Kitab Suci
Ajaran dan Perjanjian 88


Bahagian 88

Wahyu yang diberikan melalui Nabi Joseph Smith di Kirtland, Ohio, 27 dan 28 Disember 1832 dan 3 Januari 1833. Nabi mengelarnya sebagai “‘daun zaitun’ … dipetik dari Pokok Firdaus, pesanan kedamaian Tuhan kepada kita” Wahyu ini diberikan setelah imam tinggi berdoa di sebuah persidangan “secara perseorangan dan bersuara kepada Tuhan untuk mendedahkan kehendaknya kepada mereka berkaitan dengan pembangunan Sion.”

1–5, Para Orang Suci yang setia menerima Penolong itu, yang merupakan janji kehidupan abadi; 6–13, Segala hal dikendalikan dan diatur melalui Cahaya Kristus; 14–16, Kebangkitan datang melalui Penebusan; 17–31, Kepatuhan pada hukum selestial, terestrial, atau telestial menyediakan manusia untuk kerajaan dan kemuliaan masing-masing; 32–35, Mereka yang ingin tetap tinggal dalam dosa akan tetap kotor; 36–41, Semua kerajaan diatur melalui hukum; 42–45, Tuhan telah memberikan sebuah hukum bagi segala semua hal; 46–50, Manusia akan memahami bahkan Tuhan; 51–61, Perumpamaan tentang orang yang mengutus para orang suruhannya ke ladang dan mengunjungi mereka secara bergilir; 62–73, Dekatilah kepada Tuhan, dan kamu akan melihat muka-Nya; 74–80, Kuduskanlah dirimu dan saling mengajar ajaran-ajaran dari kerajaan; 81–85, Setiap orang yang telah diperingatkan harus memperingatkan jirannya; 86–94, Tanda-tanda, pergolakkan unsur-unsur bumi, dan para malaikat menyediakan jalan bagi kedatangan Tuhan; 95–102, Sangkakala malaikat memanggil yang mati dalam urutan mereka; 103–116, Sangkakala malaikat memaklumkan pemulihan Injil, kejatuhan Babilon, dan pertempuran Tuhan yang besar; 117–126, Carilah pembelajaran, tubuhkanlah sebuah rumah Tuhan (sebuah bait suci), dan kenakanlah pada dirimu ikatan kasih ihsan; 127–141, Aturan Sekolah Para Nabi dinyatakan, termasuk tatacara pembasuhan kaki.

1 Sesungguhnya, demikianlah firman Tuhan kepadamu yang telah berhimpun bersama untuk menerima kehendak-Nya terhadap kamu:

2 Lihatlah, ini menyenangkan Tuhanmu, dan para malaikat bersukacita ke atas kamu; sedekah dari doa-doamu telah naik ke dalam telinga Tuhan Sabaot, dan dicatatkan dalam kitab nama yang dikuduskan, bahkan mereka yang dari dunia selestial.

3 Kerana itu, Aku sekarang mengutuskan kepada dirimu Penolong yang lain, bahkan kepada kamu teman-teman-Ku, agar Dia boleh tinggal dalam hatimu, bahkan Roh Kudus perjanjian; yang mana Penolong itu adalah yang sama yang Aku janjikan kepada para pengikut-Ku, seperti yang dicatat dalam kesaksian Yohanes.

4 Penolong ini adalah janji yang Aku berikan kepadamu akan kehidupan abadi, bahkan kemuliaan kerajaan selestial.

5 Yang mana kemuliaan itu adalah kemuliaan gereja Putera Sulung, bahkan daripada Tuhan, yang paling kudus dari segalanya, melalui Yesus Kristus Putera-Nya—

6 Dia yang naik ke syurga, seperti juga Dia telah turun di bawah segalanya, dimana Dia memahami segalanya, agar Dia boleh berada dalam segalanya dan melalui segalanya, cahaya kebenaran;

7 Yang mana kebenaran itu bersinar. Inilah cahaya Kristus. Seperti juga Dia berada di matahari, dan cahaya matahari, dan dengan kuasa itulah ia telah dijadikan.

