“Panglima Moroni dan Zerahemna,” Cerita-cerita Kitab Mormon (2023)
Panglima Moroni dan Zerahemna
Satu pertempuran dan janji untuk hidup dalam kedamaian
Zerahemna merupakan pemimpin kepada tentera-tentera bangsa Laman. Dia ingin memerintah bangsa Nefi dan membuat mereka melayani bangsanya. Zerahemna memimpin tentera-tenteranya untuk menyerang bangsa Nefi.
Bangsa Nefi ingin melindungi rumah, keluarga, dan agama mereka. Mereka tahu mereka tidak akan dapat menyembah Tuhan jika bangsa Laman memerintah atas diri mereka. Bangsa Nefi memilih untuk melawan musuh mereka.
Seorang lelaki bernama Moroni ialah panglima tentera bangsa Nefi. Moroni memastikan tentera-tenteranya bersedia untuk berperang.
Askar-askar Moroni membawa senjata, dan Moroni memberi mereka baju besi dan perisai yang kuat untuk melindungi mereka.
Moroni membawa tentera-tenteranya untuk melawan bangsa Laman. Tetapi ketika bangsa Laman melihat bangsa Nefi memiliki perlengkapan perang dan perisai, mereka takut berperang. Bangsa Laman hanya mempunyai pakaian nipis dan tidak ada perlengkapan perang untuk melindungi mereka.
Bangsa Laman pergi. Mereka cuba menyelinap ke negeri bangsa Nefi yang berbeza. Mereka berfikir Moroni tidak akan tahu ke mana mereka pergi.
Tetapi sebaik sahaja bangsa Laman pergi, Moroni menghantar pengintip untuk mengikuti mereka.
Kemudian Moroni menghantar pesanan kepada nabi Alma. Dia mahu Alma bertanya kepada Tuhan apa yang bangsa Laman sedang merancang untuk lakukan. Tuhan memberitahu Alma bahawa bangsa Laman merancang untuk menyerang negeri yang lemah yang dipanggil Manti. Moroni mendengar Alma. Dia memimpin tentera-tenteranya untuk berperang melawan bangsa Laman.
Tentera-tentera berperang. Bangsa Laman sangat kuat dan marah. Bangsa Nefi menjadi takut kepada bangsa Laman dan ingin melarikan diri. Tetapi Moroni mengingatkan mereka tentang keluarga dan iman mereka, jadi mereka terus bertempur.
Bangsa Nefi berdoa kepada Tuhan untuk bantuan. Tuhan menjawab doa-doa mereka dan memberi mereka kuasa yang besar. Sekarang, bangsa Laman berasa takut. Mereka terperangkap dan tidak dapat melarikan diri. Ketika Moroni melihat bahawa bangsa Laman takut, dia memberitahu askar-askarnya untuk berhenti berperang. Moroni tidak mahu membunuh bangsa Laman.
Moroni memberitahu Zerahemna bahawa bangsa Laman dapat pergi jika mereka berjanji untuk tidak melawan bangsa Nefi lagi. Zerahemna marah dan cuba untuk terus berperang, tetapi dia tidak dapat mengalahkan askar-askar Moroni. Kemudian Zerahemna dan tentera-tenteranya berjanji untuk hidup dalam kedamaian, dan Moroni melepaskan mereka.