. Saya sangat sakit.” Selama 20 hingga 30 saat seterusnya, saya dikelilingi oleh kasih-Nya. Aku tidak diberikan alasan untuk kesakitan saya, tiada petunjuk tentang hasil muktamad dan tidak ada kelegaan dari kesakitan. Saya hanya merasakan kasih suci-Nya, dan itu cukup.

Saya bersaksi bahawa Bapa Syurgawi kita, sedar kejatuhan seekor burung pipit, sedar akan penderitaan anda.11

Ketiga, Yesus Kristus menawarkan kuasa-Nya yang membolehkan untuk membantu anda mempunyai kekuatan untuk menahan penderitaan anda dengan baik. Kuasa yang membolehkan ini dimungkinkan melalui Korban Tebusan-Nya.12 Saya khuatir terlalu ramai ahli Gereja berfikir jika mereka sedikit lebih kuat mereka dapat mengatasi penderitaan berseorangan. Ini cara yang susah untuk hidup. Kekuatan sementara anda tidak boleh dibandingkan dengan bekalan kuasa Juruselamat yang tidak terhingga untuk mengukuhkan jiwa anda.13

Kitab Mormon mengajar Yesus Kristus akan “mengambil ke atas diri-Nya” kesakitan, penyakit dan kelemahan kita supaya Dia dapat menyokong kita.14 Bagaimanakah anda boleh menggunakan kuasa yang Yesus Kristus tawarkan untuk menyokong anda dan menguatkan anda pada masa penderitaan? Jawapannya adalah untuk mengikat diri anda kepada Juruselamat dengan mematuhi perjanjian yang anda telah buat dengan-Nya. Kita membuat perjanjian ini ketika kita menerima tatacara imamat.15

Orang-orang Alma masuk ke dalam perjanjian pembaptisan. Kemudian mereka menderita dalam perhambaan dan dilarang untuk menyembah secara awam atau berdoa dengan lantang. Namun mereka mentaati perjanjian mereka sebaiknya dengan berdoa dengan senyap dalam hati mereka. Sebagai hasilnya, kuasa ilahi datang. “Tuhan menguatkan mereka agar mereka dapat menanggung beban mereka dengan mudah.”16

Pada zaman kita, Juruselamat menjemput, “Pandanglah kepada-Ku dalam setiap pemikiran; janganlah ragu, janganlah takut.”17 Apabila kita mentaati perjanjian sakramen untuk selalu mengingati-Nya, Dia berjanji bahawa Roh-Nya akan bersama kita. Roh memberi kita kekuatan untuk menahan cubaan dan melakukan apa yang kita tidak boleh lakukan sendiri. Roh boleh menyembuhkan kita, seperti Presiden James E. Faust mengajar, “Sebahagian daripada penyembuhan boleh mengambil tempat selepas hidup ini.”18

Kita juga diberkati oleh perjanjian dan tatacara bait suci, di mana “kuasa ketuhanan dinyatakan.”19 Saya melawat seorang wanita yang kehilangan anak perempuan dalam kemalangan yang dahsyat, kemudian suaminya kerana kanser. Saya bertanya bagaimana dia boleh bertahan kehilangan dan penderitaan seperti itu. Dia menjawab kekuatan itu datang dari keyakinan rohani tentang keluarga abadi yang diterima semasa penyembahan bait suci biasa. Seperti yang dijanjikan, tatacara-tatacara rumah Tuhan telah melengkapkan dia dengan kuasa Tuhan.20

Keempat, pilih untuk mencari kegembiraan setiap hari. Mereka yang sering menderita berasa seperti kegelapan malam berterusan selama-lamanya, dan fajar tidak akan datang. Tidak mengapa untuk menangis.21 Tetapi jika anda dapati diri anda dalam malam-malam gelap penderitaan, dengan memilih iman anda boleh bangun pada pagi yang terang bersukacita .22

Contohnya, saya melawat seorang ibu muda yang dirawat kerana kanser, tersenyum lebar di kerusinya walaupun dia sakit dan kekurangan rambut. Saya bertemu pasangan pertengahan umur yang gembira melayani sebagai pemimpin remaja walaupun mereka tidak dapat beranak. Saya duduk bersama seorang wanita—nenek, ibu dan isteri—yang akan meninggal dunia dalam beberapa hari; namun di tengah-tengah air mata keluarga adalah keriangan dan kenangan ceria.

Penderitaan Orang Suci ini menjadi teladan yang Presiden Russell M. Nelson telah ajari:

‘Sukacita yang kita rasai tidak berkait dengan situasi hidup kita tetapi berkait dengan fokus hidup kita.

“Apabila tumpuan hidup kita berdasarkan rancangan keselamatan Tuhan … dan Yesus Kristus dan injil-Nya, kita akan dapat merasa kegembiraan tidak kira apa yang berlaku—atau tidak berlaku—dalam hidup kita.”23

Saya bersaksi24 Bapa Syurgawi kita mengingati Orang Suci-Nya yang menderita, mengasihi anda dan peka tentang anda. Juruselamat kita tahu perasaan anda. “Pastilah dia telah menanggung kepiluan kita, dan memikul dukacita kita.”25 Saya tahu—sebagai seorang penerima26—mentaati perjanjian-perjanjian membuka kuasa korban tebusan Yesus Kristus untuk memberikan kekuatan dan bahkan kegembiraan kepada anda yang menderita.

Bagi semua orang yang menderita, saya berdoa, “Semoga Tuhan mengabulkan bagimu agar bebanmu boleh menjadi ringan, melalui kebahagiaan Putera-Nya.”27 Dalam nama Yesus Kristus, amin.