8 Seperti juga Dia berada di bulan, dan merupakan cahaya bulan, dan dengan kuasa itulah ia dijadikan;

9 Seperti juga cahaya dari bintang-bintang, dan dengan kuasa itulah ia dijadikan;

10 Dan juga bumi, dan dengan kuasa itulah, bahkan bumi yang kamu berdiri di atasnya.

11 Dan cahaya yang bersinar, yang memberikanmu cahaya, adalah melalui Dia yang menerangi matamu, yang merupakan cahaya yang sama yang menghidupkan pemahamanmu;

12 Yang mana cahaya itu keluar dari hadirat Tuhan untuk memenuhi keluasan ruang—

13 Cahaya yang berada dalam segala hal, yang memberikan kehidupan pada segalanya, yang merupakan hukum yang mana oleh kerananya segala hal diatur, bahkan kuasa Tuhan yang duduk di atas takhta-Nya, yang berada di dada keabadian, yang berada di tengah-tengah segalanya.

14 Sekarang, sesungguhnya Aku berfirman kepadamu, bahawa melalui penebusan yang dibuat untukmu kebangkitan dari yang mati didatangkan.

15 Dan roh dan tubuh adalah jiwa manusia.

16 Dan kebangkitan dari yang mati adalah penebusan jiwa.

17 Dan penebusan jiwa adalah melalui Dia yang menghidupkan segalanya, di dalam dada-Nya itu ditetapkan bahawa yang miskin dan yang lembut hati di bumi ini akan mewarisinya.

18 Oleh kerana itu, ia mestilah perlu dikuduskan dari segala ketidaksolehan, agar ia dapat disediakan bagi kemuliaan selestial;

19 Kerana selepas ia memenuhi tujuan penciptaannya, ia akan dimahkotai dengan kemuliaan, bahkan dengan kehadiran Tuhan Bapa.

20 Agar tubuh mereka yang dari kerajaan selestial boleh memilikinya selama-lamanya; kerana, untuk tujuan ini ia telah dijadikan dan diciptakan, dan untuk tujuan ini mereka telah dikuduskan.

21 Dan mereka yang tidak dikuduskan melalui hukum yang telah Aku berikan kepadamu, bahkan hukum Kristus, mesti mewarisi kerajaan yang lain, bahkan yang dari kerajaan terestrial, atau yang dari kerajaan telestial.

22 Kerana dia yang tidak dapat mematuhi hukum kerajaan selestial tidak dapat bertahan dalam kemuliaan selestial.

23 Dan dia yang tidak dapat mematuhi hukum kerajaan terestrial tidak dapat bertahan dalam kemuliaan terestrial.

24 Dan dia yang tidak dapat mematuhi hukum kerajaan telestial tidak dapat bertahan dalam kemuliaan telestial; oleh kerana itu dia tidak layak untuk sebuah kerajaan kemuliaan. Oleh kerana itu dia mesti tinggal di sebuah kerajaan yang bukan merupakan kerajaan kemuliaan.

25 Dan lagi, sesungguhnya Aku berfirman kepadamu, bumi mematuhi hukum kerajaan selestial, kerana memenuhi tujuan penciptaannya, dan tidak melanggar hukum—

26 Kerana itu, ia akan dikuduskan; ya, walaupun ia akan mati, ia akan dihidupkan lagi, dan akan bertahan dalam kuasa yang dengannya ia dihidupkan, dan yang soleh akan mewarisinya.

27 Kerana walaupun mereka mati, mereka juga akan bangkit lagi, suatu tubuh rohani.

28 Mereka yang merupakan roh selestial akan menerima tubuh yang sama yang merupakan tubuh jasmani; bahkan kamu akan menerima tubuhmu, dan kemuliaanmu adalah merupakan kemuliaan yang dengannya tubuhmu dihidupkan.

29 Kamu yang dihidupkan oleh sebahagian dari kemuliaan selestial pada waktu itu akan menerima yang sama, bahkan suatu kegenapan.

30 Dan mereka yang dihidupkan oleh sebahagian dari kemuliaan terestrial pada waktu itu akan menerima yang sama, bahkan suatu kegenapan.

31 Dan juga mereka yang dihidupkan oleh sebahagian dari kemuliaan telestial pada waktu itu akan menerima yang sama, bahkan suatu kegenapan.

32 Dan mereka yang selebihnya juga akan dihidupkan; walaupun demikian, mereka akan kembali lagi ke tempat mereka sendiri, untuk menikmati apa yang mereka ingin terima, kerana mereka tidak ingin untuk menikmati apa yang mereka boleh terima.

33 Kerana adakah ianya akan menguntungkan seseorang itu jika suatu kurnia diberikan ke atas dirinya, dan dia tidak menerima kurnia itu? Lihatlah, dia tidak bersukacita dalam hal yang diberikan kepadanya, tidak juga bersukacita dalam dirinya yang merupakan pemberi kurnia itu.

34 Dan lagi, sesungguhnya Aku berfirman kepadamu, apa yang diatur oleh hukum juga dipelihara oleh hukum dan disempurnakan dan dikuduskan oleh yang sama.

