Bahagian 101
Wahyu yang diberikan kepada Nabi Joseph Smith, di Kirtland, Ohio, 16Â dan 17Â Disember 1833. Pada waktu ini para Orang Suci yang telah berkumpul di Missouri sedang menderita penganiayaan yang besar. Kumpulan-kumpulan perusuh telah menghalau mereka dari rumah mereka di Jackson County; dan sebahagian daripada Orang Suci telah cuba untuk menempatkan diri mereka di Van Buren, Lafayette, dan Ray Counties, tetapi penganiayaan mengikuti mereka. Perkumpulan utama para Orang Suci pada waktu itu berada di Clay County, Missouri. Ancaman kematian terhadap para individu di Gereja adalah banyak. Para Orang Suci di Jackson County telah kehilangan perabot rumah, pakaian, haiwan ternakan, dan harta benda peribadi yang lain; dan banyak hasil tanaman mereka telah dihancurkan.
1–8, Para Orang Suci dihukum dan disengsarakan kerana pelanggaran mereka; 9–15, Kemarahan Tuhan akan jatuh ke atas bangsa-bangsa itu, tetapi umat-Nya akan dikumpulkan dan dihiburkan; 16–21, Sion dan pancang-pancangnya akan ditegakkan; 22–31, Alam kehidupan semasa Milenium dinyatakan; 32–42, Para Orang Suci akan diberkati dan diberi ganjaran pada waktu itu; 43–62, Perumpamaan orang bangsawan dan pokok zaitun menandakan kesusahan dan penebusan Sion pada akhirnya; 63–75, Para Orang Suci harus terus berkumpul bersama; 76–80, Tuhan menegakkan Perlembagaan Amerika Syarikat; 81–101, Para Orang Suci mesti menuntut ganti rugi di atas kesengsaraan, menurut perumpamaan wanita dan hakim yang tidak adil.
1 Sesungguhnya Aku berfirman kepadamu, tentang saudara-saudaramu yang telah disengsarakan, dan dianiaya, dan diusir dari negeri warisan mereka—
2 Aku, Tuhan, telah membiarkan kesengsaraan melanda mereka, yang dengannya mereka telah disengsarakan, sebagai akibat daripada pelanggaran mereka.
3 Namun Aku akan memiliki mereka, dan mereka akan menjadi milik-Ku pada hari itu apabila Aku akan datang untuk mengumpulkan permata-permata-Ku.
4 Oleh kerana itu, mereka mestilah perlu dihukum dan dicubai, bahkan seperti Abraham, yang telah diperintahkan untuk mempersembahkan satu-satunya anak lelakinya.
5 Kerana mereka semua yang tidak mahu bertahan dalam penghukuman, tetapi menyangkal-Ku, tidak dapat dikuduskan.
6 Lihatlah, Aku berfirman kepadamu, terdapat pertelingkahan, dan pertikaian, dan keirihatian, dan persengketaan, dan keinginan-keinginan yang penuh nafsu dan tamak di kalangan mereka; oleh kerana itu melalui hal ini mereka telah mencemarkan harta-harta warisan mereka.
7 Mereka lambat untuk mendengarkan suara Tuhan Raja mereka; oleh kerana itu, Tuhan Raja mereka lambat untuk mendengarkan doa mereka, untuk menjawab mereka pada masa kesusahan mereka.
8 Pada masa kedamaian mereka, mereka memandang ringan nasihat-Ku; tetapi, pada masa kesusahan mereka, semasa memerlukan mereka mencari-cari Aku.
9 Sesungguhnya Aku berfirman kepadamu, walau bagaimanapun dosa-dosa mereka, sanubari-Ku dipenuhi dengan belas kasihan terhadap mereka. Aku tidak akan menyingkirkan mereka sepenuhnya; dan pada masa kemurkaan Aku akan mengingati belas kasihan.
