Pelihara Akar, dan Cabang Akan Tumbuh
Cabang kesaksian anda akan mendapat kekuatan daripada iman anda yang mendalam kepada Bapa Syurgawi dan Putera Terkasih-Nya.
Sebuah Bangunan Gereja Lama di Zwickau
Tahun 2024 merupakan tahun yang penting bagi saya. Ia menandakan 75 tahun sejak saya dibaptiskan dan ditetapkan sebagai ahli Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir di Zwickau, Jerman.
Keahlian saya dalam Gereja Yesus Kristus sangat bermakna bagi saya. Untuk dikira di kalangan umat perjanjian Tuhan, bersama anda, saudara dan saudari saya, adalah salah satu penghormatan terbesar dalam hidup saya.
Apabila saya berfikir tentang perjalanan peribadi penganutan saya, fikiran saya sering kembali ke sebuah vila lama di Zwickau, di mana kenangan berharga saya menghadiri pertemuan sakramen di Gereja Yesus Kristus semasa kecil. Di sanalah benih kesaksian saya menerima khasiat yang paling terawal.
Bangunan gereja Zwickau mempunyai satu organ lama yang dimainkan dengan tekanan udara. Setiap Ahad seorang remaja putera ditugaskan untuk menolak ke atas dan ke bawah sebatang tuas kukuh yang mengendalikan pam-pam angin supaya organ tersebut boleh berfungsi. Kadang-kadang saya berkesempatan untuk membantu dalam tugas penting ini.
Sewaktu para jemaah menyanyikan lagu rohani, saya mengepam dengan segala kekuatan saya agar organ tersebut tidak akan kehabisan angin. Dari tempat duduk pengendali penghembus, saya melihat beberapa tingkap kaca berwarna yang menakjubkan, satu menggambarkan Juruselamat Yesus Kristus dan satu lagi menggambarkan Joseph Smith di Sacred Grove.
Saya masih ingat perasaan kudus yang saya miliki semasa saya melihat tingkap-tingkap yang diterangi matahari itu sambil mendengar kesaksian Orang Suci dan menyanyikan lagu rohani Sion.
Di tempat kudus itu, Roh Tuhan bersaksi kepada fikiran dan hati saya bahawa itu benar: Yesus Kristus ialah Juruselamat dunia. Inilah Gereja-Nya. Nabi Joseph Smith melihat Tuhan Bapa dan Yesus Kristus dan mendengar suara Mereka.
Awal tahun ini, semasa bertugas di Eropah, saya berpeluang untuk pulang ke Zwickau. Malangnya, gereja lama yang dikasihi itu sudah tiada. Ia telah dirobohkan bertahun-tahun yang lalu untuk pembinaan bangunan pangsapuri yang besar.
Apa Yang Abadi, dan Apa Yang Tidak?
Saya sedih mengetahui bangunan terkasih saya dari zaman kanak-kanak kini tinggal kenangan. Ia adalah bangunan kudus bagi saya. Tetapi ia hanyalah sebuah bangunan.
Sebaliknya, kesaksian rohani yang saya peroleh daripada Roh Kudus bertahun-tahun yang lalu tidak pernah lenyap. Malah, ia telah berkembang lebih kuat. Hal-hal yang saya pelajari semasa muda tentang asas-asas injil Yesus Kristus telah menjadi landasan yang kukuh sepanjang hidup saya. Hubungan perjanjian yang saya jalin dengan Bapa Syurgawi saya dan Putera Terkasih-Nya telah kekal bersama saya—lama selepas gereja Zwickau dirobohkan dan tingkap kaca berwarna itu hilang.
“Langit dan bumi akan lenyap, tetapi firman-Ku kekal selama-lamanya.”
“Biarpun gunung dan bukit runtuh, tetapi Aku tidak akan berhenti mengasihimu; Aku akan menepati perjanjian damai-Ku. Demikianlah firman Tuhan.”
Salah satu hal terpenting yang boleh kita pelajari dalam kehidupan ini ialah perbezaan antara apa yang abadi dan apa yang tidak. Sebaik sahaja kita memahaminya, segala-galanya berubah—hubungan kita, pilihan yang kita buat, cara kita melayani orang.
Mengenali apa yang abadi dan apa yang tidak adalah kunci untuk mengembangkan kesaksian tentang Yesus Kristus dan Gereja-Nya.
Jangan Tersilap Cabang sebagai Akar
Injil Yesus Kristus yang dipulihkan, seperti yang Nabi Joseph Smith ajarkan, “merangkumi semua, dan setiap hal kebenaran.” Tetapi itu tidak bermakna bahawa semua kebenaran mempunyai nilai yang sama. Sesetengah kebenaran adalah teras, penting, di akar iman kita. Yang lain adalah pelengkap atau cabang-cabang—berharga, tetapi hanya apabila ia bersambung kepada asas-asas.