35 Apa yang melanggar hukum, dan tidak mematuhi hukum, tetapi berusaha untuk menjadi hukum baginya sendiri, dan ingin untuk tinggal dalam dosa, dan tinggal dalam dosa sepenuhnya, tidak dapat dikuduskan oleh hukum, tidak juga oleh belas kasihan, keadilan, atau pun penghakiman. Oleh kerana itu, mereka mesti tetap kotor.

36 Semua kerajaan telah diberikan sebuah hukum;

37 Dan ada banyak kerajaan; kerana tidak ada ruang yang mana di dalamnya tidak ada kerajaan; dan tidak ada kerajaan yang mana di dalamnya tidak ada ruang, sama ada kerajaan yang lebih tinggi atau yang lebih rendah.

38 Dan pada setiap kerajaan diberikan sebuah hukum; dan pada setiap hukum ada batasan tertentu juga dan syarat-syarat.

39 Semua makhluk yang tidak mematuhi syarat-syarat itu tidak dipersolehkan.

40 Kerana kecerdasan berpegang teguh pada kecerdasan; kebijaksanaan menerima kebijaksanaan; kebenaran memeluk kebenaran; kehemahan mengasihi kehemahan; cahaya berpegang teguh pada cahaya; belas kasihan bersimpati pada belas kasihan dan menuntut hak miliknya; keadilan meneruskan tindakan peranannya dan menuntut hak miliknya; penghakiman berada di hadapan Dia yang duduk di atas takhta dan mengatur dan melaksanakan segala hal.

41 Dia memahami segala hal, dan segala hal ada di hadapan-Nya, dan segala hal ada di sekeliling-Nya; dan Dia melebihi segalanya, dan di dalam segalanya, dan melalui segalanya, dan adalah di sekeliling segalanya; dan segalanya terjadi oleh kerana-Nya, dan daripada-Nya, bahkan Tuhan, selama-lamanya.

42 Dan lagi, sesungguhnya Aku berfirman kepadamu, Dia telah memberikan hukum bagi segala hal, yang mana dengannya ianya bergerak pada waktu dan masanya;

43 Dan lintasannya adalah tetap, bahkan lintasan langit dan bumi, yang melibatkan bumi dan semua planet.

44 Dan mereka memberikan cahaya pada satu sama lain pada waktu dan pada masanya, pada minitnya, pada jamnya, pada harinya, pada minggunya, pada bulannya, pada tahunnya—semuanya ini adalah satu tahun bagi Tuhan, tetapi bukan bagi manusia.

45 Bumi berguling pada sayapnya, dan matahari memberikan cahayanya pada siang hari, dan bulan memberikan cahayanya pada malam hari, dan bintang-bintang juga memberikan cahayanya, ketika mereka berguling pada sayapnya dalam kemuliaannya, di tengah-tengah kuasa Tuhan.

46 Dengan apa Aku harus ibaratkan kerajaan-kerajaan ini, agar kamu boleh memahaminya?

47 Lihatlah, semuanya ini adalah kerajaan, dan sesiapa pun yang telah melihat mana-mana pun atau yang terendah dari semua ini telah melihat Tuhan bergerak dalam keagungan dan kuasa-Nya.

48 Aku berfirman kepadamu, dia telah melihat-Nya; walaupun demikian, Dia yang datang kepada umat milik-Nya tidak diterima.

49 Cahaya bersinar dalam kegelapan, dan kegelapan itu tidak memahaminya; walaupun demikian, harinya akan datang apabila kamu akan memahami bahkan Tuhan, kerana dihidupkan di dalam Dia dan oleh Dia.

50 Pada waktu itu kamu akan tahu bahawa kamu telah melihat-Ku, bahawa Aku ada, dan bahawa Aku adalah cahaya sejati yang berada dalam dirimu, dan bahawa kamu berada di dalam Aku; jika tidak kamu tidak dapat makmur.

51 Lihatlah, Aku akan mengibaratkan kerajaan-kerajaan ini dengan seorang lelaki yang memiliki sebuah ladang, dan dia mengutuskan para orang suruhannya ke ladang untuk menggali di ladang itu.

52 Dan dia berkata kepada yang pertama: Pergilah kamu dan bekerjalah di ladang, dan pada jam yang pertama aku akan datang kepadamu, dan kamu akan melihat kebahagiaan wajahku.

53 Dan dia berkata kepada yang kedua: Pergilah kamu juga ke ladang, dan pada jam yang kedua aku akan mengunjungimu dengan kebahagiaan wajahku.