10 Aku telah bersumpah, dan perintah itu telah tersebar luas melalui sebuah perintah yang telah Aku berikan kepadamu, bahawa Aku akan membiarkan pedang kemarahan-Ku jatuh demi umat-Ku; dan bahkan seperti yang telah Aku firmankan, ia akan terjadi.
11 Kemarahan-Ku akan segera dicurahkan tanpa batasan kepada semua bangsa; dan ini akan Aku lakukan apabila cawan kederhakaan mereka penuh.
12 Dan pada hari itu semua yang berada di atas menara kawalan, atau dengan perkataan lain, seluruh Israel-Ku, akan diselamatkan.
13 Dan mereka yang telah dicerai-beraikan akan dikumpulkan.
14 Dan mereka semua yang telah berduka akan dihiburkan.
15 Dan mereka semua yang telah memberikan nyawa mereka demi nama-Ku akan dimahkotai.
16 Oleh kerana itu, biarlah hatimu terhibur tentang Sion; kerana semua manusia berada dalam tangan-Ku; tenanglah dan ketahuilah bahawa Aku ialah Tuhan.
17 Sion tidak akan dipindahkan dari tempatnya, walaupun anak-anaknya dicerai-beraikan.
18 Mereka yang tinggal, dan suci hatinya, akan kembali, dan mendapatkan harta warisan mereka, mereka dan anak-anak mereka, dengan lagu kebahagiaan abadi, untuk membangunkan tempat-tempat Sion yang tandus—
19 Dan semuanya ini agar para nabi boleh digenapi.
20 Dan, lihatlah, tidak ada tempat lain yang ditetapkan melainkan yang telah Aku tetapkan itu; dan tidak akan ditetapkan tempat lain mana pun melainkan yang telah aku tetapkan, untuk pekerjaan pengumpulan para orang suci-Ku—
21 Sehingga tiba masanya apabila tidak ada lagi ruang untuk mereka; dan pada waktu itu Aku memiliki tempat-tempat lain yang akan Aku tetapkan bagi mereka, dan ianya akan disebut pancang, untuk tirai atau kekuatan Sion.
22 Lihatlah, ini adalah kehendak-Ku, bahawa mereka semua yang memanggil nama-Ku, dan menyembah-Ku menurut Injil abadi-Ku, seharusnya berkumpul bersama, dan berdiri di tempat-tempat kudus;
23 Dan bersedia untuk wahyu yang akan datang, apabila tirai yang menutupi bait suci-Ku, di dalam khemah ibadat-Ku, yang menyembunyikan bumi, akan dibukakan, dan semua manusia akan melihat-Ku bersama.
24 Dan setiap hal yang mereput, baik manusia, atau binatang di ladang, atau burung di langit, atau ikan di laut, yang tinggal di atas seluruh muka bumi, akan dijilat api;
25 Dan juga yang dari unsur akan mencair dengan haba yang kuat; dan segalanya akan menjadi baru, agar pengetahuan dan kemuliaan-Ku boleh berada di atas seluruh bumi.
26 Dan pada hari itu permusuhan manusia, dan permusuhan binatang, ya, permusuhan semua makhluk, akan berhenti dari hadapan muka-Ku.
27 Dan pada hari itu apa pun yang diminta oleh seseorang, ia akan diberikan kepadanya.
28 Dan pada hari itu Setan tidak akan memiliki kuasa untuk menggoda sesiapa pun.
29 Dan tidak akan ada kedukaan kerana tidak ada kematian.
30 Pada hari itu seorang bayi tidak akan mati sehinggalah dia tua; dan hidupnya akan seperti usia sebatang pokok;
31 Dan apabila dia mati dia tidak akan tidur, yang dimaksudkan di dalam tanah, tetapi akan diubah dalam sekelip mata, dan akan diangkat, dan peristirahatannya akan menjadi mulia.
