Persidangan Umum
Firman Kristus dan Roh Kudus Akan Menuntun Kita kepada Kebenaran
Persidangan umum Oktober 2024


10:6

Firman Kristus dan Roh Kudus Akan Menuntun Kita kepada Kebenaran

Mengetahui rancangan yang luar biasa ini akan membantu kita mengetahui kita anak Tuhan dan kita boleh menjadi seperti Dia.

Tuhan adalah Bapa kita di syurga. Kita adalah anak-anak roh-Nya, dan kita dicipta menurut rupa-Nya. Oleh itu, setiap kita, sebagai anak-anak Tuhan, mempunyai potensi ilahi untuk menjadi seperti Dia.

Kita tinggal bersama Dia sebagai roh sebelum kita datang ke bumi ini. Bapa Syurgawi, sebagai ibu bapa roh kita, mengasihi kita, menginginkan yang terbaik untuk kita, dan menyediakan rancangan untuk kita menerima berkat-berkat-Nya yang besar, iaitu kebaqaan dan kehidupan abadi. Menurut rancangan tersebut, kita, sebagai anak-anak roh, akan diberikan hak pilihan untuk memilih rancangan-Nya. Dengan datang ke dunia, kita akan meninggalkan hadirat Tuhan, melupakan kehidupan pra-fana kita, menerima tubuh daging dan tulang, menerima pengalaman peribadi kita, dan membangunkan iman. Dengan tubuh daging dan tulang kita, sebagai manusia alamiah kita akan tunduk kepada godaan, menjadi kotor dan jauh daripada Tuhan, dan tidak boleh kembali ke hadirat-Nya yang kudus. Kerana kasih Bapa Syurgawi yang tidak terhingga terhadap kita, Dia menghantar Putera Tunggal-Nya, Yesus Kristus, untuk menjadi Juruselamat kita. Melalui pengorbanan-Nya, Korban Tebusan, Yesus Kristus memungkinkan kita ditebus daripada dosa-dosa kita dan dibangkitkan dan menerima kehidupan abadi.

Saya sangat bersyukur untuk kebenaran-kebenaran mulia ini—yang kita panggil rancangan penyelamatan Bapa, rancangan belas kasihan-Nya, atau rancangan kebahagiaan-Nya. Mempelajari kebenaran penting ini telah membantu saya mengetahui identiti sebenar saya dan berkat besar permuliaan dan kehidupan abadi yang telah Tuhan sediakan untuk kita. Nabi Nefi mengajar kita caranya: “Oleh, kerana itu, … jamuilah diri dengan firman Kristus; kerana lihatlah, firman Kristus akan memberitahu kamu segalanya yang kamu harus lakukan.” Dia menambah, “Jika kamu akan masuk ke dalam melalui jalan itu, dan menerima Roh Kudus, ia akan memperlihatkan kepadamu segalanya yang kamu harus lakukan.” Hari ini, saya ingin berkongsi bagaimana firman Kristus dan Roh Kudus membantu saya mencari kebenaran penting yang membawa kedamaian pada kehidupan remaja saya.

Firman Kristus dan Roh Kudus Akan Menuntun Kita kepada Kebenaran

Seperti Nefi nyatakan di dalam pembukaan kitab 1 Nefi, saya juga “dilahirkan dari ibu bapa yang baik.” Saya dibesarkan di Nagano, Jepun, di sebuah rumah di mana kejujuran, ketekunan, dan kerendahan hati sangat digalakkan dan kepatuhan kepada adat lama dipatuhi dengan ketat. Ayah saya seorang yang kuat agama. Saya melihat dia berdoa di hadapan mezbah Shinto dan Buddha setiap pagi dan setiap malam. Walaupun saya tidak tahu kepada siapa dia berdoa dan untuk apa dia berdoa, saya percaya adanya kuasa yang tidak kelihatan atau Tuhan yang “perkasa untuk menyelamatkan” atau membantu kita jika kita berdoa dengan ikhlas.