54 Dan juga kepada yang ketiga, mengatakan: aku akan mengunjungimu;

55 Dan kepada yang keempat, dan seterusnya sehingga yang kedua belas.

56 Dan tuan ladang itu pergi kepada yang pertama pada jam yang pertama, dan berada bersamanya sepanjang jam itu, dan dia dijadikan gembira dengan terang wajah tuannya.

57 Dan kemudian dia meminta diri dari yang pertama agar dia boleh mengunjungi yang kedua juga, dan yang ketiga, dan yang keempat, dan seterusnya sehingga yang kedua belas.

58 Dan demikianlah mereka semua menerima terang wajah tuan mereka, setiap orang pada jamnya, dan pada waktunya, dan pada masanya—

59 Mulai dari yang pertama, dan seterusnya sehingga yang terakhir, dan dari yang terakhir sehingga yang pertama, dan dari yang pertama sehingga yang terakhir;

60 Setiap orang menurut urutannya sendiri, sehingga jamnya selesai, bahkan menurut yang telah diperintahkan oleh tuannya kepadanya, agar tuannya boleh dimuliakan dalam dirinya, dan dia di dalam diri tuannya, agar mereka semua boleh dimuliakan.

61 Oleh kerana itu, dengan perumpamaan ini Aku akan mengibaratkan semua kerajaan ini, dan para penduduknya—setiap kerajaan pada jamnya, dan pada waktunya, dan pada masanya, bahkan menurut ketetapan yang telah Tuhan jadikan.

62 Dan lagi, sesungguhnya Aku berfirman kepadamu, teman-teman-Ku, Aku tinggalkan firman ini bersamamu untuk direnungkan dalam hatimu, dengan perintah ini yang Aku berikan kepadamu, bahawa kamu harus meminta kepada-Ku sementara Aku dekat—

63 Dekatlah kepada-Ku dan Aku akan dekat kepadamu; carilah Aku dengan tekun dan kamu akan menemui-Ku; mintalah, dan kamu akan menerima; ketuklah, dan akan dibukakan bagimu.

64 Apa pun yang kamu minta kepada Bapa dalam nama-Ku ia akan diberikan kepadamu, yang adalah perlu bagimu;

65 Dan jika kamu meminta apa pun yang tidak perlu bagimu, ia akan berpaling sebagai hukumanmu.

66 Lihatlah, apa yang kamu dengar adalah seperti suara seseorang berseru di padang belantara—di padang belantara, kerana kamu tidak dapat melihat-Nya—suara-Ku, kerana suara-Ku adalah Roh; Roh-Ku adalah kebenaran; kebenaran tetap ada dan tidak berakhir; dan jika ia berada dalam dirimu ia akan berlimpah ruah.

67 Dan jika tumpuan matamu adalah satu pada kemuliaan-Ku, seluruh tubuhmu akan dipenuhi dengan cahaya, dan tidak akan ada kegelapan dalam dirimu; dan tubuh itu yang telah dipenuhi dengan cahaya memahami segala hal.

68 Oleh kerana itu, kuduskanlah dirimu agar fikiranmu menjadi satu kepada Tuhan, dan masanya akan datang apabila kamu akan melihat-Nya; kerana Dia akan menunjukkan muka-Nya kepadamu, dan ianya akan terjadi pada waktu-Nya sendiri, dan dengan cara-Nya sendiri, dan menurut kehendak-Nya sendiri.

69 Ingatlah janji yang besar dan terakhir yang telah Aku buat kepadamu; buangkanlah fikiranmu yang tidak berguna dan gelak tawamu yang berlebihan jauh daripadamu.

70 Tinggallah kamu, tinggallah kamu di tempat ini, dan adakanlah sebuah perhimpunan yang khusyuk, bahkan mereka yang merupakan para pekerja yang pertama di dalam kerajaan yang terakhir ini.

71 Dan biarlah mereka yang telah mereka peringatkan dalam perjalanan mereka meminta kepada Tuhan, dan merenungkan peringatan itu dalam hati mereka yang telah mereka terima, untuk suatu tempoh masa.