32 Ya, sesungguhnya Aku berfirman kepadamu, pada hari itu apabila Tuhan akan datang, Dia akan mendedahkan segalanya—
33 Apa yang telah berlalu, dan apa yang tersembunyi yang tiada seorang pun tahu, hal-hal bumi, yang mana dengannya ianya dijadikan, dan tujuan dan penghujungnya—
34 Hal-hal yang paling berharga, apa yang ada di atas, dan apa yang ada di bawah, hal-hal di dalam bumi, dan di atas bumi, dan di langit.
35 Dan mereka semua yang menderita penganiayaan demi nama-Ku, dan bertahan dalam iman, walaupun mereka dipanggil untuk menyerahkan nyawa mereka demi kepentingan-Ku namun mereka akan mengambil bahagian dalam seluruh kemuliaan ini.
36 Kerana itu, janganlah takut bahkan pada kematian; kerana di dunia ini kebahagiaanmu tidaklah penuh, tetapi di dalam Aku kebahagiaanmu penuh.
37 Oleh kerana itu, janganlah risaukan tubuhmu, bahkan juga nyawatubuh; tetapi jagalah jiwa, dan riwayat jiwa.
38 Dan carilah wajah Tuhan selalu, agar dengan kesabaran kamu boleh memiliki jiwamu, dan kamu akan memiliki kehidupan kekal.
39 Apabila manusia dipanggil pada Injil abadi-Ku, dan membuat perjanjian dengan sebuah perjanjian yang abadi, mereka dianggap sebagai garam bumi dan perasa bagi manusia;
40 Mereka dipanggil untuk menjadi perasa bagi manusia; oleh kerana itu, jika garam bumi itu kehilangan rasanya, lihatlah, sejak dari itu ia tidak berguna untuk apa pun melainkan untuk dibuang dan dipijak-pijak di bawah kaki manusia.
41 Lihatlah, inilah kebijaksanaan tentang anak-anak Sion, bahkan banyak, tetapi bukan semua; mereka didapati sebagai pelanggar, oleh kerana itu mereka mestilah perlu dihukum—
42 Dia yang memuliakan dirinya akan direndahkan, dan dia yang merendahkan dirinya akan dimuliakan.
43 Dan sekarang, Aku akan memperlihatkan kepadamu sebuah perumpamaan, agar kamu boleh mengetahui kehendak-Ku tentang penebusan Sion.
44 Seorang bangsawan yang tertentu memiliki sebidang tanah, yang sangat terpilih; dan dia berkata kepada para orang suruhannya: Pergilah kamu ke ladangku, bahkan di atas bidang tanah yang sangat terpilih ini, dan tanamlah dua belas batang pokok zaitun;
45 Dan tempatkanlah para penjaga di sekeliling mereka, dan binalah sebuah menara, agar seseorang boleh memerhatikan kawasan sekitar tanah itu, untuk menjadi pengawal di atas menara itu, agar pokok-pokok zaitunku tidak akan ditumbangkan apabila musuh datang untuk mencuri dan mengambil ke atas diri mereka buah dari ladangku.
46 Sekarang, para orang suruhan orang bangsawan itu pergi dan melakukan seperti mana yang diperintahkan oleh tuan mereka kepada mereka, dan menanam pokok-pokok zaitun, dan membuat pagar di sekelilingnya, dan menempatkan para pengawal, dan mula membina sebuah menara.
47 Dan semasa mereka masih meletakkan landasannya, mereka mula berkata di antara sesama mereka: Dan apakah yang tuanku perlukan dari menara ini?
48 Dan berbincang untuk suatu tempoh yang lama, berkata di antara sesama mereka: Apakah yang tuanku perlukan dari menara ini, sedangkan sekarang adalah suatu masa yang aman?
49 Bukankah wang ini harus diberikan kepada para penukar wang? Kerana tiada keperluan terhadap benda-benda ini.
50 Dan semasa mereka saling berselisih pendapat mereka menjadi sangat malas, dan mereka tidak mendengar perintah-perintah tuan mereka.
