Persidangan Umum
Perkara-Perkara Jiwaku
Persidangan Umum Oktober 2021


13:4

Perkara-Perkara Jiwaku

Apakah perkara yang anda renungkan? Apakah perkara yang benar-benar penting bagi anda? Apakah perkara-perkara jiwa anda?

Saudara dan saudari, berdiri lagi di Pusat Persidangan ini, saya diingatkan tentang kata-kata Rasul Petrus: “Tuhan, sungguh baik kami di sini.”1

Fikiran saya hari ini berpusat pada kata-kata nabi Nefi, yang menyimpan catatan bangsanya selepas kematian Lehi. Nefi menulis, “Dan di atas ini aku menulis perkara-perkara jiwaku.”2

Saya baca, dan fikir perkataan perkara-perkara bukanlah sangat elegan atau rohani, tidak sesuai dipasangkan dengan “jiwaku.” Namun saya pelajari, perkataan perkara-perkara digunakan dalam tulisan suci sebanyak 2,354 kali.3 Contoh, dalam Musa: “Akulah Yang Awal dan Yang Akhir, Tuhan Yang Maha Kuasa; melalui Anak Tunggal-Ku Aku menciptakan hal-hal ini.”4 Dan kata Nefi: “Lihatlah, jiwaku bersukacita akan perkara-perkara Tuhan; dan hatiku merenung secara berterusan berkenaan hal-hal yang telah aku lihat dan dengar.”5

Kata-kata Nefi timbulkan soalan seperti “Apakah perkara yang anda renungkan?” “Apakah perkara yang benar-benar penting bagi anda?” “Apakah perkara-perkara jiwa anda?”

Perkara-perkara jiwa kita sering dijelaskan dan diperdalamkan dengan bertanya soalan.

Elder Rasband dalam pertemuan maya
Pertemuan rohani Remaja
Siaran pemuda dan pemudi

Semasa pandemik, saya telah bertemu para remaja dari seluruh dunia dalam pertemuan rohani, melalui siaran dan media sosial, dan bincangkan soalan-soalan mereka.

Joseph Smith ketika berusia 14 tahun, jiwanya mempunyai soalan, dan dia bawakan kepada Tuhan. Presiden Russell M. Nelson menekankan: “Tujukan soalan anda kepada Tuhan dan sumber-sumber lain yang boleh dipercayai. Kajilah dengan hasrat untuk percaya dan bukan dengan harapan anda dapat temukan kecacatan dalam kehidupan nabi atau percanggahan dalam tulisan suci. Hentikan peningkatan keraguan anda dengan berbincang dengan orang yang juga ragu. Izinkan Tuhan memimpin anda dalam perjalanan penemuan rohani anda.”6

Para remaja sering tanya apa yang saya percaya dan mengapa.

Saya bertemu seorang remaja puteri di rumahnya secara maya. Saya tanya jika ini kali pertama Rasul ada di rumahnya. Dia cepat senyumn dan menjawab, “Ya.” Soalan dia untuk saya: “Apakah perkara yang paling penting saya perlu tahu?”

Saya jawab dengan perkara-perkara jiwaku, hal-hal yang sediakan saya untuk dengar dorongan, yang mengangkat pandangan saya, yang memberi tujuan dalam injil dan kehidupan saya.

Bolehkah saya kongsi dengan anda beberapa perkara-perkara dari jiwa saya? Hal-hal ini berguna untuk semua yang berusaha menjadi pengikut sejati Yesus Kristus. Sepuluh adalah nombor yang baik dan genap. Tapi saya berikan tujuh perkara, dan harap anda akan lengkapkan lapan, sembilan, dan sepuluh melalui pengalaman sendiri.

Pertama, kasihi Tuhan Bapa dan Yesus Kristus, Juruselamat kita.

Yesus menjawab: “Kasihilah Tuhan Rajamu dengan sepenuh hatimu, dengan segenap jiwamu dan dengan seluruh akalmu.”7

Presiden Nelson isytiharkan pengabdian kepada Tuhan, Bapa Abadi kita, dan kepada Putera-Nya, Yesus Kristus, ketika dipanggil untuk memimpin Gereja Tuhan, berkata, “Saya mengenali Mereka, mengasihi Mereka, dan berjanji untuk melayani Mereka—dan anda—dengan setiap nafas yang masih ada dalam kehidupan saya.”8

Jadi pertama, kasihilah Bapa dan Putera.