72 Lihatlah, dan tengoklah, Aku akan menjaga kawananmu, dan akan mengangkat para penatua dan mengutus kepada mereka.

73 Lihatlah, Aku akan mempercepatkan pekerjaan-Ku pada waktunya.

74 Dan Aku memberi kepadamu, yang merupakan para pekerja yang pertama dalam kerajaan yang terakhir ini, sebuah perintah agar kamu berhimpun bersama, dan mengatur dirimu, dan menyediakan dirimu, dan menguduskan dirimu; ya, menyucikan hatimu, dan membersihkan tanganmu dan kakimu di hadapan-Ku, agar Aku boleh menjadikanmu bersih;

75 Agar Aku boleh bersaksi kepada Bapamu, dan Tuhanmu, dan Tuhan-Ku, bahawa kamu bersih dari darah generasi yang jahat ini; agar Aku boleh menggenapi janji ini, janji yang besar dan terakhir ini, yang telah Aku buat kepadamu, bilamana Aku kehendaki.

76 Dan juga, Aku memberi kepadamu sebuah perintah agar kamu harus meneruskan di dalam doa dan puasa sejak dari waktu ini.

77 Dan Aku memberi kepadamu sebuah perintah agar kamu harus saling mengajarkan satu sama lain ajaran kerajaan.

78 Ajarlah kamu dengan tekun dan kerahmatan-Ku akan menyertaimu, agar kamu boleh diberi arahan dengan lebih sempurna dalam teori, dalam asas, dalam ajaran, dalam hukum Injil, dalam segala hal yang berkaitan dengan kerajaan Tuhan, yang perlu untuk kamu fahami;

79 Tentang hal-hal baik di langit mahupun di bumi, dan di bawah bumi; hal yang telah terjadi, hal yang ada, hal yang mesti terjadi tidak lama lagi; hal yang ada di negara sendiri, hal yang ada di negara lain; peperangan dan kecelaruan bangsa-bangsa, penghakiman yang ada di atas negara itu; dan juga pengetahuan tentang negara-negara dan tentang kerajaan-kerajaan—

80 Agar kamu boleh dipersiapkan dalam segala hal apabila Aku akan mengutusmu lagi untuk meningkatkan pemanggilan yang telah Aku panggil kepadamu, dan misi yang telah Aku tetapkan kepadamu.

81 Lihatlah, Aku mengutusmu keluar untuk bersaksi dan memperingatkan orang-orang itu, dan adalah patut bagi setiap orang yang telah diperingatkan untuk memperingatkan jirannya.

82 Oleh kerana itu, mereka ditinggalkan tanpa alasan, dan dosa-dosa mereka berada di atas kepala mereka sendiri.

83 Dia yang sejak awal mencari-Ku akan menemui-Ku, dan tidak akan ditinggalkan.

84 Oleh kerana itu, tinggallah kamu, dan bekerjalah dengan tekun, agar kamu boleh disempurnakan dalam pelayananmu untuk pergi ke kalangan bangsa bukan Israel untuk kali terakhir, sebanyak mana yang akan disebutkan oleh mulut Tuhan, untuk mengikat hukum dan memeteraikan kesaksian, dan untuk menyediakan para orang suci untuk masa penghakiman yang akan datang;

85 Agar jiwa mereka boleh terlepas dari kemurkaan Tuhan, pemusnahan kekejian yang menunggu yang jahat, baik di dunia ini mahupun di dunia yang akan datang. Sesungguhnya, Aku berfirman kepadamu, biarlah mereka yang bukan para penatua yang pertama meneruskan di dalam ladang anggur sehingga mulut Tuhan akan memanggil mereka, kerana waktu mereka masih belum tiba; pakaian mereka tidak bersih dari darah generasi ini.

86 Tinggallah kamu di dalam kemerdekaan yang dengannya kamu telah dijadikan bebas; janganlah melibatkan dirimu dalam dosa, tetapi biarlah tanganmu bersih, sehingga Tuhan datang.

87 Kerana tidak sampai berhari-hari selepas ini dan tanah akan bergegar dan terhuyung-hayang ke sana ke mari seperti seorang pemabuk; dan matahari akan menyembunyikan mukanya, dan enggan memberikan cahaya; dan bulan akan bermandikan darah; dan bintang-bintang akan menjadi amat marah, dan akan mencampakkan diri ke bawah seperti buah ara yang jatuh dari sebuah pokok ara.

88 Dan selepas kesaksianmu datanglah kemurkaan dan kemarahan kepada orang-orang ini.

89 Kerana selepas kesaksianmu datanglah kesaksian gempa bumi, yang akan menyebabkan rintihan di tengah-tengahnya, dan manusia akan jatuh ke atas tanah dan tidak akan dapat berdiri.

90 Dan juga datanglah kesaksian suara guntur, dan suara kilat, dan suara angin ribut, dan suara ombak laut yang menggelombangkan dirinya melebihi batasannya.

