Persidangan Umum
Menyelaraskan Kehendak Kita dengan Dia
Persidangan umum Oktober 2024


15:20

Menyelaraskan Kehendak Kita dengan Dia

Mengikuti kehendak Tuhan dalam hidup kita akan membolehkan kita menemukan mutiara yang sangat berharga itu—kerajaan syurga.

Pada suatu peristiwa, Juruselamat bercakap tentang seorang saudagar yang sedang mencari “mutiara yang sangat berharga.” Semasa pencarian saudagar itu, dia menemui satu “yang sangat berharga.” Namun, untuk peroleh mutiara indah ini, dia harus menjual segala yang dia miliki, yang mana dia lakukan dengan sukarela dan gembira.

Melalui perumpamaan yang singkat dan bermakna ini, Juruselamat telah mengajar bahawa kerajaan syurga adalah seperti mutiara yang tidak ternilai, harta karun yang seharusnya dihasrati melebihi segalanya. Kerana saudagar ini telah menjual segala yang dia miliki untuk memperoleh mutiara yang berharga itu, maka ia jelas menunjukkan bahawa kita harus menyelaraskan minda dan hasrat kita dengan kehendak Tuhan dan sudi untuk melakukan segala yang kita boleh dalam perjalanan fana kita untuk peroleh berkat kerajaan Tuhan.

Untuk layak menerima ganjaran hebat ini, kita perlu berusaha bersungguh-sungguh untuk mengetepikan keinginan yang mementingkan diri dan melepaskan segalanya yang menahan kita dari komitmen penuh pada cara Tuhan yang lebih tinggi dan suci. Rasul Paulus merujuk hasrat menguduskan ini sebagai “mempunyai fikiran Kristus.” Seperti yang dicontohkan oleh Yesus Kristus, ini bermakna “[melakukan] apa yang menyenangkan hati [Tuhan]” dalam kehidupan kita, atau dalam kata lain “melakukan apa yang sesuai bagi Tuhan.”

Dalam erti injil, “[melakukan] apa yang menyenangkan hati [Tuhan]” berkait dengan menyerahkan kehendak kita kepada kehendak-Nya. Juruselamat mengajar kepentingan asas ini ketika Dia mengajar para pengikut-Nya:

“Kerana Aku sudah turun dari syurga bukan untuk melakukan kehendak-Ku sendiri, tetapi kehendak Dia yang mengutus Aku.

“Inilah kehendak Dia yang mengutus Aku: Daripada semua orang yang diserahkan kepada-Ku, tidak seorang pun hilang, tetapi Aku harus membangkitkan mereka semua pada Hari Kiamat.

“Memang inilah kehendak Bapa-Ku: Semua orang yang melihat Putera lalu percaya kepada-Nya akan beroleh hidup sejati dan kekal, dan Aku akan membangkitkan mereka pada Hari Kiamat.”

Juruselamat mencapai tahap penyerahan ilahi dan sempurna terhadap kehendak Bapa dengan membenarkan kehendak-Nya ditelan dalam kehendak Bapa. Dia berfirman, “Dia yang mengutus Aku ada bersama-sama Aku. Dia tidak pernah membiarkan Aku sendirian, kerana Aku sentiasa melakukan apa yang menyenangkan hati-Nya.” Semasa mengajar Nabi Joseph Smith berkenaan kepedihan dan kesengsaraan Korban Tebusan, Juruselamat berfirman:

“Kerana lihatlah, Aku, Tuhan, telah menderita hal-hal ini bagi semua orang, agar mereka boleh tidak menderita jika mereka akan bertaubat; …

“Yang mana penderitaan itu menyebabkan diri-Ku, bahkan Tuhan, yang terbesar daripada semuanya, menggeletar kerana kesakitan, dan berdarah pada setiap liang roma, dan menderita baik tubuh mahupun roh—dan menginginkan agar Aku boleh tidak meminum cawan yang pahit itu, dan menarik diri—

“Walaupun demikian, kemuliaan kepada Bapa, dan Aku meminumnya dan menyelesaikan persediaan-Ku bagi anak-anak manusia.”

