Persidangan Umum
“Ini Adalah Injil-Ku”—“Ini Adalah Gereja-Ku”
Persidangan umum Oktober 2024


13:49

“Ini Adalah Injil-Ku”—“Ini Adalah Gereja-Ku”

Inilah injil Juruselamat, dan inilah Gereja-Nya (lihat 3 Nefi 27:21; Mosia 26:22; 27:13). Gabungan kedua-duanya berkuasa dan transformatif.

Selama berabad-abad, serbuk letupan adalah bahan letupan terhebat yang ada. Ia boleh melancarkan bebola meriam, tetapi ia tidak berkesan untuk kebanyakan projek perlombongan dan pembinaan jalan raya. Ia terlalu lemah untuk menghancurkan batu.

Pada tahun 1846, seorang ahli kimia Itali bernama Ascanio Sobrero mensintesiskan bahan letupan baharu, nitrogliserin. Cecair berminyak ini sekurang-kurangnya seribu kali lebih kuat daripada serbuk letupan. Ia boleh hancurkan batu dengan mudah. Malangnya, nitrogliserin tidak stabil. Jika anda menjatuhkannya dari ketinggian yang rendah, ia akan meletup. Jika ia terlalu panas, ia akan meletup. Jika ia terlalu sejuk, ia akan meletup. Walaupun diletakkan di dalam bilik yang sejuk, gelap dan tidak dikacau, ia akhirnya akan meletup. Kebanyakan negara mengharamkan pengangkutannya, dan banyak yang mengharamkan pembuatannya.

Pada tahun 1860, seorang saintis Sweden bernama Alfred Nobel mula cuba menstabilkan nitrogliserin. Selepas tujuh tahun uji kaji, dia mencapai matlamatnya dengan menyerap nitrogliserin ke dalam bahan yang hampir tidak bernilai yang dikenali sebagai tanah diatom atau kieselguhr. Kieselguhr ialah batu berliang yang boleh dihancurkan menjadi serbuk halus. Apabila dicampurkan dengan nitrogliserin, kieselguhr menyerap nitrogliserin dan pes yang terhasil boleh dibentuk menjadi “batang.” Dalam bentuk ini, nitrogliserin jauh lebih stabil. Ia boleh disimpan, diangkut, dan digunakan dengan selamat tanpa kuasa letupannya berkurangan. Nobel menamakan gabungan nitrogliserin dan kieselguhr sebagai dinamit.

Dinamit mengubah dunia. Ia juga menjadikan Nobel kaya. Tanpa penstabil, nitrogliserin terlalu berbahaya untuk menjadi berharga secara komersial, seperti yang Ascanio Sobrero temui. Dengan sendirinya, seperti yang saya katakan, penstabil, kieselguhr tidak bernilai. Tetapi gabungan kedua-dua komponen tersebut menjadikan dinamit transformatif dan berharga.

Dalam cara yang sama, gabungan injil Yesus Kristus dan Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir memberikan manfaat yang berkuasa dan transformatif untuk kita. Injil adalah sempurna, tetapi sebuah gereja yang diberi wewenang ilahi diperlukan untuk mengkhutbahkannya, mengekalkan kesuciannya, dan melaksanakan tatacara kudusnya dengan kuasa dan wewenang Juruselamat.

Pertimbangkan gabungan injil Juruselamat dan Gereja-Nya sebagaimana yang ditubuhkan oleh nabi Kitab Mormon Alma. Gereja bertanggungjawab untuk “tidak mengkhutbahkan apa pun kecuali pertaubatan dan iman kepada Tuhan, yang [akan menebus] umat-Nya.” Dengan menggunakan wewenang Tuhan, Gereja bertanggungjawab untuk melaksanakan tatacara pembaptisan “dalam nama Tuhan, sebagai suatu kesaksian [memasuki] ke dalam sebuah perjanjian dengan-Nya [untuk] melayani-Nya dan mentaati perintah-perintah-Nya.” Orang-orang yang dibaptiskan mengambil ke atas diri mereka nama Yesus Kristus, menyertai Gereja-Nya, dan dijanjikan kuasa besar melalui pencurahan Roh.