91 Dan segala hal akan berada dalam huru-hara; dan pastinya, hati manusia akan kecut; kerana ketakutan akan datang ke atas semua orang.

92 Dan para malaikat akan terbang di tengah-tengah langit, berseru dengan suara nyaring, membunyikan sangkakala Tuhan, mengatakan: Bersedialah kamu, bersedialah kamu, Wahai para penduduk bumi; kerana penghakiman Tuhan kita telah datang. Lihatlah, dan tengoklah, Pengantin Lelaki datang; pergilah kamu keluar untuk menemui-Nya.

93 Dan dengan segera akan kelihatan suatu tanda besar di langit, dan semua orang akan melihatnya bersama.

94 Dan seorang malaikat yang lain akan membunyikan sangkakalanya, mengatakan: Gereja yang besar itu, induk kekejian, yang menyebabkan semua bangsa meminum wain kemurkaan permukahannya, yang menganiaya para orang suci Tuhan, yang menumpahkan darah mereka—dia yang duduk di atas banyak perairan, dan di atas pulau-pulau di laut—lihatlah, dia adalah lalang bumi; dia diikat dalam berkasan; ikatannya dijadikan kuat, tiada seorang pun dapat melepaskannya; oleh kerana itu, dia sedia untuk dibakar. Dan dia akan membunyikan sangkakalanya dengan lama serta nyaring, dan semua bangsa akan mendengarnya.

95 Dan akan ada keheningan di langit untuk tempoh waktu setengah jam; dan selepas itu tirai langit akan dibukakan dengan segera, bagaikan sebuah gulungan kertas yang direntangkan setelah digulung, dan muka Tuhan akan didedahkan;

96 Dan para orang suci yang berada di atas bumi, yang hidup, akan dihidupkan dan diangkat untuk menemui-Nya.

97 Dan mereka yang telah tidur di dalam kubur mereka akan datang, kerana kubur mereka akan dibuka; dan mereka juga akan diangkat untuk menemui-Nya di tengah-tengah tiang langit—

98 Mereka adalah milik Kristus, buah-buah pertama, mereka yang akan turun bersama-Nya terlebih dahulu, dan mereka yang berada di atas bumi dan di dalam kubur mereka, yang merupakan yang pertama diangkat untuk menemui-Nya; dan semua ini melalui suara dari bunyi sangkakala malaikat Tuhan.

99 Dan selepas ini seorang malaikat yang lain akan membunyikan, iaitu sangkakala kedua; dan kemudian datanglah penebusan mereka yang merupakan milik Kristus pada kedatangan-Nya; yang telah menerima bahagian mereka di dalam penjara itu yang disediakan bagi mereka, agar mereka boleh menerima Injil, dan dihakimi menurut manusia dalam keadaan daging.

100 Dan lagi, sangkakala yang lain akan berbunyi, iaitu sangkakala ketiga; dan kemudian datanglah roh manusia yang akan dihakimi, dan didapati berada di dalam penghukuman;

101 Dan ini adalah orang-orang mati yang selebihnya; dan mereka tidak akan hidup lagi sehinggalah seribu tahun berakhir, tidak juga lagi, sehinggalah bumi berakhir.

102 Dan sangkakala yang lain akan berbunyi, iaitu sangkakala keempat, mengatakan: Ada yang didapati di antara mereka yang harus tinggal sehingga hari yang besar dan terakhir itu, bahkan penghujungnya, yang masih tetap kotor.

103 Dan sangkakala yang lain akan berbunyi, iaitu sangkakala kelima, iaitu malaikat kelima yang mengamanahkan Injil kekal—terbang di tengah langit, kepada semua negara, kaum, bahasa, dan bangsa;

104 Dan ini akan menjadi bunyi sangkakalanya, mengatakan kepada semua orang, baik di langit mahupun di bumi, dan yang berada di bawah bumi—kerana setiap telinga akan mendengarnya, dan setiap lutut akan melutut, dan setiap lidah akan mengakui, semasa mereka mendengar bunyi sangkakala itu, mengatakan: Takutlah kepada Tuhan, dan berikanlah kemuliaan kepada Dia yang duduk di atas takhta, selama-lamanya; kerana masa penghakiman-Nya telah datang.

105 Dan lagi, malaikat yang lain akan membunyikan sangkakalanya, iaitu malaikat keenam, mengatakan: Dia telah jatuh yang menyebabkan semua bangsa minum wain kemurkaan permukahannya; dia telah jatuh, telah jatuh!