Kedua, “Kasihilah sesama manusia.”9

Ia bukan hanya idea baik; ini perintah kedua yang utama. Sesama manusia ialah pasangan dan keluarga anda, ahli bahagian, rakan sekerja, rakan bilik, bukan ahli Gereja, mereka yang perlukan bantuan, jujurnya, semua orang. Intipati “kasihilah sesama manusia” disuarakan dalam lagu rohani “Saling Mengasihi.”10

Presiden Nelson mengingatkan kita, “Apabila kita mengasihi Tuhan dengan segala hati kita, Dia memalingkan hati kita kepada kesejahteraan orang lain.”11

Ketiga, kasihi diri anda.

Inilah yang susah. Hairan bukan, mengasihi diri kita adalah lebih susah daripada mengasihi orang lain. Namun, Tuhan berfirman, “Kasihilah sesama manusia seperti kamu mengasihi dirimu sendiri.”12 Tuhan menghargai keilahian kita, dan demikian juga kita. Apabila kita dibebani kesalahan, sakit hati, perasaan kekurangan, kekecewaan, kemarahan, atau dosa, kuasa Korban Tebusan Juruselamat, melalui rancangan ilahi, adalah satu perkara yang mengangkat jiwa.

Keempat, taati perintah.

Tuhan jelaskan: “Jika kamu mengasihi Aku, kamu akan mentaati perintah-perintah-Ku.”13 Berusaha setiap hari untuk menjadi lebih baik dan maju dalam kesolehan.

Kelima, selalu layak menghadiri bait suci.

Saya memanggilnya sebagai layak kepada Tuhan. Sama ada anda dapat hadir bait suci atau tidak, menjadi layak untuk kad rekomen bait suci semasa memastikan anda tumpukan pada hal-hal yang penting, jalan perjanjian.

Keenam, bersukacita dan cerialah.

“Jadilah riang, dan janganlah takut,”14 firman Tuhan. Mengapa? Bagaimana, sedangkan cabaran sentiasa datang? Kerana janji Yesus Kristus: “Aku Tuhan bersertamu, dan akan berdiri di sisimu.”15

Presiden Nelson menjelaskan injil yang dipulih seperti “satu pesanan kegembiraan!”16, dan menjelaskan, “Kebahagiaan yang kita rasai tidak berkait dengan situasi hidup kita tetapi berkait dengan fokus hidup kita.”17

Ketujuh, ikut nabi hidup Tuhan.

Ini hal ketujuh dalam senarai saya, tetapi ia teratas di minda saya dari segi kepentingannya hari ini.

Kita mempunyai seorang nabi Tuhan di bumi hari ini! Jangan anda rendahkan maknanya itu. Ingat remaja puteri yang saya sebut tadi. Dia ingin tahu perkara yang paling penting. “Ikutlah nabi hidup,” kata saya dan saya tekankan lagi hari ini.

Kita dikenali sebagai Gereja yang dipimpin oleh nabi, pelihat dan pewahyu yang Tuhan panggil untuk waktu ini. Saya berjanji semasa anda mendengar dan mengikuti nasihat mereka, anda tidak akan sesat. Tidak akan!

Kita hidup dalam zaman “yang diumbang-ambingkan,”18 ketika kerohanian, kesombongan, integriti, dan rasa hormat diserang. Kita perlu memilih. Kita ada suara Tuhan melalui nabi-Nya untuk tenangkan ketakutan dan mengangkat pandangan kita, kerana Presiden Nelson berbicara untuk Tuhan.

Kita diberkati dengan tulisan suci dan ajaran-ajaran yang ingatkan kita, “Fikiran-Ku bukan seperti fikiran kamu, dan jalan-Ku bukan seperti jalan kamu.”19

Demikianlah Naaman, seorang pemimpin hebat tentera Siria, menghidap kusta, yang diberitahu nabi Elisa boleh sembuhkannya. Elisa minta orang suruhannya beritahu Naaman untuk mandi tujuh kali di Sungai Yordan dan akan jadi bersih. Naaman mencemuh. Ada sungai yang lebih hebat daripada Sungai Yordan, dan mengapa hantar orang suruhan sedangkan dia menantikan nabi Elisa sendiri untuk sembuhkannya? Naaman pergi tetapi dipujuk oleh hamba-hambanya: “Jika nabi itu menyuruh tuan melakukan perkara yang susah, tentu tuan akan melakukannya.”20 Akhirnya dia membenamkan dirinya tujuh kali di Sungai Yordan dan sembuh.