Orang ramai berpusu-pusu ke perairan Mormon untuk mendengar Alma mengkhutbahkan injil. Walaupun mereka menghormati perairan itu dan hutan di sekelilingnya, Gereja Tuhan bukanlah lokasi atau bangunan, begitu juga dengan hari ini. Gereja hanyalah orang-orang biasa, pengikut Yesus Kristus, berkumpul dan disusun ke dalam struktur keilahilan yang ditetapkan yang membantu Tuhan mencapai tujuan-Nya. Gereja ialah alat yang melaluinya kita mempelajari peranan utama Yesus Kristus dalam rancangan Bapa Syurgawi. Gereja menawarkan jalan berwewenang bagi individu untuk mengambil bahagian dalam tatacara dan membuat perjanjian yang berkekalan dengan Tuhan. Mentaati perjanjian-perjanjian itu mendekatkan kita kepada Tuhan, memberi kita akses kepada kuasa-Nya, dan mengubah kita menjadi siapa yang Dia ingin kita menjadi.

Sama seperti dinamit tanpa nitrogliserin bukanlah sesuatu yang istimewa, Gereja Juruselamat hanya istimewa jika ia dibina di atas injil-Nya. Tanpa injil Juruselamat dan wewenang untuk melaksanakan tatacaranya, Gereja tidak luar biasa.

Tanpa kesan penstabilan kieselguhr, nitrogliserin mempunyai nilai terhad sebagai bahan letupan. Seperti sejarah tunjukkan, tanpa Gereja Tuhan, pemahaman manusia tentang injil-Nya juga tidak stabil—terdedah kepada penyimpangan ajaran dan tertakluk kepada pengaruh agama, budaya, dan falsafah yang berbeza. Gabungan pengaruh-pengaruh tersebut telah dinyatakan dalam setiap zaman keagamaan yang membawa kepada yang terakhir ini. Walaupun injil pada mulanya diungkapkan dalam kemurniannya, tafsiran dan penerapan injil itu secara beransur-ansur mengambil bentuk ketuhanan kekurangan kuasa kerana rangka kerja wewenang ilahi telah hilang.

Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir membolehkan akses kepada kuasa Tuhan kerana ia diberi wewenang oleh-Nya untuk mengajarkan ajaran Kristus dan untuk menawarkan tatacara injil yang menyelamatkan dan mempermuliakan. Juruselamat ingin mengampuni dosa-dosa kita, membantu kita mengakses kuasa-Nya, dan mengubah kita. Dia menderita untuk dosa-dosa kita dan ingin mengampuni kita daripada hukuman yang sepatutnya kita terima. Dia mahu kita menjadi kudus dan disempurnakan di dalam Dia.

Yesus Kristus berkuasa untuk melakukan ini. Dia tidak hanya bersimpati pada ketidaksempurnaan kita dan meratapi hukuman kekal kita akibat dosa. Tidak, Dia lakukan lebih melampaui itu, dan memulihkan Gereja-Nya untuk membolehkan akses kepada kuasa-Nya.

Teras injil yang diajarkan oleh Gereja ialah Yesus Kristus menanggung “kepiluan kita, dan menanggung kesedihan kita.” Dia telah “[dijatuhkan hukuman], hukuman yang seharusnya dijatuhkan kepada kita.” Dia “mati pada kayu salib,” memutuskan “ikatan kematian,” “telah naik ke syurga, dan … duduk di sebelah tangan kanan Tuhan, untuk menuntut daripada Bapa hak-hak belas kasihan-Nya.” Juruselamat melakukan semua ini kerana Dia mengasihi Bapa-Nya dan Dia mengasihi kita. Dia telah bayar harga yang tidak terhingga supaya Dia boleh “[menuntut] semua yang memiliki iman kepada-Nya; [dan membela ]” untuk mereka—untuk kita. Yesus Kristus tidak mahukan apa-apa selain kita bertaubat dan datang kepada-Nya supaya Dia boleh mempersolehkan dan menguduskan kita. Hasrat-Nya ini tidak pernah henti dan goyah.