106 Dan lagi, malaikat yang lain akan membunyikan sangkakalanya, iaitu malaikat ketujuh, mengatakan: Sudah selesai; Sudah selesai! Anak Domba Tuhan telah mengatasi dan menginjak-injak alat pemeras anggur seorang diri, bahkan alat pemeras anggur dari kedahsyatan kemurkaan Tuhan Yang Maha Kuasa.

107 Dan kemudian para malaikat akan dimahkotai dengan kemuliaan daya-Nya, dan para orang suci akan dipenuhi dengan kemuliaan-Nya, dan menerima warisan mereka dan dijadikan sama rata dengan-Nya.

108 Dan kemudian malaikat yang pertama akan kembali membunyikan sangkakalanya di telinga semua yang hidup, dan mendedahkan perbuatan rahsia manusia, dan pekerjaan Tuhan yang besar dalam seribu tahun yang pertama.

109 Dan kemudian malaikat kedua akan membunyikan sangkakalanya, dan mendedahkan perbuatan rahsia manusia, dan fikiran dan keinginan hati mereka, dan pekerjaan Tuhan yang besar dalam seribu tahun yang kedua—

110 Dan seterusnya, sehingga malaikat ketujuh akan membunyikan sangkakalanya; dan dia akan berdiri di atas tanah dan di atas laut, dan bersumpah dalam nama Dia yang duduk di atas takhta, bahawa tidak akan ada waktu lagi; dan Setan akan diikat, ular tua itu, yang disebut iblis, dan tidak akan dilepaskan untuk tempoh waktu seribu tahun.

111 Dan kemudian dia akan dilepaskan untuk suatu tempoh masa yang singkat, agar dia boleh mengumpulkan tenteranya.

112 Dan Mikhael, malaikat ketujuh, bahkan malaikat agung, akan mengumpulkan tenteranya, bahkan bala tentera syurga.

113 Dan iblis akan mengumpulkan tenteranya; bahkan bala tentera neraka, dan akan naik untuk bertempur melawan Mikhael dan tenteranya.

114 Dan kemudian datanglah pertempuran Tuhan yang besar; dan iblis dan tenteranya akan dibuang ke dalam tempat mereka sendiri, bahawa mereka tidak akan memiliki kuasa sama sekali ke atas para orang suci lagi.

115 Kerana Mikhael akan berperang bagi pertempuran mereka, dan akan mengatasi dia yang menginginkan takhta Dia yang duduk di atas takhta, bahkan Anak Domba.

116 Inilah kemuliaan Tuhan, dan yang telah dikuduskan; dan mereka tidak akan melihat kematian lagi.

117 Oleh kerana itu, sesungguhnya Aku berfirman kepadamu, teman-teman-Ku, adakanlah perhimpunan khusyukmu, seperti yang telah Aku perintahkan kepadamu.

118 Dan kerana semua orang tidak memiliki iman, carilah kamu dengan tekun dan saling mengajarkan kata-kata kebijaksanaan; ya, carilah kamu dari buku-buku terbaik kata-kata kebijaksanaan; carilah pembelajaran, bahkan melalui pembelajaran dan juga melalui iman.

119 Aturlah dirimu; sediakanlah setiap hal yang diperlukan; dan tubuhkanlah sebuah rumah, bahkan rumah doa, rumah puasa, rumah iman, rumah pembelajaran, rumah kemuliaan, rumah ketertiban, rumah Tuhan;

120 Agar kemasukanmu adalah dalam nama Tuhan; agar keluarmu adalah dalam nama Tuhan; agar semua salammu adalah dalam nama Tuhan, dengan tangan yang diangkat kepada Yang Maha Tinggi.

121 Oleh kerana itu, berhentilah dari segala pembicaraanmu yang tidak berguna, dari segala gelak tawa, dari segala hasratmu yang penuh nafsu, dari segala kesombongan dan keremehanmu, dan dari segala perbuatanmu yang jahat.

122 Tetapkanlah dari antara kamu seorang pengajar, dan janganlah biarkan semua menjadi pembicara pada waktu yang sama; tetapi biarlah seseorang berbicara pada satu-satu masa dan biarlah semua mendengarkan perkataannya, agar apabila semua telah berbicara maka semuanya dapat diteguhkan, dan agar setiap orang boleh memiliki peluang yang sama rata.

123 Pastikan bahawa kamu saling mengasihi; berhentilah menjadi tamak; belajarlah untuk saling memberikan seperti yang dituntut oleh Injil.

124 Berhentilah menjadi malas; berhentilah menjadi tidak bersih; berhentilah dari mencari kesalahan antara satu sama lain; berhentilah tidur lebih lama daripada yang diperlukan; pergilah ke katilmu dengan awal, agar kamu tidak letih; bangunlah awal, agar tubuhmu dan fikiranmu boleh disegarkan.