Dalam kehidupan fana, kita sering bergelut dengan apa yang kita anggap kita tahu, apa yang kita rasa adalah terbaik, dan apa yang kita rasa sesuai bagi diri kita, dan bukannya apa yang Bapa Syurgawi tahu, apa yang terbaik secara abadi, dan apa yang paling sesuai untuk anak-anak dalam rancangan-Nya. Pergelutan ini menjadi lebih rumit, dengan mempertimbangkan nubuat yang terkandung dalam ayat suci kita hari ini: “Ingatlah hal ini! Pada hari-hari terakhir … manusia akan mementingkan diri sendiri, … lebih menyukai kesenangan dunia daripada mengasihi Tuhan.”

Satu tanda kebenaran nubuat ini ialah trend dunia yang semakin meningkat, diterima oleh ramai, orang yang pentingkan diri dan sentiasa mengisytiharkan, “Tidak kira apa pun, saya percaya kebenaran saya sendiri atau saya buat apa yang sesuai bagi diri saya.” Seperti kata Rasul Paulus, mereka “sibuk mengurus kepentingan sendiri dan bukan kepentingan Yesus Kristus.” Pemikiran ini sering diwajarkan sebagai “tulen” bagi mereka yang mengejar kepentingan diri, fokus pada pilihan peribadi, atau ingin mempersolehkan tingkah laku yang tidak padan dengan rancangan kasih Tuhan dan kehendak-Nya bagi mereka. Jika kita membenarkan hati dan minda kita memeluk pemikiran sebegini, kita menghalang diri daripada menerima mutiara yang tidak ternilai yang Tuhan telah sediakan untuk anak-anak-Nya—kehidupan abadi.

Walaupun perjalanan kita pada jalan perjanjian berbeza, untuk berusaha mengekalkan hati dan minda pada Kristus Yesus, kita perlu sentiasa berhati-hati dan berjaga-jaga supaya tidak tergoda untuk mengikuti falsafah dunia dalam hidup kita. Elder Quentin L. Cook berkata “menjadi seperti Kristus secara ikhlas adalah matlamat yang lebih penting daripada menjadi tulen.”

Rakan-rakan terkasih, apabila kita memilih untuk membiarkan Tuhan menjadi pengaruh yang paling berkuasa dalam hidup melebihi keinginan diri, kita boleh maju dalam penganutan dan meningkatkan keupayaan kita untuk menyatukan minda dan hati dengan Juruselamat. Sebaliknya, apabila kita tidak membenarkan Tuhan untuk menang dalam hidup kita, kita bersendirian, dan tanpa bimbingan Tuhan, kita mungkin mempersolehkan segala yang kita lakukan atau tidak lakukan. Kita turut memberi alasan apabila membuat pilihan sendiri, dengan berkata, “Saya hanya buat mengikut cara saya.”

Pada satu ketika, semasa Juruselamat sedang mengajar, sesetengah orang, terutamanya orang Farisi, menolak pesanan-Nya dan dengan angkuhnya berkata mereka adalah waris Abraham, menekankan bahawa garis keturunan mereka memberi mereka keistimewaan dalam mata Tuhan. Pemikiran itu mendorong mereka untuk bergantung pada pemahaman sendiri dan tidak mempercayai ajaran Juruselamat. Reaksi orang Farisi terhadap Yesus adalah bukti jelas bahawa sikap angkuh mereka tidak memberi ruang dalam hati untuk firman Juruselamat dan cara Tuhan. Sebagai jawapan, Yesus dengan bijaksana dan berani mengisytiharkan jika mereka benar-benar adalah anak perjanjian Abraham, mereka akan lakukan pekerjaan Abraham, terutamanya apabila Tuhan Abraham berdiri di hadapan mereka dan sedang mengajar kebenaran pada saat itu.

Saudara dan saudari, lihatlah, bertindak atas pemikiran “apa yang sesuai bagi saya berbanding dengan apa yang sesuai bagi Tuhan” bukanlah satu trend baharu yang unik dalam zaman kita. Ia satu fikiran yang telah wujud berabad lama dan sering membutakan mereka yang rasa diri mereka bijak dan mengelirukan dan meletihkan ramai anak Tuhan. Pemikiran ini adalah muslihat kuno musuh; ia satu jalan yang mengaburi dan menjauhkan anak-anak Tuhan daripada jalan perjanjian yang benar dan setia. Meski keadaan peribadi seperti genetik, geografi, cabaran fizikal dan mental juga mempengaruhi perjalanan kita, namun dalam perkara yang benar-benar penting, kita bebas untuk memilih sama ada kita mengikuti pola yang Tuhan telah sediakan untuk hidup kita atau tidak. Sememangnya, “Dia jadi pandu kita, di jalan yang pasti.”

