Dalam Tempoh Waktu Tidak Sampai Bertahun-tahun
Jika kita tidak beriman dan patuh, kita boleh mengubah berkat kemakmuran yang Tuhan berikan menjadi kutukan keangkuhan yang menyimpangkan dan mengalih kita.
Saudara dan saudari saya yang dikasihi, duduk di atas sini hari ini, saya telah melihat Pusat Persidangan ini penuh tiga kali, buat kali pertama sejak COVID. Anda adalah pengikut setia Yesus Kristus yang tidak sabar-sabar untuk belajar. Saya memuji kesetiaan anda. Dan saya sayang anda.
Ezra Taft Benson melayani sebagai Presiden Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir dari November 1985 hingga Mei 1994. Saya berumur 33 tahun apabila Presiden Benson menjadi Presiden Gereja dan saya berumur 42 tahun apabila dia meninggal. Ajaran dan kesaksiannya mempengaruhi saya dalam cara yang mendalam dan berkuasa.
Salah satu ciri khas pelayanan Presiden Benson adalah fokusnya pada tujuan dan kepentingan Kitab Mormon. Dia berulang kali menekankan “Kitab Mormon adalah batu kunci agama kita—batu kunci kesaksian kita, batu kunci ajaran kita, dan batu kunci dalam kesaksian Tuhan dan Juruselamat kita.” Dia juga sering menekankan ajaran dan amaran tentang dosa keangkuhan yang terdapat dalam kesaksian Yesus Kristus zaman akhir ini.
Salah satu ajaran Presiden Benson sangat mengesani saya dan terus mempengaruhi kajian Kitab Mormon saya. Dia berkata:
“Kitab Mormon ditulis … untuk zaman kita. Bangsa Nefi tidak pernah mempunyai kitab itu; tidak juga bangsa Laman dari zaman dahulu. Ia adalah untuk kita. Mormon menulis pada hujung tamadun bangsa Nefi. Di bawah ilham Tuhan, yang melihat segala hal dari permulaan, [Mormon] meringkaskan rekod berabad-abad, memilih cerita, ucapan, dan peristiwa yang akan menjadi paling berguna bagi kita.”
Presiden Benson teruskan “Setiap penulis utama Kitab Mormon bersaksi bahawa dia menulis untuk generasi akan datang. … Jika mereka melihat zaman kita, dan memilih hal-hal yang akan menjadi nilai paling berharga kepada kita, bukankah kita perlu mempelajari Kitab Mormon? Kita harus selalu bertanya kepada diri sendiri, ‘Mengapa Tuhan mengilhami Mormon … untuk memasukkan [laporan ini] dalam rekodnya? Apakah pelajaran yang boleh saya pelajari dari [peringatan ini] untuk membantu saya hidup pada zaman ini?’”
Pernyataan Presiden Benson membantu kita faham bahawa Kitab Mormon bukan sahaja rekod sejarah yang relevan untuk masa lalu. Sebaliknya, kitab suci ini relevan untuk masa depan dan mengandungi asas-asas, amaran, dan pengajaran penting untuk keadaan dan cabaran zaman kita. Jadi, Kitab Mormon adalah kitab tentang masa depan kita dan masa kita sekarang dan masa yang bakal kita hidup.
Saya berdoa untuk bantuan Roh Kudus semasa kita mempertimbangkan pengajaran relevan untuk kita hari ini dari kitab Helaman dalam Kitab Mormon.
Bangsa Nefi dan Bangsa Laman
Rekod Helaman dan anak-anak lelakinya menggambarkan umat yang menunggu kelahiran Yesus Kristus. Setengah abad yang diceritakan dalam rekod suci ini bercerita tentang penukaran hati dan kesolehan bangsa Laman dan kejahatan, kemurtadan, dan kekejian bangsa Nefi.
Terdapat perbandingan dan kontras antara bangsa Nefi dan bangsa Laman daripada rekod zaman dahulu ini yang sangat berguna untuk kita hari ini.
“Bangsa Laman telah menjadi, sebahagian yang lebih besar daripada mereka, suatu bangsa yang soleh, sedemikian rupa sehingga kesolehan mereka melebihi kesolehan bangsa Nefi, kerana keteguhan mereka dan kekukuhan mereka dalam iman.
“[Dan] terdapat ramai daripada bangsa Nefi yang telah menjadi keras hati dan tidak menyesal dan terlalu jahat, sedemikian rupa sehingga mereka menolak firman Tuhan dan semua pengkhutbahan dan penubuatan yang datang di kalangan mereka.”
“Dan demikianlah kita melihat bahawa bangsa Nefi mulai merosot dalam ketidakpercayaan, dan membesar di dalam kejahatan dan kekejian, sementara bangsa Laman mulai berkembang dengan cepat dalam pengetahuan tentang Tuhan mereka; ya, mereka mulai mentaati peraturan dan perintah-perintah-Nya, dan berjalan dalam kebenaran dan kelurusan hati di hadapan-Nya.
