“Yakub dan Serem,” Cerita-cerita Kitab Mormon (2023)
Yakub dan Serem
Seorang nabi berkongsi kesaksian tentang Yesus Kristus
Yakub ialah seorang nabi yang melihat Yesus Kristus. Dia mahu bangsa itu mempercayai Yesus. Yakub mengajar bangsa itu untuk mematuhi perintah-perintah Tuhan. Dia bekerja keras untuk mengajar bangsa itu tentang Yesus.
2 Nefi 11:2–3; Yakub 1:1–8, 17–19
Suatu hari, seorang lelaki bernama Serem mula mengajar bangsa itu. Tetapi Serem mengajar bahawa Yesus tidak wujud. Serem pandai bercakap, dan banyak bangsa Nefi percaya apa yang dia katakan. Kerana dia, banyak orang berhenti mempercayai Yesus. Serem juga mahu Yakub berhenti mempercayai Yesus.
Serem berkata tidak seorang pun dapat mengetahui apa yang akan berlaku di masa depan. Dia berkata ini bermakna tiada seorang pun dapat mengetahui jika Yesus itu benar, kerana Yesus belum datang ke bumi. Tetapi Yakub berkata tulisan suci dan semua nabi mengajar tentang Yesus. Tuhan telah menunjukkan kepada Yakub bahawa Yesus akan datang ke bumi.
Serem masih tidak percaya. Dia mahu Yakub menunjukkan kepadanya satu tanda bahawa Yesus adalah benar.
Yakub berkata Serem tahu bahawa Yesus akan datang dan tidak memerlukan tanda. Tetapi Yakub berkata Tuhan akan membuat Serem lemah untuk menunjukkan bahawa Tuhan memiliki kuasa dan Yesus adalah benar.
Tiba-tiba, Serem jatuh sakit dan jatuh ke tanah. Selepas beberapa hari, dia tahu dia akan mati. Dia memberitahu orang ramai bahawa dia telah diperdaya oleh Setan. Dia berkata dia telah berdusta kepada Tuhan. Sepanjang masa dia tahu bahawa Yesus adalah benar. Kemudian Serem mati. Orang ramai membaca tulisan suci dan percaya kepada Yesus.