Akses kepada kuasa perjanjian-Nya dan kasih perjanjian-Nya adalah melalui Gereja-Nya. Gabungan injil Juruselamat dan Gereja-Nya mengubah kehidupan kita. Ia mengubah datuk dan nenek sebelah ibu saya. Datuk saya, Oskar Andersson, bekerja di limbungan kapal di Högmarsö, sebuah pulau di kepulauan Stockholm. Isterinya, Albertina, dan anak-anak mereka tinggal di tanah besar Sweden. Dua minggu sekali, pada hari Sabtu, Oskar mendayung botnya pulang ke rumah pada hujung minggu sebelum kembali ke Högmarsö pada petang Ahad. Pada suatu hari, semasa berada di Högmarsö, dia mendengar dua misionari Amerika mengkhutbahkan injil Yesus Kristus yang dipulihkan. Oskar merasakan apa yang didengari itu adalah kebenaran tulen, dan dia dipenuhi dengan kegembiraan yang tidak dapat diungkapkan.

Pada kali berikutnya dia pulang ke rumah, Oskar dengan teruja memberitahu Albertina semua tentang misionari. Dia menjelaskan dia mempercayai ajaran mereka. Dia meminta isterinya membaca risalah yang misionari berikan; dan memberitahunya bahawa dia tidak mahu mana-mana anak mereka di masa depan dibaptiskan semasa bayi. Albertina sangat marah dan melemparkan risalah itu ke timbunan sampah. Mereka tidak banyak bercakap sebelum Oskar balik ke kerja pada petang Ahad.

Sebaik sahaja dia pergi, Albertina mengambil semula risalah itu. Dia dengan teliti membandingkan ajaran mereka dengan ajaran dalam Alkitab usangnya. Dia tercengang merasakan apa yang dibacanya itu adalah benar. Pada masa Oskar pulang ke rumah, dia menerima sambutan hangat, begitu juga salinan Kitab Mormon yang dibawanya. Albertina bersemangat membaca, sekali lagi membandingkan ajaran itu dengan Alkitabnya. Seperti Oskar, dia mengenali kebenaran tulen dan dipenuhi dengan kegembiraan yang tidak dapat digambarkan.

Oskar, Albertina, dan anak-anak mereka berpindah ke Högmarsö untuk dekat dengan ahli Gereja di sana. Seminggu selepas Oskar dan Albertina dibaptiskan pada tahun 1916, Oskar dipanggil sebagai pemimpin kumpulan di Högmarsö. Seperti kebanyakan penganut baru, Oskar dan Albertina menghadapi kritikan kerana iman baharu mereka. Petani tempatan enggan menjual susu kepada mereka, jadi Oskar mendayung merentasi fiord setiap hari untuk membeli susu daripada petani yang lebih bertolak ansur.

Pada tahun-tahun berikutnya, keahlian Gereja di Högmarsö meningkat, sebahagiannya kerana kesaksian Albertina yang kuat dan semangat misionari yang membara. Apabila kumpulan itu menjadi cabang, Oskar dipanggil sebagai presiden cabang.

Ahli-ahli cabang Högmarsö itu menjunjung pulau itu. Inilah perairan Mormon mereka. Di sinilah mereka memperoleh pengetahuan tentang Penebus mereka.

Selama bertahun-tahun, semasa mereka mentaati perjanjian pembaptisan mereka, Oskar dan Albertina telah diubah oleh kuasa Yesus Kristus. Mereka berhasrat untuk membuat lebih banyak perjanjian dan menerima berkat bait suci mereka. Untuk memperoleh berkat itu, mereka berhijrah secara kekal dari rumah mereka di Sweden ke Salt Lake City pada tahun 1949. Oskar telah melayani sebagai pemimpin ahli-ahli di Högmarsö selama 33 tahun.

Gabungan nitrogliserin dan kieselguhr menjadikan dinamit berharga; gabungan injil Yesus Kristus dan Gereja-Nya adalah tidak ternilai. Oskar dan Albertina mendengar tentang injil yang dipulihkan kerana seorang nabi Tuhan telah memanggil, menugaskan, dan menghantar misionari ke Sweden. Melalui perintah ilahi, misionari mengajar ajaran Kristus dan melalui wewenang imamat membaptiskan Oskar dan Albertina. Sebagai ahli, Oskar dan Albertina terus belajar, berkembang, dan melayani orang lain. Mereka menjadi Orang Suci Zaman Akhir kerana mereka mentaati perjanjian yang mereka buat.