“Dan demikianlah kita melihat bahawa Roh Tuhan mulai menarik diri daripada bangsa Nefi, kerana kejahatan dan kekerasan hati mereka.
“Dan demikianlah kita melihat bahawa Tuhan mulai mencurahkan Roh-Nya ke atas bangsa Laman, kerana kesenangan dan kerelaan mereka untuk percaya dalam firman-Nya.”
Mungkin hal yang paling menakjubkan dari kemerosotan bangsa Nefi ke dalam kemurtadan ini adalah bahawa “segala kederhakaan ini datang kepada mereka dalam tempoh waktu tidak sampai bertahun-tahun.”
Bangsa Nefi Berpaling dari Tuhan
Bagaimanakah umat yang dahulunya-soleh boleh menjadi keras hati dan jahat dalam tempoh waktu yang begitu singkat? Bagaimanakah orang boleh cepat melupakan Tuhan yang telah banyak memberkati mereka?
Dalam cara yang berkuasa dan mendalam, contoh negatif bangsa Nefi adalah pengajaran untuk kita hari ini.
“Keangkuhan … mulai masuk … ke dalam hati orang-orang yang mengakui dirinya masuk dalam gereja Tuhan … disebabkan kekayaan mereka yang amat besar dan kemakmuran mereka di negeri itu.”
“[Mereka] telah meletakkan hati [mereka] pada kekayaan dan hal-hal yang sia-sia dari dunia ini” “kerana keangkuhan itu yang telah [mereka] … biarkan untuk memasuki hati [mereka], yang telah mengangkat [mereka] melebihi dari hal yang baik kerana kekayaan [mereka] yang amat besar!”
Suara-suara zaman dahulu merayu dengan kita hari ini untuk mempelajari pengajaran kekal ini: kemakmuran, harta benda, dan kemudahan menghasilkan campuran berkuasa yang boleh membawa bahkan orang soleh untuk minum racun rohani keangkuhan.
Membiarkan keangkuhan memasuki hati kita boleh menyebabkan kita mengejek apa yang kudus; tidak percaya di dalam roh nubuat dan wahyu; memijak-mijak di bawah kaki kita perintah-perintah Tuhan; menyangkal firman Tuhan; mengusir, mengejek, dan mencaci maki para nabi; dan melupakan Tuhan Raja kita dan “tidak berhasrat agar Tuhan Raja [kita], yang telah menciptakan [kita], seharusnya berkuasa dan memerintah ke atas diri [kita].”
Oleh itu, jika kita tidak beriman dan patuh, kita boleh mengubah berkat kemakmuran yang Tuhan berikan menjadi kutukan keangkuhan yang menyimpangkan dan mengalih kita dari kebenaran abadi dan keutamaan rohani. Kita harus selalu berhati-hati terhadap perasaan kepentingan diri yang datang dari keangkuhan, penilaian diri kita yang tidak betul, dan pentingkan diri dan bukannya melayani orang lain.
Semasa kita dengan angkuh fokus pada diri sendiri, kita juga deritai kebutaan rohani dan ketinggalan sebahagian, atau mungkin semua yang berlaku di dalam dan di sekeliling kita. Kita tidak dapat memandang dan fokus pada Yesus Kristus sebagai “sasaran” jika kita hanya melihat diri sendiri.
Buta rohani sedemikian juga boleh menyebabkan kita berpaling dari jalan kesolehan, jatuh ke dalam jalan-jalan terlarang, dan menjadi sesat. Semasa kita dengan buta “berpaling ke jalan-jalan [kita] sendiri” dan ikut lencongan yang memusnahkan, kita cenderung bergantung pada pengertian kita sendiri, bermegah dalam kekuatan kita sendiri, dan bergantung pada kebijaksanaan kita sendiri.
Samuel orang Laman meringkaskan bangsa Nefi berpaling dari Tuhan:“Kamu telah mengejar sepanjang kehidupanmu untuk hal yang tidak dapat kamu peroleh; dan kamu telah mencari kebahagiaan dengan melakukan kederhakaan, yang mana hal itu bertentangan dengan sifat kebenaran yang berada di dalam Ketua Kekal dan agung kita.”
Nabi Mormon perhatikan “Sebahagian besar daripada orang-orang itu [tetap berada] dalam keangkuhan dan kejahatan mereka, dan sebahagian kecil daripada mereka [berjalan] dengan penuh waspada di hadapan Tuhan.”
Bangsa Laman Berpaling kepada Tuhan
Dalam Kitab Helaman, kesolehan bangsa Laman yang semakin meningkat memberi kontras yang ketara kepada kemerosotan rohani cepat bangsa Nefi.
Bangsa Laman berpaling kepada Tuhan dan dibawa kepada pengetahuan kebenaran dengan mempercayai ajaran dalam kitab suci dan para nabi, beriman kepada Tuhan Yesus Kristus, bertaubat dari dosa-dosa mereka, dan mengalami suatu perubahan hati yang besar.