Sebagai pengikut Kristus, kita ingin berjalan pada jalan yang Dia telah tandakan ketika pelayanan fana-Nya. Kita bukan sahaja ingin melakukan kehendak Dia dan segala yang akan menggembirakan Dia tetapi juga cuba mengikuti teladan-Nya. Semasa kita berusaha untuk mentaati setiap perjanjian dan menjalankan “setiap kata yang difirmankan oleh Tuhan,” kita akan dilindungi daripada dosa dan kesilapan dunia—falsafah dan ajaran salah yang akan menjauhkan kita daripada mutiara yang berharga.

Saya sendiri telah diilhami dengan kesan penyerahan rohani kepada Tuhan dalam kehidupan para pengikut Kristus yang setia semasa mereka memilih untuk melakukan kehendak Tuhan. Saya kenali seorang pemuda yang runsing tentang melayani misi tetapi diilhami untuk pergi melayani Tuhan apabila Dia mendengar pemimpin Gereja berkongsi kesaksian peribadi dan pengalaman kudus misinya.

Pemuda ini, yang kini telah kembali dari misi, berkata: “Semasa saya mendengar kesaksian seorang Rasul Juruselamat Yesus Kristus, saya dapat merasakan kasih Tuhan terhadap saya, dan saya ingin berkongsi kasih itu dengan orang lain. Pada saat itu saya tahu saya harus melayani misi, tidak kira ketakutan, keraguan, dan kebimbangan saya. Saya amat yakin dalam berkat dan janji Tuhan untuk anak-anak-Nya. Sekarang, saya bagaikan seorang yang baharu; saya mempunyai kesaksian bahawa injil ini adalah benar dan Gereja Yesus Kristus telah dipulihkan di bumi.” Pemuda ini telah memilih jalan Tuhan dan menjadi teladan seorang pengikut sejati.

Seorang wanita muda yang beriman memutuskan untuk tidak kompromi standardnya apabila dia diminta untuk berpakaian kurang sopan agar tergolong dalam bahagian perniagaan fesyen syarikat dia bekerja. Memahami bahawa badannya adalah kurnia kudus Bapa Syurgawi dan tempat di mana Roh berdiam, dia tergerak untuk menjalankan standard yang lebih tinggi daripada dunia. Dia bukan saja memperoleh keyakinan daripada mereka yang melihat dia menjalankan kebenaran injil Yesus Kristus tetapi dia juga dapat kekalkan pekerjaannya. Kesediaannya untuk melakukan kehendak Tuhan, dan bukannya dunia, memberikan dia keyakinan perjanjian di saat pilihan-pilihan yang susah.

Saudara dan saudari, kita sentiasa menghadapi keputusan-keputusan yang serupa setiap hari. Kita perlu berani dan bersedia untuk membuat kaji diri yang jujur dan rendah hati untuk mengakui kelemahan kita akan menghalang kita menyerahkan diri kepada Tuhan, dan kita perlu memutuskan untuk mengikuti cara-Nya dan bukannya cara sendiri. Ujian utama penganutan kita ialah kesediaan kita untuk melepaskan diri yang lama dan menyerahkan hati dan seluruh jiwa kepada Tuhan supaya kehendak-Nya menjadi kehendak kita.

Salah satu saat kefanaan yang paling mulia berlaku apabila kita menemui kebahagiaan melakukan “apa yang sesuai bagi Tuhan” dan “apa yang sesuai bagi kita” menjadi satu dan sama! Untuk menjadikan kehendak Tuhan sebagai kehendak kita memerlukan penganutan yang hebat dan berani! Pada saat yang agung itu, kita dibaktikan kepada Tuhan, dan kita menyerahkan kehendak kita kepada Dia. Penyerahan rohani ini, adalah indah, berkuasa, dan mengubah.

Saya bersaksi kepada anda bahawa mengikuti kehendak Tuhan dalam hidup kita akan membolehkan kita menemukan mutiara yang sangat berharga itu—kerajaan syurga. Saya doakan agar setiap kita, apabila tibanya masa, akan mengisytiharkan, dengan keyakinan perjanjian, kepada Bapa Syurgawi dan Juruselamat Yesus Kristus bahawa “apa yang sesuai bagi-Mu, juga sesuai untuk saya.” Saya katakan semua ini dalam nama kudus Juruselamat Yesus Kristus, amin.