Juruselamat merujuk Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir sebagai “Gereja-Ku” kerana Dia memberinya wewenang ilahi untuk mencapai tujuan-Nya—mengkhutbahkan injil-Nya, menawarkan tatacara dan perjanjian-Nya, dan dengan itu memungkinkan kuasa-Nya untuk mempersolehkan dan menguduskan kita. Tanpa Gereja-Nya, tiada wewenang, tiada khutbah kebenaran yang diwahyukan dalam nama-Nya, tiada tatacara atau perjanjian, tidak ada pernyataan kuasa ketuhanan, tiada perubahan untuk menjadi siapa yang Tuhan inginkan kita menjadi, dan rancangan Tuhan untuk anak-anak-Nya ditetapkan dengan sia-sia. Gereja dalam zaman keagamaan ini adalah penting kepada rancangan-Nya.

Saya menjemput anda untuk lebih sepenuhnya mengabdikan diri kepada Juruselamat, injil-Nya, dan Gereja-Nya. Semasa anda berbuat demikian, anda akan temui gabungan injil Juruselamat dan Gereja-Nya membawa kuasa ke dalam hidup anda. Kuasa ini jauh lebih hebat daripada dinamit. Ia akan menghancurkan batu di jalan anda dan mengubah anda menjadi pewaris dalam kerajaan Tuhan. Dan anda akan dipenuhi dengan kebahagiaan yang tak terkata dan penuh dengan kemuliaan. Dalam nama Yesus Kristus, amin.

Nota

  1. Serbuk letupan adalah campuran kalium nitrat (garam batu), sulfur, dan arang. Ia diklasifikasikan sebagai bahan letupan rendah atau bahan letupan hasil rendah kerana kadar penguraiannya yang agak perlahan, terbakar pada kelajuan subsonik. Bahan letupan tinggi atau bahan letupan hasil tinggi meletup dan bukannya terbakar, menghasilkan gelombang kejutan supersonik.

  2. Dinamit membolehkan “lonjakan yang tidak pernah berlaku sebelum ini dalam penciptaan terowong kereta api, sistem pembetung, dan kereta bawah tanah di seluruh dunia—projek kejuruteraan utama yang mustahil untuk [dicapai] tanpa letupan terkawal [yang dibenarkan]. Hampir semua kejayaan kejuruteraan ikonik pada [akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20]—London Underground, Jambatan Brooklyn, Rel Rentas Benua, [dan] Terusan Panama—bergantung secara meluas pada bahan letupan baharu” (Steven Johnson, The Infernal Machine: A True Story of Dynamite, Terror, and the Rise of the Modern Detective [2024].

  3. Kerana nitrogliserin sendiri tidak berdaya maju secara komersial, Ascanio Sobrero tidak menjadi kaya kerana ciptaannya. Tetapi, apabila Alfred Nobel membina sebuah kilang dinamit di Avigliana, Itali pada tahun 1873, Sobrero telah dilantik sebagai penasihat bergaji tinggi pengiktirafan penemuan nitrogliserin oleh dia. Sobrero memegang jawatan itu sehingga kematiannya pada tahun 1888. (Lihat G. I. Brown, The Big Bang: A History of Explosives [1998], 106.)

  4. Untuk sejarah serbuk letupan, nitrogliserin, dan dinamit, lihat Brown, The Big Bang, 1–121.

  5. Injil Yesus Kristus adalah sinonim dengan ajaran Kristus.

  6. Lihat Mosia 18:7, 20; 25:15, 22.

  7. Mosia 18:10.

  8. Lihat 2 Nefi 31:13.

  9. Lihat Mosia 18:17; 25:18, 23; Alma 4:4–5; Helaman 3:24–26; 3 Nefi 28:18, 23.

  10. Lihat 2 Nefi 31:12–14; Mosia 18:10.

  11. Gereja adalah kunci untuk menawarkan perjanjian kudus kepada anak-anak Bapa Syurgawi. Inilah sebabnya mengapa semasa anugerahan di bait suci, ahli-ahli berjanji untuk mentaati hukum pembaktian. Ini bermakna bahawa mereka “membaktikan masa, bakat, dan segala yang Tuhan telah berkati mereka untuk membangunkan Gereja Yesus Kristus di bumi” (Buku Panduan Umum: Melayani dalam Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir, 27.2, Gospel Library).