Nabi Joseph Smith juga berkata, “Asas-asas dasar agama kita adalah kesaksian para Rasul dan Nabi, mengenai Yesus Kristus, bahawa Dia telah mati, dikuburkan, dan bangkit semula pada hari ketiga, dan naik ke syurga; dan semua hal lain yang berkaitan dengan agama kita hanyalah merupakan tambahan terhadapnya. ”
Dalam erti kata lain, Yesus Kristus dan pengorbanan-Nya adalah akar kesaksian kita. Semua hal lain adalah cabang-cabang.
Ini bukanlah bermaksud cabang-cabang itu tidak penting. Sebatang pokok memerlukan cabang. Tetapi seperti Juruselamat katakan kepada para pengikut-Nya, “Cabang sendiri tidak dapat berbuah, kecuali tetap pada pokoknya.” Tanpa sebuah hubungan dengan Juruselamat, kepada khasiat yang terdapat dalam akar, cabang menjadi layu dan mati.
Berkaitan memelihara kesaksian kita tentang Yesus Kristus, saya tertanya-tanya jika kita kadang-kadang tersilap cabang sebagai akarnya. Ini adalah kesilapan yang Yesus perhatikan dalam orang Farisi pada zaman-Nya. Mereka memberi begitu perhatikan kepada butiran hukum yang agak kecil sehingga mereka akhirnya mengabaikan apa yang Juruselamat sebut “betul-betul mustahak”—prinsip asas seperti “keadilan dan belas kasihan dan [iman].”
Jika anda ingin memelihara pokok, janganlah menyimbah air pada cabang tersebut. Siramlah akarnya. Begitu juga, jika anda mahu cabang-cabang kesaksian anda tumbuh dan berbuah, peliharalah akarnya. Jika anda tidak pasti tentang ajaran atau amalan atau elemen tertentu dalam sejarah Gereja, carilah kejelasan dengan iman kepada Yesus Kristus. Berusaha untuk fahami pengorbanan-Nya untuk anda, kasih-Nya untuk anda, kehendak-Nya untuk anda. Ikutlah Dia dengan kerendahan hati. Cabang kesaksian anda akan mendapat kekuatan daripada iman anda yang mendalam kepada Bapa Syurgawi dan Putera Terkasih-Nya.
Contohnya, jika anda mahukan kesaksian yang lebih kuat tentang Kitab Mormon, fokus pada kesaksiannya tentang Yesus Kristus. Perhatikan bagaimana Kitab Mormon bersaksi tentang Dia, apa yang ia ajarkan tentang Dia, dan bagaimana ia menjemput dan mengilhami anda untuk datang kepada-Nya.
Jika anda mencari pengalaman yang lebih bermakna dalam pertemuan Gereja atau di bait suci, carilah Juruselamat dalam tatacara kudus yang kita terima di sana. Cari Tuhan di rumah kudus-Nya.
Jika anda berasa letih atau terbeban dengan panggilan Gereja anda, cuba fokuskan semula pelayanan anda kepada Yesus Kristus. Jadikan ia ungkapan kasih anda kepada-Nya.
Pelihara akar, dan cabang akan tumbuh. Dan pada masanya, ia akan berbuah.
Berakar Umbi dalam Dia
Iman yang kuat kepada Yesus Kristus tidak semalaman. Tidak, dalam dunia fana ini, hanya semak dan duri keraguan yang tumbuh secara tidak langsung. Pokok iman yang sihat dan berbuah memerlukan usaha yang penuh niat. Dan bahagian penting dalam usaha itu ialah memastikan kita berakar umbi dalam Kristus.
Contohnya: Pada mulanya, kita mungkin tertarik kepada injil dan Gereja Juruselamat kerana kita kagum dengan ahli-ahli yang mesra atau oleh uskup yang baik atau rupa gereja yang bersih. Keadaan ini sememangnya penting untuk mengembangkan Gereja.
Namun, jika akar kesaksian kita tidak pernah tumbuh lebih dalam daripada itu, apakah yang akan berlaku apabila kita berpindah ke bahagian yang mengadakan pertemuan di bangunan yang kurang mengagumkan, dengan ahli-ahli yang tidak begitu mesra, dan uskup mengucap sesuatu yang menyinggung perasaan kita?
Satu lagi contoh: Tidakkah munasabah untuk berharap bahawa jika kita taati perintah-perintah dan dimeteraikan di bait suci, kita akan diberkati dengan keluarga yang besar dan bahagia dengan anak-anak yang patuh dan cerdas, yang semuanya kekal aktif dalam Gereja, melayani misi, menyanyi dalam koir bahagian, dan sukarela membersihkan gereja setiap pagi Sabtu?