51 Dan musuh datang pada waktu malam, dan menumbangkan pagar itu; dan para orang suruhan bangsawan itu bangun dan ketakutan, dan melarikan diri; dan musuh menghancurkan kerja-kerja mereka, dan menumbangkan pokok-pokok zaitun itu.
52 Sekarang, lihatlah, orang bangsawan itu, tuan ladang itu, memanggil para orang suruhannya, dan berkata kepada mereka, Mengapa! apakah penyebab kejahatan yang besar ini?
53 Bukankah kamu seharusnya melakukan bahkan seperti yang telah aku perintahkan kepadamu, dan—setelah kamu menanam ladang dan membina pagar di sekelilingnya, dan menempatkan para pengawal di atas dinding temboknya—membina menara itu juga, dan menempatkan seorang pengawal di atas menara itu, dan mengawal ladangku, dan tidak tertidur, agar musuh tidak datang menyerangmu?
54 Dan lihatlah, pengawal di atas menara itu akan dapat melihat musuh semasa dia masih lagi jauh; dan kemudian kamu dapat bersedia dan menghalang musuh daripada menumbangkan pagarnya, dan menyelamatkan ladangku daripada tangan si pemusnah.
55 Dan tuan ladang itu berkata kepada salah seorang suruhannya: Pergi dan kumpulkanlah bersama orang-orang suruhanku yang selebihnya, dan ambillah segala kekuatan isi rumahku, iaitu para pahlawanku, para pemudaku, dan juga mereka yang dalam pertengahan umur di kalangan semua orang suruhanku, yang merupakan kekuatan seisi rumahku, kecuali hanya mereka yang telah aku tetapkan untuk tinggal;
56 Dan pergilah kamu dengan segera ke tanah ladangku, dan tebuslah ladangku; kerana ia adalah milikku; aku telah membelinya dengan wang.
57 Oleh kerana itu, pergilah kamu dengan segera ke tanahku; runtuhkanlah dinding tembok musuhku; tumbangkanlah menara mereka, dan tempiarkanlah para pengawal mereka.
58 Dan sejauh mereka berkumpul bersama melawanmu, tuntutlah bela pada musuh-musuhku, agar dengan segera aku boleh datang bersama dengan seisi rumahku yang selebihnya dan memiliki tanah itu.
59 Dan orang suruhan itu berkata kepada tuannya: Bilakah hal-hal ini akan terjadi?
60 Dan dia berkata kepada orang suruhannya: Apabila aku menghendakinya; pergilah kamu dengan segera, dan lakukanlah semua hal yang telah aku perintahkan kepadamu;
61 Dan ini akan menjadi meterai dan berkatku kepada dirimu—seorang pengawas yang setia dan bijak di tengah-tengah isi rumahku, pemerintah di dalam kerajaanku.
62 Dan orang suruhannya pergi dengan segera, dan melakukan semua hal yang tuannya telah perintahkan kepadanya; dan berhari-hari selepas itu semua hal digenapi.
63 Lagi, sesungguhnya Aku berfirman kepadamu, Aku akan memperlihatkan kepadamu kebijaksanaan di dalam Aku tentang semua jemaah gereja, sejauh mereka bersedia untuk dibimbing pada jalan yang benar dan tepat demi keselamatan mereka—
64 Agar pekerjaan pengumpulan bersama para orang suci-Ku boleh diteruskan, agar Aku boleh membangunkan mereka demi nama-Ku di atas tempat-tempat yang kudus; kerana waktu menuai telah tiba, dan firman-Ku mestilah perlu digenapi.
65 Oleh kerana itu, Aku mesti mengumpulkan bersama umat-Ku, menurut perumpamaan gandum dan lalang, agar gandum boleh dikumpulkan di dalam gudang-gudang untuk memiliki kehidupan kekal, dan dimahkotai dengan kemuliaan selestial, apabila Aku akan datang ke dalam kerajaan Bapa-Ku untuk memberi ganjaran kepada setiap orang menurut pekerjaannya;
66 Sementara itu lalang akan diikat dalam berkas-berkas, dan ikatannya diikat kuat, agar ianya boleh dibakar dengan api yang tidak dapat dipadamkan.
