Persidangan Umum
Fokus pada Yesus Kristus dan Injil-Nya
Persidangan umum Oktober 2024


10:50

Fokus pada Yesus Kristus dan Injil-Nya

Apabila kita mengabaikan gangguan dunia dan fokus pada Kristus dan injil-Nya, kita dijamin berjaya.

Pada tahun 1996, pasukan bola sepak lelaki Nigeria memenangi emas di Sukan Olimpik yang diadakan di Atlanta di Amerika Syarikat. Apabila perlawanan akhir berakhir, orang ramai yang gembira membanjiri jalan di setiap bandar dan pekan di Nigeria; negara yang mempunyai 200 juta orang ini serta-merta berubah menjadi perayaan besar-besaran pada pukul dua pagi! Terdapat kebahagiaan, kegembiraan, dan keseronokan yang menular semasa mereka makan, menyanyi, dan menari. Pada masa itu, Nigeria bersatu dan setiap warga Nigeria bangga menjadi warga Nigeria.

Sebelum Olimpik, pasukan ini menghadapi pelbagai cabaran. Semasa kejohanan bermula, sokongan kewangan mereka berhenti. Pasukan itu bersaing tanpa kelengkapan, tempat latihan, makanan yang mencukupi, dan perkhidmatan dobi.

Pasukan bola sepak Nigeria dengan pingat emas.

Jerome Prevost/Getty Images

Pada satu ketika, mereka hanya beberapa minit lagi untuk tersingkir daripada pertandingan, tetapi pasukan Nigeria berjaya mengatasi semua rintangan. Saat penting ini mengubah cara mereka melihat diri sendiri. Dengan keyakinan yang baru ditemui ini, dan dengan usaha keras individu dan pasukan, perpaduan, dan keazaman yang mantap, mereka bersatu mengabaikan banyak gangguan dan fokus pada kemenangan. Fokus ini menyebabkan mereka memenangi pingat emas, dan warga Nigeria menggelarkan mereka sebagai “Pasukan Impian.” Pasukan Impian di Sukan Olimpik 1996 terus dirujuk dalam sukan Nigeria.

Pasukan Impian Nigeria.

David Cannon/Allsport/Getty Images

Sebaik sahaja pasukan bola sepak ini mengabaikan banyak gangguan yang mereka hadapi dan fokus pada matlamat mereka, mereka berjaya melebihi apa yang mereka fikirkan dan mengalami kebahagiaan yang besar. (Termasuk kami yang lain di Nigeria!)

Sama juga, apabila kita mengabaikan gangguan dunia dan fokus pada Kristus dan injil-Nya, kita dijamin kejayaan melebihi apa yang dapat kita bayangkan dan boleh merasa kebahagiaan yang besar. Presiden Russell M. Nelson mengajar, “Apabila tumpuan hidup kita ialah di atas … Yesus Kristus dan injil-Nya, kita dapat merasa kegembiraan tidak kira apa yang berlaku—atau tidak berlaku—dalam hidup kita.”

Saya berdoa agar Roh Kudus akan bantu kita untuk ikuti jemputan Presiden Nelson untuk fokuskan hidup kita pada “Yesus Kristus dan injil-Nya” supaya kita dapat mengalami kebahagiaan dalam Kristus “tanpa mengira apa sedang berlaku atau tidak berlaku dalam hidup kita.”

Terdapat beberapa laporan dalam Kitab Mormon yang menggambarkan individu yang mengubah hidup mereka dengan fokus pada Yesus Kristus dan injil-Nya.

Pertimbangkan Alma yang Muda Dia memberontak dan berjuang melawan Gereja. Bapanya, Alma, berdoa dan berpuasa. Seorang malaikat muncul dan menyeru Alma yang Muda untuk bertaubat. Pada saat itu, Alma mula menderita “sakit jiwa yang terlaknat.” Dalam waktu paling gelapnya, dia teringat bapanya mengajar bahawa Kristus akan datang untuk menebus dosa-dosa dunia. Ketika fikirannya teringat pada pemikiran ini, dia merayu belas kasihan Tuhan. Kebahagiaan adalah hasilnya, kebahagiaan yang dia gambarkan sebagai hebat! Belas kasihan dan kebahagiaan datang kepada Alma kerana dia dan bapanya fokus pada Juruselamat.

Bagi ibu bapa dengan anak yang tersesat, tabahlah! Daripada tertanya-tanya mengapa malaikat tidak bantu anak anda bertaubat, ketahuilah bahawa Tuhan telah meletakkan malaikat fana di jalannya: uskup atau pemimpin dan pelayan Gereja yang lain. Jika anda terus berpuasa dan berdoa, jika anda tidak menetapkan jadual waktu atau tarikh akhir untuk Tuhan, dan jika anda percaya bahawa Dia menghulurkan tangan-Nya untuk bantu, maka—lambat laun—anda mendapati Tuhan menyentuh hati anak anda apabila anak anda pilih untuk dengar. Hal ini kerana Kristus adalah kebahagiaan—Kristus adalah harapan; Dia adalah janji “perkara-perkara baik [yang akan datang]” Jadi, percayakan Yesus Kristus dengan anak anda, kerana Dia adalah kekuatan setiap ibu bapa dan setiap anak.