Saya berharap kita semua akan melihat ini dalam hidup kita. Tetapi bagaimana jika ia tidak berlaku? Adakah kita akan kekal bersama Juruselamat tanpa mengira keadaan—mempercayai Dia dan masa-Nya?
Kita mesti bertanya kepada diri sendiri: Adakah kesaksian saya berdasarkan apa yang saya harapkan berlaku dalam hidup saya? Adakah ia bergantung kepada tindakan atau sikap orang lain? Atau adakah ia kukuh berlandaskan pada Yesus Kristus, “berakar umbi dalam Dia,” tanpa mengira keadaan hidup yang berubah-ubah?
Tradisi, Tabiat, dan Iman
Kitab Mormon menceritakan tentang umat yang “ketat dalam mentaati tatacara-tatacara Tuhan.” Tetapi kemudian seorang skeptis bernama Korihor datang, mengejek injil Juruselamat, memanggilnya “bodoh” dan “adat resam nenek moyang mereka yang karut.” Korihor “menyesatkan hati ramai orang, menyebabkan mereka mengangkat kepala mereka dalam kejahatan mereka.” Tetapi yang lain tidak dapat dia perdayakan, kerana bagi mereka, injil Yesus Kristus adalah lebih daripada sebuah tradisi.
Iman adalah kuat apabila ia mempunyai akar yang mendalam dalam pengalaman peribadi, komitmen peribadi kepada Yesus Kristus, bebas daripada tradisi kita atau apa yang orang lain katakan atau lakukan.
Kesaksian kita akan diuji dan dicuba. Iman bukanlah iman jika ia tidak pernah diuji. Iman tidak kuat jika ia tidak pernah ditentang. Oleh itu, jangan putus asa jika anda mempunyai percubaan iman atau soalan yang tidak terjawab.
Kita tidak sepatutnya mengharapkan untuk memahami segala-galanya sebelum kita bertindak. Itu bukanlah iman. Seperti yang Alma ajarkan, “Iman bukanlah memiliki suatu pengetahuan yang sempurna tentang segala sesuatu.” Jika kita menunggu untuk bertindak sehingga semua soalan kita dijawab, kita sangat membataskan kebaikan yang boleh kita capai, dan kita membataskan kuasa iman kita.
Iman itu indah kerana ia berterusan walaupun berkat tidak datang seperti yang diharapkan. Kita tidak dapat melihat masa depan, kita tidak tahu semua jawapannya, tetapi kita boleh mempercayai Yesus Kristus semasa kita terus maju ke hadapan dan ke atas kerana Dia adalah Juruselamat dan Penebus kita.
Iman menanggung ujian dan ketidakpastian hidup kerana ia berakar umbi dalam Kristus dan ajaran-Nya. Yesus Kristus, dan Bapa kita di Syurga yang mengutus-Nya, bersama membentuk satu objek kepercayaan kita yang tidak menyimpang dan boleh dipercayai dengan sempurna.
Kesaksian bukanlah sesuatu yang anda bina sekali sahaja, dan ia kekal selama-lamanya. Ia lebih seperti pokok yang anda pelihara secara berterusan. Menanam firman Tuhan di dalam hati anda hanyalah langkah pertama. Sebaik sahaja kesaksian anda mula berkembang, maka kerja sebenar bermula! Ketika itulah anda “memeliharanya dengan penjagaan yang rapi, agar pokok itu boleh berakar, agar ia boleh tumbuh, dan menghasilkan buah.” Ia memerlukan “ketekunan yang besar” dan “kesabaran dengan firman.” Tetapi janji-janji Tuhan adalah pasti: “Kamu akan menuai pahala imanmu, dan ketekunan, dan kesabaran, dan panjang sabarmu, menunggu pokok itu menghasilkan buah bagimu.”
Saudara,saudari dan kawan yang saya kasihi, terdapat sebahagian saya yang merindui gereja lama Zwickau dan tingkap kaca berwarna itu. Tetapi sepanjang 75 tahun yang lalu, Yesus Kristus telah memimpin saya dalam perjalanan melalui kehidupan yang lebih mendebarkan daripada yang saya bayangkan. Dia telah menghiburkan saya dalam penderitaan saya, membantu saya mengenali kelemahan saya, menyembuhkan luka rohani saya, dan memelihara saya dalam iman saya yang semakin meningkat.
Adalah doa dan berkat saya yang ikhlas bahawa kita akan sentiasa memelihara akar iman kita dalam Juruselamat, dalam ajaran-Nya, dan dalam Gereja-Nya. Mengenai ini saya bersaksi dalam nama kudus Juruselamat kita, Penebus kita, Tuan kita—dalam nama Yesus Kristus, amin.