Seperti remaja yang lain, saya mengalami banyak kesukaran. Saya bergelut, memikirkan kehidupan ini tidak adil dan mempunyai banyak pasang surut. Saya berasa hilang, kerana tidak mempunyai hala tuju dalam hidup saya. Kehidupan kelihatan begitu sekejap kerana ia akan berakhir apabila saya mati. Kehidupan tanpa mengetahui rancangan penyelamatan sangat mengelirukan.

Tidak lama selepas saya mula belajar Bahasa Inggeris di sekolah menengah rendah, semua pelajar di sekolah saya menerima salinan Perjanjian Baru. Walaupun kami baru sahaja memulakan pembelajaran Bahasa Inggeris, guru kami memberitahu kami harus belajar Bahasa Inggeris dengan membacanya. Saya membuka dan menyemak isi kandungannya. Kata-kata dalam Perjanjian Baru amat sukar bagi saya. Kata-kata dalam Bahasa Jepun juga sukar. Namun, saya tertarik kepada senarai kenyataan dan soalan tentang jiwa yang telah disertakan sebelum teks alkitab dalam Alkitab Gideon ini—soalan tentang perasaan kesepian, kurang keyakinan, keliru, menghadapi ujian hidup, dan sebagainya. Setiap item dalam senarai diikuti dengan rujukkan kepada ayat-ayat dan muka surat dalam Perjanjian Baru. Saya amat tertarik kepada kenyataan “Apabila anda penat.” Rujukkan itu membawa saya untuk membuka Matius 11:28–30, di mana Yesus berkata kepada para pengikut-Nya:

“Marilah kepada-Ku, hai kamu semua yang lelah kerana memikul beban yang berat; Aku akan membebaskan kamu daripada beban kamu.

“Ikutlah perintah-Ku dan terimalah ajaran-Ku, kerana Aku ini lemah lembut dan rendah hati; kamu akan mendapat kesejahteraan.

“Perintah yang Aku berikan kepada kamu mudah diturut, dan beban yang Aku berikan mudah dipikul.”

Ini adalah kali pertama yang saya ingat tentang membaca firman Yesus Kristus. Walaupun saya tidak faham semua firman-Nya, firman-Nya menghiburkan saya, mengangkat jiwa saya, dan memberikan saya harapan. Semakin saya membaca firman-Nya, semakin saya berasa seperti saya harus mencuba hemah firman-Nya. Saya tidak pernah rasa seperti yang saya rasakan hari itu. Saya rasa saya dikasihi. Saya merasakan bahawa Yesus Kristus adalah seseorang yang saya kenali.

Semasa saya sambung belajar, saya rasa seperti Dia secara langsung berbicara dengan saya apabila Dia berkata, “Berbahagialah orang yang betul-betul mahu melakukan kehendak Tuhan, Tuhan akan memuaskan mereka!”

Firman-Nya memenuhi hati saya, walaupun saya tidak dapat gambarkan perasaan saya dengan baik ketika itu. Walaupun Yesus Kristus hidup berabad-abad yang lalu di negeri yang tidak saya kenal, saya boleh mempercayai firman-Nya dengan sepenuh hati saya. Saya berharap suatu hari nanti saya boleh belajar lebih banyak tentang Yesus Kristus.

Roh Kudus Akan Memperlihatkan Kepadamu Segalanya Yang Kamu Harus Lakukan

Hari itu datang hanya beberapa tahun kemudian. Saya bertemu dengan para misionari muda sepenuh masa Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir. Dan kemudian saya bertemu dengan kumpulan kecil Orang Suci Zaman Akhir yang baik hati dan berusaha untuk mengikuti Yesus Kristus. Walaupun mengambil masa untuk saya mempercayai mereka sepenuhnya, saya melihat dalam injil yang dipulihkan apa yang saya inginkan ketika saya mempelajari Perjanjian Baru—firman Yesus Kristus dan harapan serta kedamaian yang datang darinya.