67 Oleh itu, sebuah perintah Aku berikan kepada semua jemaah gereja, agar mereka harus terus berkumpul bersama ke tempat-tempat yang telah Aku tetapkan.
68 Walaupun demikian, seperti yang telah Aku firmankan kepadamu dalam sebuah perintah yang terdahulu, janganlah biarkan pengumpulanmu tergesa-gesa, tidak juga dengan terburu-buru; tetapi biarlah segalanya disediakan sebelumnya bagimu.
69 Dan supaya segalanya disediakan sebelumnya bagimu, turutilah perintah yang telah Aku berikan berkenaan hal-hal ini—
70 Yang mengatakan, atau mengajarkan, untuk membeli semua tanah dengan wang, yang dapat dibeli dengan wang, di wilayah sekitar tanah yang telah Aku tetapkan untuk menjadi negeri Sion, untuk permulaan pengumpulan para orang suci-Ku;
71 Semua tanah yang dapat dibeli di Jackson County, dan di daerah-daerah sekitarnya, dan tinggalkanlah yang selebihnya di dalam tangan-Ku.
72 Sekarang, sesungguhnya Aku berfirman kepadamu, biarlah semua jemaah gereja mengumpulkan bersama semua wang mereka; biarlah hal-hal ini dilakukan pada waktu mereka, tetapi bukan dengan tergesa-gesa; dan pastikanlah bahawa segalanya disediakan sebelumnya bagimu.
73 Dan biarlah para lelaki yang terhormat ditetapkan, bahkan para lelaki yang bijak, dan utuskanlah mereka untuk membeli tanah-tanah ini.
74 Dan para jemaah gereja di negeri-negeri sebelah timur, apabila mereka telah dibangunkan, jika mereka akan mendengar nasihat ini mereka boleh membeli tanah dan berkumpul bersama di atasnya; dan dengan cara ini mereka boleh menubuhkan Sion.
75 Bahkan sekarang sudah ada dalam simpanan yang cukup, ya, bahkan berlimpah-limpah, untuk menebus Sion, dan membangunkan tempat-tempatnya yang tandus, tidak lagi akan dihancurkan, seandainya para jemaah gereja, yang memanggil diri mereka menurut nama-Ku, bersedia untuk mendengar suara-Ku.
76 Dan lagi Aku berfirman kepadamu, mereka yang telah dicerai-beraikan oleh musuh mereka, adalah kehendak-Ku bahawa mereka harus terus menuntut ganti rugi, dan penebusan, dari tangan mereka yang telah ditempatkan sebagai pemerintah dan yang berwewenang kepada kamu—
77 Menurut hukum dan perlembagaan orang-orang itu, yang telah Aku biarkan untuk ditegakkan, dan harus dipertahankan demi hak-hak dan perlindungan semua manusia, menurut asas-asas yang benar dan kudus;
78 Agar setiap orang boleh bertindak dalam ajaran dan asas yang berkaitan dengan masa depan, menurut hak pilihan moral yang telah Aku berikan kepadanya, agar setiap orang boleh bertanggungjawab atas dosa-dosanya sendiri pada hari penghakiman.
79 Oleh kerana itu, tidaklah betul bahawa sesiapapun harus saling menghambakan satu sama lain.
80 Dan untuk tujuan ini Aku telah menegakkan Perlembagaan negeri ini, melalui tangan para lelaki bijak yang Aku bangunkan untuk tujuan ini, dan menebus negeri ini dengan pertumpahan darah.