“Oleh kerana itu, seberapa banyak yang telah sampai pada hal ini, kamu mengetahui kamu sendiri adalah teguh dan tabah dalam iman, dan di dalam hal yang telah menjadikan mereka bebas.”
“Kamu seharusnya melihat bahawa sebahagian besar daripada [bangsa Laman] berada di dalam jalan kewajipan mereka, dan mereka berjalan dengan hati-hati di hadapan Tuhan, dan mereka berusaha keras untuk mentaati perintah-perintah-Nya dan peraturan-Nya dan keputusan-Nya. …
“… Mereka berusaha dengan ketekunan yang tidak mengenal penat lelah agar mereka boleh membawa saudara-saudara mereka yang lainnya kepada pengetahuan tentang kebenaran.”
Akibatnya, “kesolehan [bangsa Laman] melebihi kesolehan bangsa Nefi, kerana keteguhan mereka dan kekukuhan mereka dalam iman.”
Amaran dan Janji
Moroni mengisytiharkan: “Lihatlah, Tuhan telah memperlihatkan kepadaku hal-hal yang besar dan menakjubkan tentang apa yang mesti datang tidak lama lagi, pada hari itu apabila hal-hal ini akan datang di kalangan kamu.
“Lihatlah, aku berbicara kepadamu seolah-olah kamu sudah ada, namun kamu belum ada lagi. Tetapi lihatlah, Yesus Kristus telah memperlihatkanmu kepadaku, dan aku mengetahui perbuatanmu.”
Ingatlah bahawa Kitab Mormon relevan untuk masa depan dan mengandungi asas-asas, amaran, dan pengajaran penting yang ditujukan untuk anda dan saya dalam keadaan dan cabaran zaman kita.
Kemurtadan boleh berlaku pada dua tahap mudah—institusi dan individu. Pada tahap institusi, Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir tidak akan hilang melalui kemurtadan atau diambil dari bumi.
Nabi Joseph Smith mengisytiharkan: “Standard Kebenaran telah didirikan: tiada tangan boleh menghentikan pekerjaan dari maju ke depang … ; kebenaran Tuhan akan terus maju ke hadapan dengan berani, mulia, dan berdikari, sehingga ia telah menembusi setiap benua, melawat setiap cuaca, meliputi setiap negara, dan didengari setiap telinga, sehingga tujuan Tuhan akan dicapai dan Yehovah akan mengatakan pekerjaan itu selesai.”
Pada tahap individu, setiap kita harus “berhati-hatilah akan keangkuhan, agar jangan [kita] menjadi seperti bangsa Nefi zaman dahulu.”
Saya mencadangkan bahawa jika anda atau saya percaya kita cukup kuat dan tabah untuk mengelakkan keangkuhan, maka mungkin kita sudah mengalami penyakit rohani yang dahsyat ini. Ringkasnya, jika anda atau saya tidak percaya kita boleh deritai keangkuhan, maka kita terdedah dan dalam bahaya rohani. Dalam tempoh waktu yang singkat, kita mungkin rugi hak anak sulung rohani kita untuk hal yang jauh lebih rendah daripada semangkuk bubur kacang merah.
Namun jika anda atau saya percaya kita boleh deritai keangkuhan, maka kita akan melakukan hal-hal yang kecil dan sederhana dengan konsisten yang akan melindungi dan membantu kita menjadi “seperti seorang anak kecil, peserah, lembut hati, rendah hati, sabar, penuh dengan kasih, rela untuk berserah pada segalanya yang Tuhan anggap patut untuk ditimpakan ke atas diri [kita].” “Diberkatilah mereka yang merendahkan hati mereka tanpa dipaksa untuk menjadi rendah hati.”
Ketika kita ikut nasihat Presiden Benson dan tanya diri kita sendiri mengapa Tuhan mengilhami Mormon untuk memasukkan ringkasan laporan, peringatan, dan amaran kitab Helaman, saya berjanji kita akan melihat kegunaan ajaran-ajaran ini pada keadaan khusus kehidupan individu dan keluarga kita hari ini. Semasa kita mengkaji dan merenungkan rekod berilham ini, kita akan diberkati dengan mata untuk lihat, telinga untuk dengar, minda dan hati untuk memahami pengajaran yang kita harus pelajari untuk “berhati-hatilah dengan [keangkuhan], agar jangan [kita] masuk ke dalam godaan.”
Saya dengan gembira bersaksi bahawa Tuhan Bapa yang Abadi ialah Bapa kita. Yesus Kristus ialah Anak Tunggal-Nya yang Dikasihi. Dia ialah Juruselamat kita. Dan saya bersaksi bahawa semasa kita berjalan dalam kelembutan Roh Tuhan, kita akan mengelak dan mengatasi keangkuhan dan mendapat kedamaian di dalam Dia. Saya bersaksi dalam nama kudus Tuhan Yesus Kristus, amin.