Pengalaman kudus adalah apabila para misionari mengajar saya untuk berdoa. Saya belajar kita harus memanggil Tuhan dengan nama-Nya. Apabila kita berdoa, kita harus bercakap dari hati kita, menyatakan kesyukuran, dan berkongsi harapan dan hasrat kita. Setelah kita ucapkan semua isi hati, kita akhiri doa kita dengan berkata, “Dalam nama Yesus Kristus, amin.” Kita melakukan ini kerana Yesus memerintahkan kita untuk berdoa dalam nama-Nya. Berdoa kepada Bapa Syurgawi membantu saya mengenali siapa Dia dan hubungan saya dengan-Nya—saya adalah anak lelaki roh terkasih-Nya. Saya belajar bahawa kerana Bapa Syurgawi mengenali dan mengasihi saya, Dia akan bercakap kepada saya secara peribadi, unik, dan dengan cara yang saya fahami melalui Roh Kudus.

Ada masa ketika saya benar-benar tidak dapat mengenali Roh Kudus. Saya salah faham, memikirkan saya hanya perlu mengikuti langkah-langkah doa dan sesuatu yang dramatik akan berlaku. Suatu hari, semasa pelajaran dengan para misionari, saya keluar dari pelajaran untuk berehat. Saya masih keliru tentang apa yang harus saya lakukan dengan kehidupan saya jika injil Yesus Kristus yang dipulihkan adalah benar.

Semasa saya hendak kembali ke bilik di mana para misionari sedang menunggu, saya terdengar suara salah seorang misionari. Saya dengar nama saya. Saya hanya mendengar di sebalik pintu. Saya terkedu. Mereka sedang berdoa kepada Bapa Syurgawi. Misionari yang mengucapkan doa itu memohon kepada Tuhan agar Dia mendengar doa saya. Walaupun Bahasa Jepunnya tidak fasih, mendengar doanya yang ikhlas melembutkan hati saya. Saya tertanya-tanya mengapa mereka sangat peduli tentang saya. Kemudian saya sedari doa mereka bagi pihak saya adalah cerminan kasih Bapa Syurgawi dan Juruselamat kepada saya. Kasih itu memberi saya harapan, dan selepas itu saya meminta Tuhan dengan iman dan niat yang bersungguh-sungguh. Apabila saya melakukannya, saya rasa gembira dan damai kerana saya anak Tuhan dan saya mempunyai potensi dan takdir ilahi. Rancangan penyelamatan meresap jauh ke dalam hati saya.

Presiden Russell M. Nelson berkata, “Cara anda berfikir tentang siapa anda mempengaruhi … setiap keputusan yang anda akan buat.” Ia benar bagi saya. Keputusan untuk mengikut Juruselamat Yesus Kristus dengan dibaptiskan dan menerima kurnia Roh Kudus memberkati hidup saya lebih daripada yang saya bayangkan. Apabila kita memasuki perjanjian pembaptisan dengan Tuhan, kita berjanji bahawa kita bersedia untuk mengambil ke atas diri kita nama Yesus Kristus, mematuhi perintah-perintah Tuhan, dan melayani-Nya sepanjang hidup kita. Bapa Syurgawi kita, seterusnya, berjanji kepada kita bahawa kita boleh sentiasa mempunyai Roh-Nya bersama kita—bimbingan berterusan daripada Roh Kudus.

Saya menjemput anda untuk beriman dalam pesanan yang Nefi ajarkan—bahawa firman Kristus dan Roh Kudus akan mengarahkan anda ke “segalanya yang kamu harus lakukan.” Segalanya! Ini adalah kurnia hebat daripada Tuhan.

Saudara dan saudari, saya bersyukur untuk rancangan keselamatan Bapa Syurgawi. Kerana Dia mengasihi kita, Dia menyediakan jalan untuk kembali ke hadirat-Nya melalui Putera Tunggal-Nya, Yesus Kristus. Mengetahui rancangan yang luar biasa ini akan membantu kita mengetahui kita anak Tuhan dan kita boleh menjadi seperti Dia. Saya bersyukur untuk kebenaran penting ini. Saya bersaksi bahawa firman Yesus Kristus dan Roh Kudus akan menuntun kita kepada kehidupan abadi. Saya tahu ini benar. Dalam nama kudus Yesus Kristus, amin.