Laporan Naaman mengingatkan kita tentang risiko memilih nasihat nabi yang sesuai dengan pemikiran kita, jangkaan, atau norma hari ini. Nabi sentiasa mengarahkan kita ke Sungai Yordan untuk kita disembuhkan.

Kata-kata paling penting yang boleh kita dengar, renungkan, dan ikuti adalah yang nabi hidup kita ungkapkan. Saya bersaksi, saya duduk berunding bersama Presiden Nelson untuk membincangkan hal-hal Gereja dan dunia, dan saya telah melihat wahyu datang melalui dia. Dia mengenali Tuhan, dia tahu cara-cara Tuhan, dan dia menghasratkan semua anak Tuhan akan mendengar Tuhan Yesus Kristus.

Bertahun-tahun kita mendengar kata-kata nabi dua kali setahun di persidangan umum. Tetapi dengan isu-isu rumit zaman kita, Presiden Nelson kerap berucap dalam forum,21 media sosial,22 pertemuan rohani,23 dan taklimat.24 Saya perhatikan dia bersedia dan menyampaikan pesanan-pesanan berwahyu yang galakkan lebih kesyukuran, rasa tergolong bagi semua orang di bumi, dan meningkatkan kedamaian, harapan, kebahagiaan, kesihatan, dan penyembuhan dalam kehidupan peribadi kita.

Presiden Nelson seorang penyampai yang berbakat, tetapi yang lebih penting, dia ialah nabi Tuhan. Bila difikirkan ia menakjubkan, tetapi penting untuk sedar arahan jelas nabi akan melindungi kita semua dari penipuan, kelicikan, dan cara sekular yang semakin biasa di dunia hari ini.25

Jubah kenabian adalah tentang wahyu. “Pemulihan Kegenapan Injil Yesus Kristus: Perisytiharan Ulang Tahun Ke-200 kepada Dunia,” diberikan pada persidangan umum April 2020, menekankan Tuhan sedang mengarahkan pekerjaan ini. Dalam perisytiharan ini, Presidensi Utama dan Kuorum Dua Belas Rasul menyatakan: “Kami dengan gembira mengisytiharkan bahawa Pemulihan yang dijanjikan maju melalui wahyu yang berterusan. Bumi tidak akan sama lagi, kerana Tuhan akan ‘menyatukan segala sesuatu dengan Kristus’ (Efesus 1:10).”26

“Segala sesuatu dalam Kristus”27 dan “perkara-perkara jiwaku”28 adalah semua tentang Gereja ini, Injil ini, dan orang-orang ini.

Saya tutup dengan jemputan bagi anda semua untuk pertimbangkan tujuh “perkara-perkara jiwaku” yang saya kongsi hari ini: Kasihilah Tuhan Bapa dan Yesus Kristus, Juruselamat kita; kasihilah sesama manusia; kasihi diri; taati perintah; selalu layak untuk kad rekomen bait suci; bersukacita dan cerialah; dan ikut nabi hidup Tuhan. Saya jemput anda untuk mengenal pasti perkara kelapan sehingga kesepuluh anda sendiri. Pertimbangkan untuk berkongsi “perkara-perkara” tulus anda dengan orang lain dan galakkan mereka untuk berdoa, merenung, dan mencari bimbingan Tuhan.

Perkara-perkara jiwa berharga bagi saya, sama juga bagi anda. Hal-hal ini memperkuatkan pelayanan kita dalam Gereja dan setiap aspek kehidupan. Ia ikat kita kepada Yesus Kristus, ingatkan kita tentang perjanjian kita, dan bantu kita rasa selamat di tangan Tuhan. Saya bersaksi Tuhan berhasrat agar jiwa kita “tidak akan pernah lapar mahupun haus, tetapi akan kenyang”29 dengan kasih-Nya semasa kita berusaha menjadi pengikut sejati-Nya, menjadi satu dengan-Nya seperti Dia dan Bapa. Dalam nama Yesus Kristus, amin.