81 Sekarang, dengan apakah harus Aku persamakan anak-anak Sion? Aku akan mempersamakan mereka dengan perumpamaan wanita dan hakim yang tidak adil, kerana manusia seharusnya selalu berdoa dan tidak lemah, yang mengatakan—
82 Ada di sebuah kota seorang hakim yang tidak takut kepada Tuhan, tidak juga hormat kepada manusia.
83 Dan ada seorang janda di kota itu, dan dia datang kepadanya, mengatakan: Tuntutlah bela bagiku terhadap musuhku.
84 Dan dia tidak mahu untuk seketika, tetapi selepas itu dia berkata di dalam dirinya: Walaupun aku tidak takut kepada Tuhan, tidak juga menghormati manusia, namun oleh kerana janda ini menyusahkanku, aku akan menuntut bela baginya, agar dia tidak datang berkali-kali dan merimaskanku.
85 Demikianlah Aku akan persamakan anak-anak Sion.
86 Biarlah mereka memohon pada kaki hakim;
87 Dan jika dia tidak mengendahkan mereka, biarlah mereka memohon pada kaki pentadbir;
88 Dan jika pentadbir tidak mengendahkan mereka, biarlah mereka memohon pada kaki presiden;
89 Dan jika presiden tidak mengendahkan mereka, maka Tuhan akan bangkit dan muncul dari tempat persembunyian-Nya, dan dalam keberangan-Nya menyengsarakan bangsa itu;
90 Dan dalam ketidaksenangan-Nya yang membara, dan dalam kemarahan-Nya yang dahsyat, pada waktu-Nya, akan menyingkirkan para pengawas yang jahat, tidak setia, dan tidak soleh itu, dan menetapkan bagi mereka bahagian mereka di kalangan yang munafik, dan yang tidak percaya;
91 Bahkan di kegelapan luar, di mana ada tangisan, dan ratapan, dan kertakan gigi.
92 Berdoalah kamu, oleh kerana itu, agar telinga mereka boleh terbuka pada seruanmu, agar Aku boleh penuh berbelas kasihan kepada mereka, agar hal-hal ini tidak datang ke atas diri mereka.
93 Apa yang telah Aku firmankan kepadamu mestilah perlu terjadi, agar semua orang tidak meninggalkan sebarang alasan;
94 Agar orang-orang bijak dan para pemerintah boleh mendengar dan mengetahui apa yang tidak pernah mereka pertimbangkan.
95 Agar Aku boleh meneruskan untuk melaksanakan tindakan-Ku, tindakan-Ku yang ajaib, dan menjalankan pekerjaan-Ku, pekerjaan-Ku yang ajaib, agar manusia boleh membezakan antara yang soleh dan yang jahat, firman Tuhanmu.
96 Dan lagi, Aku berfirman kepadamu, ini adalah bertentangan dengan perintah-Ku dan kehendak-Ku bahawa hamba-Ku Sidney Gilbert harus menjual gudang penyimpanan-Ku, yang telah Aku tetapkan bagi umat-Ku, ke dalam tangan musuh-Ku.
97 Janganlah biarkan apa yang telah Aku tetapkan dicemari oleh musuh-Ku, dengan persetujuan daripada mereka yang memanggil diri mereka menurut nama-Ku;
98 Kerana inilah dosa yang sangat parah dan memilukan menentang-Ku, dan menentang umat-Ku, sebagai akibat dari hal-hal yang telah Aku tetapkan dan yang tidak lama lagi akan menimpa bangsa-bangsa itu.
99 Oleh kerana itu, adalah kehendak-Ku bahawa umat-Ku harus menuntut hak, dan menegaskan tuntutan itu ke atas apa yang telah Aku tetapkan bagi mereka, walaupun mereka tidak diizinkan untuk tinggal di atasnya.
100 Walaupun demikian, Aku tidak mengatakan mereka tidak akan tinggal di atasnya; kerana sejauh mereka menghasilkan buah dan pekerjaan yang layak untuk kerajaan-Ku mereka akan tinggal di atasnya.
101 Mereka akan membina, dan yang lain tidak akan mewarisinya; mereka akan menanam ladang-ladang anggur, dan mereka akan memakan buahnya. Demikianlah. Amin.