  12. Lihat Russell M. Nelson, “Harta Karun Rohani,” Liahona, Nov. 2019, 77.

  13. Lihat Mosia 18:22; Musa 6:68; Panduan Tulisan Suci, “SparaPara Putera dan Puteri Tuhan,” Gospel Library.

  14. Lihat 3 Nefi 27:13–21.

  15. Lihat Fasal-Fasal Kepercayaan 1:5.

  16. Lihat Russell M. Nelson, “Bersukacita dalam Kurnia Kunci-kunci Imamat,” Liahona, Mei 2024, 121; 3 Nefi 27:9–11.

  17. Juruselamat “[melantik] beberapa menjadi rasul; yang lain menjadi nabi; yang lain lagi menjadi pembawa Berita Baik; dan yang lain pula guru dan pemelihara jemaah” supaya “kita [boleh] menjadi satu oleh iman, dan pengertian yang sama tentang Anak Tuhan, … barulah kita tidak menjadi anak-anak lagi, yang diumbang-ambingkan, dan ditiup ke sana sini oleh angin ajaran orang licik. Mereka menyesatkan orang dengan tipu muslihat” (Efesus 4:11-14).

  18. Sinkretisme ialah istilah teknikal untuk penggabungan agama, budaya, atau aliran pemikiran yang berbeza.

  19. Lihat Joseph Smith—Sejarah 1:19.

  20. Lihat “Pemulihan Kegenapan Injil Yesus Kristus: Perisytiharan Ulang Tahun Kedua Ratus kepada Dunia,” Gospel Library. Pengisytiharan ini dibaca oleh Presiden Russell M. Nelson sebagai bahagian daripada pesanannya di Persidangan Umum Tahunan ke-190, 05 April 2020, di Salt Lake City, Utah (lihat “Dengarkanlah Dia,” Liahona, Mei 2020, 91–92).

  21. Kita boleh mengakses kuasa Tuhan dengan menjalankan iman kepada Yesus Kristus, bertaubat daripada dosa-dosa kita, dan mentaati perjanjian-perjanjian yang kita buat dengan Bapa Syurgawi dan Yesus Kristus dalam tatacara seperti pembaptisan, anugerahan, dan sakramen.

  22. Lihat Panduan Tulisan Suci, “Dimaklumkan Soleh, Dipersolehkan,” Gospel Library.

  23. Lihat Panduan Tulisan Suci, “Pengudusan,” Gospel Library.

  24. Lihat Moroni 10:32–33.

  25. Lihat Ibrani 4:15; lihat juga nota kaki a.

  26. Lihat Ajaran dan Perjanjian 19:15–18.

  27. Lihat Yesaya 53:4–12.

  28. Ibrani 12:2.

  29. Mosia 15:23.

  30. Moroni 7:27–28; lihat juga Ajaran dan Perjanjian 45:3–5.

  31. Lihat Mosia 18:30.

  32. Lihat Inger Höglund dan Caj-Aage Johansson, Steg i Tro: Jesu Kristi Kyrka av Sista Dagars Heliga i Sverige 1850–2000 (2000), 66–67.

  33. Ajaran dan Perjanjian 115:4.

  34. Lihat Ajaran dan Perjanjian 84:19–21.

  35. Jika anda menerima apa yang Gereja Tuhan tawarkan, anda boleh disempurnakan dalam Kristus sebelum Gereja-Nya disempurnakan, jika ia pernah ada. Matlamat-Nya adalah untuk menyempurnakan anda, bukan Gereja-Nya. Matlamatnya tidak pernah untuk, secara metafora, mengubah kieselguhr menjadi berlian; matlamat-Nya adalah untuk memurnikan anda menjadi emas tulen, untuk menyelamatkan dan meninggikan anda sebagai pewaris bersama dengan-Nya dalam kerajaan Bapa Syurgawi kita. Tetapi itu perlu menjadi matlamat anda juga. Itu pilihan anda.

  36. Helaman 5:44.