Selepas dia alami kebahagiaan dalam Kristus, Alma yang Muda hidup dengan kebahagiaan itu. Tetapi bagaimana dia mengekalkan kebahagiaan itu dalam kesukaran dan pencubaan? Dia menyatakan:

“Sejak waktu itu sampai sekarang, aku telah bekerja tanpa henti, agar aku boleh membawa jiwa-jiwa kepada pertaubatan; agar aku boleh membawa mereka untuk mengecapi kebahagiaan yang besar yang telah aku kecapi. …

“… Dan … Tuhan memberiku sukacita yang amat besar dalam buah hasil kerjaku. …

“Dan aku telah didukung selama pencubaan dan kesusahan daripada setiap jenis.”

Kebahagiaan Alma dalam Kristus bermula apabila dia beriman kepada-Nya dan memohon belas kasihan. Kemudian Alma menjalankan imannya kepada Kristus dengan bekerja untuk membantu orang lain merasai kebahagiaan yang sama. Kerja-kerja yang berterusan ini menghasilkan kebahagiaan yang besar dalam Alma bahkan dalam pencubaan dan kesusahan dalam setiap jenis. Lihatlah, “Tuhan sukakan usaha,” dan usaha yang fokus kepada-Nya membawa berkat. Pencubaan yang berat pun boleh “tertelan dalam kebahagiaan Kristus.”

Satu lagi kumpulan dalam Kitab Mormon yang menjadikan Yesus Kristus dan injil-Nya fokus hidup mereka dan temui kebahagiaan adalah mereka yang mengasaskan kota Helam—suatu tempat di mana mereka boleh membesarkan anak-anak mereka dan menikmati kebebasan beragama mereka. Orang soleh yang menjalani kehidupan yang baik ini diperhambakan oleh sekumpulan perompak dan dinafikan hak asasi manusia untuk menjalankan agama. Kadangkala hal buruk berlaku pada orang baik:

“Tuhan menganggap patut untuk mendera umat-Nya; ya, Dia menguji kesabaran mereka dan iman mereka.

“Walaupun demikian—barang siapa menaruh kepercayaannya kepada-Nya orang yang sama akan diangkat pada hari terakhir. Ya, dan demikianlah terjadi dengan bangsa ini.”

Bagaimanakah bangsa ini bertahan melalui pencubaan dan penderitaan mereka? Dengan fokus pada Kristus dan injil-Nya. Masalah mereka tidak menentukan mereka; sebaliknya, setiap mereka berpaling kepada Tuhan kerana mereka memanggil diri mereka sebagai anak Tuhan, anak perjanjian, dan pengikut Yesus Kristus. Apabila mereka mengingati siapa mereka dan meminta bantuan Tuhan, mereka menerima kedamaian, kekuatan, dan akhirnya kebahagiaan dalam Kristus:

“Alma dan umatnya … mencurahkan hati mereka kepada [Tuhan]; dan Dia mengetahui fikiran dalam hati mereka.

Dan terjadilah bahawa suara Tuhan datang kepada mereka dalam kesengsaraan mereka, memfirmankan: Angkatlah kepalamu dan terhiburlah, kerana Aku tahu tentang perjanjian yang telah kamu buat kepada-Ku; dan Aku akan membuat perjanjian dengan umat-Ku dan membebaskan mereka daripada perhambaan.”

Sebagai jawapan, Tuhan “meringankan beban … di atas bahu [mereka]. … Ya, Tuhan menguatkan mereka agar mereka dapat menanggung beban mereka dengan mudah, dan mereka tunduk dengan riang dan dengan kesabaran pada segala kehendak Tuhan.” Ingatlah Orang Suci ini membiarkan masalah, penderitaan, dan pencubaan mereka tertelan dalam kebahagiaan Kristus! Kemudian pada masa yang ditetapkan, Dia tunjukkan Alma jalan keluar, dan Alma—seorang nabi Tuhan—memimpin mereka pada keselamatan.

Semasa kita fokus pada Kristus dan mengikuti nabi-Nya, kita juga akan dituntun kepada Kristus dan kebahagiaan injil-Nya. Presiden Nelson ajarkan: “Kebahagiaan sangat berkuasa, dan berfokus pada kebahagiaan mendatangkan kuasa Tuhan ke dalam hidup kita. Dalam segala perkara, Yesus Kristus ialah contoh teragung kita, ‘kerana kegembiraan yang menantikan-Nya, Yesus tidak peduli bahawa mati pada kayu salib’ [Ibrani 12:2].”

Ibu Elder Egbo.
Elder Egbo bersama ibunya.

Ibu saya meninggal dunia baru-baru ini; ia mengejutkan. Saya sayang ibu saya dan tidak merancang untuk kehilangan dia begitu muda. Tetapi melalui pemergian dia, saya dan keluarga saya telah mengalami kesedihan dan kegembiraan. Saya tahu, kerana Kristus, dia tidak mati—dia hidup! Dan saya tahu kerana Kristus dan kunci imamat yang dipulihkan melalui Nabi Joseph Smith, saya akan bersamanya lagi. Kesedihan kehilangan ibu saya telah tertelan oleh kebahagiaan Kristus! Saya sedang belajar untuk “berfikiran selestial” dan “membiarkan Tuhan menang” termasuk fokus pada kebahagiaan yang terdapat dalam Kristus.

Dia dengan penuh kasih menjemput, “Marilah kepada-Ku, hai kamu semua yang lelah kerana memikul beban yang berat; Aku akan membebaskan kamu daripada beban kamu.” Dalam nama Yesus Kristus, amin.