125 Dan lebih dari segalanya, kenakanlah pada dirimu ikatan kasih ihsan, seperti dengan sebuah jubah, yang merupakan ikatan kesempurnaan dan kedamaian.

126 Berdoalah selalu, agar kamu tidak lemah, sehingga Aku datang. Lihatlah, dan tengoklah, Aku akan datang dengan segera, dan menerimamu bagi diri-Ku. Amin.

127 Dan lagi, aturan bagi rumah yang disediakan bagi presidensi sekolah para nabi, ditubuhkan untuk arahan-arahan mereka dalam semua hal yang perlu bagi mereka, bahkan bagi semua pemimpin gereja, atau dengan perkataan lain, mereka yang dipanggil pada pelayanan di dalam gereja, bermula dari imam tinggi, bahkan sehingga diaken—

128 Dan ini akan menjadi aturan rumah presidensi sekolah itu: Dia yang telah ditetapkan untuk menjadi presiden, atau pengajar, akan didapati berdiri pada tempatnya, di dalam rumah yang akan disediakan baginya.

129 Oleh kerana itu, dia akan menjadi yang pertama di dalam rumah Tuhan, di sebuah tempat di mana jemaah gereja di dalam rumah itu boleh mendengar perkataannya dengan teliti dan dengan jelas, bukan dengan pembicaraan yang lantang.

130 Dan apabila dia datang ke dalam rumah Tuhan, kerana dia harus menjadi yang pertama di dalam rumah itu—lihatlah, ini adalah indah, bahawa dia boleh menjadi teladan—

131 Biarlah dia mempersembahkan dirinya dalam doa berlutut di hadapan Tuhan, sebagai lambang atau peringatan akan perjanjian yang kekal.

132 Dan apabila sesiapa pun akan masuk selepasnya, biarlah pengajar itu bangkit, dan, dengan tangan diangkat ke langit, ya, bahkan secara langsung, memberi salam kepada saudara atau saudara-saudaranya dengan perkataan ini:

133 Adakah engkau seorang saudara atau saudara-saudara? Aku memberi salam kepadamu dalam nama Tuhan Yesus Kristus, dengan lambang atau peringatan akan perjanjian yang kekal, yang mana di dalamnya aku menerimamu pada penemanan, dengan suatu tekad yang tetap, tidak tergoyahkan, dan tidak berubah, untuk menjadi teman dan saudaramu melalui rahmat Tuhan dalam ikatan kasih, untuk berjalan dalam semua perintah Tuhan tanpa bersalah, dalam kesyukuran, selama-lamanya. Amin.

134 Dan dia yang didapati tidak layak untuk salam ini tidak akan mempunyai tempat di kalangan kamu; kerana janganlah kamu membiarkan bahawa rumah-Ku akan dicemari olehnya.

135 Dan dia yang masuk dan setia di hadapan-Ku, dan adalah seorang saudara, atau jika mereka adalah saudara-saudara, mereka haruslah memberi salam kepada presiden atau pengajar dengan tangan diangkat ke langit, dengan doa dan perjanjian yang sama ini, atau dengan mengatakan Amin, sebagai lambang dari yang sama.

136 Lihatlah, sesungguhnya, Aku berfirman kepadamu, inilah contoh bagimu untuk suatu salam terhadap satu sama lain di dalam rumah Tuhan, di dalam sekolah para nabi.

137 Dan kamu dipanggil untuk melakukan ini dengan doa dan kesyukuran, apabila Roh akan bertutur dalam segala perbuatanmu di dalam rumah Tuhan, di dalam sekolah para nabi, agar ia boleh menjadi sebuah tempat kudus, sebuah khemah ibadat Roh Kudus untuk peneguhanmu.

138 Dan janganlah kamu menerima sesiapa pun di antara kamu ke dalam sekolah ini kecuali dia bersih dari darah generasi ini;

139 Dan dia seharusnya diterima melalui tatacara pembasuhan kaki, kerana untuk tujuan inilah tatacara pembasuhan kaki ditegakkan.

140 Dan lagi, tata cara pembasuhan kaki mesti dilaksanakan oleh presiden, atau penatua utama gereja.

141 Ia mesti dimulakan dengan doa; dan selepas mengambil roti dan wain, dia harus mengikatkan pinggangnya menurut cara yang diberikan dalam pasal ketiga belas dari kesaksian Yohanes mengenai Aku. Amin.