Persidangan Umum
Mengikuti Kristus
Persidangan umum Oktober 2024


13:31

Mengikuti Kristus

Sebagai pengikut Kristus, kita mengajar dan bersaksi tentang Yesus Kristus, Teladan Sempurna kita. Marilah kita mengikuti Dia dengan meninggalkan pertikaian.

Tahun ini berjuta-juta orang terilham oleh rancangan kajian injil yang dikenali melalui jemputan Juruselamat “Ikutlah Aku.” Mengikuti Kristus bukanlah amalan biasa atau sekali-sekala. Ia adalah satu komitmen yang berterusan dan cara hidup yang harus membimbing kita pada setiap masa dan segala tempat. Ajaran dan teladan-Nya menentukan jalan bagi setiap pengikut Yesus Kristus. Dan semua dijemput ke jalan ini, kerana Dia menjemput semua orang untuk datang kepada-Nya, “hitam dan putih, terikat dan bebas, lelaki dan perempuan; … semua adalah sama bagi Tuhan.”

I.

Langkah pertama dalam mengikuti Kristus ialah mematuhi apa yang Dia takrifkan sebagai “perintah yang paling utama dalam Taurat”:

“Kasihilah Tuhan, Rajamu, dengan sepenuh hatimu, dan dengan segenap jiwamu dan dengan seluruh akalmu.

“Inilah perintah yang terutama dan yang terpenting!

“Perintah kedua sama pentingnya dengan yang pertama: Kasihilah sesama manusia seperti kamu mengasihi dirimu sendiri.”

“Seluruh Taurat Musa dan ajaran nabi-nabi berasaskan kedua-dua perintah ini.”

Bapa dan anak menerbangkan layang-layang.

Perintah-perintah Tuhan menyediakan bimbingan dan peneguhan dalam hidup kita. Pengalaman fana kita adalah seperti seorang budak kecil dan bapanya menerbangkan layang-layang pada hari yang berangin. Apabila layang-layang terbang lebih tinggi, angin menyebabkan ia menarik tali penghubung di tangan budak kecil itu. Kerana tidak tahu kuasa angin fana, dia cadangkan untuk memotong tali itu supaya layang-layang boleh terbang lebih tinggi. Bapanya yang bijak menasihati jangan, dan menjelaskan bahawa tali itulah yang kekalkan layang-layang di tempatnya melawan angin fana. Sekiranya kita lepaskan tali itu, layang-layang tidak akan terbang lebih tinggi. Ia akan dibawa oleh angin dan pasti akan jatuh ke tanah.

Tali penting itu mewakili perjanjian yang menghubungkan dengan Tuhan, Bapa Syurgawi kita, dan Putera-Nya, Yesus Kristus. Semasa kita menghormati perjanjian itu dengan mentaati perintah dan mengikuti rancangan penebusan Mereka, berkat-berkat yang Mereka janjikan membolehkan kita terbang ke peringkat selestial.

Kitab Mormon sering mengisytiharkan bahawa Kristus adalah “cahaya dunia.” Semasa Dia datang kepada bangsa Nefi, Tuhan yang bangkit itu menjelaskan ajaran itu dengan memberitahu mereka: “Aku telah menunjukkan satu teladan bagimu.” “Aku adalah cahaya yang harus kamu angkat—hal yang telah kamu lihat Aku lakukan.” Dialah teladan kita. Kita belajar apa yang telah Dia firmankan dan lakukan dengan mengkaji tulisan suci dan mengikuti ajaran nabi, sebagaimana Presiden Russell M. Nelson minta kita untuk lakukan. Dalam tatacara sakramen, kita membuat perjanjian setiap hari Sabat bahawa kita akan “sentiasa mengingati-Nya, dan taat kepada perintah-perintah-Nya.”

II.

Dalam Kitab Mormon, Tuhan memberi kita asas-asas yang Dia sebut sebagai “ajaran Kristus.” Iaitu iman kepada Tuhan Yesus Kristus, pertaubatan, pembaptisan, menerima kurnia Roh Kudus, bertahan sampai akhir, dan menjadi seperti anak kecil, yang bermaksud mempercayai Tuhan dan tunduk kepada semua yang Dia tuntut daripada kita.

Perintah Tuhan ada dua jenis: yang kekal seperti ajaran Kristus, dan yang sementara. Perintah sementara adalah perintah yang diperlukan untuk keperluan Gereja Tuhan atau orang beriman dalam keadaan sementara, tetapi harus diketepikan apabila keperluan itu berlalu. Contoh perintah sementara ialah arahan Tuhan kepada pemimpin awal Gereja untuk memindahkan Orang Suci dari New York ke Ohio, ke Missouri, dan ke Illinois dan akhirnya untuk memimpin kumpulan perintis ke Intermountain West. Walaupun hanya sementara, ketika perintah ini masih berkuat kuasa ia perlu dipatuhi.

Beberapa perintah kekal telah mengambil masa yang agak lama untuk dipatuhi secara umum. Contohnya, khutbah terkenal Presiden Lorenzo Snow mengenai hukum persepuluhan menekankan perintah yang diberikan lebih awal tetapi belum lagi dipatuhi oleh ahli Gereja secara umum. Ia memerlukan penekanan semula dalam keadaan yang Gereja dan ahlinya hadapi ketika itu. Contoh penekanan semula terkini telah diperlukan kerana keadaan semasa yang dihadapi oleh Orang Suci Zaman Akhir atau Gereja. Ini termasuk pengisytiharan mengenai keluarga, yang dikeluarkan oleh Presiden Gordon B. Hinckley satu generasi yang lalu, dan seruan Presiden Russell M. Nelson baru-baru ini agar Gereja dikenali dengan namanya yang diwahyukan, Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir.

III.

Satu lagi ajaran Juruselamat yang memerlukan penekanan semula dalam zaman kita.

Masa ini banyak kata-kata kasar dan menyakitkan dalam komunikasi awam dan kadang-kadang dalam keluarga kita. Perbezaan ketara dalam isu polisi awam sering mengakibatkan tindakan permusuhan—malah kebencian—dalam hubungan awam dan peribadi. Persekitaran bermusuhan ini menyukarkan penggubal undang-undang membuat keputusan politik yang penting walaupun kebanyakan orang bersetuju bahawa keputusan ini harus dibuat.

Apakah yang pengikut Kristus harus ajar dan lakukan pada masa komunikasi yang toksik ini? Apakah ajaran dan teladan-Nya?

Juruselamat mengajar bangsa Nefi:

Antara asas-asas pertama yang Yesus ajarkan ketika Dia menampakkan diri kepada bangsa Nefi adalah untuk mengelakkan pertikaian. Walaupun Dia mengajar hal ini dalam konteks pertikaian mengenai ajaran agama, Dia berikan sebab yang jelas terpakai pada komunikasi dan hubungan dalam politik, polisi awam, dan hubungan keluarga. Yesus mengajar:

“Dia yang memiliki semangat pertikaian bukanlah daripada-Ku, tetapi daripada iblis, yang merupakan bapa pertikaian, dan dia menghasut hati manusia untuk bertikai dengan kemarahan, antara satu sama lain.

“Lihatlah, ini bukanlah ajaran-Ku, untuk menghasut hati manusia dengan kemarahan, antara satu sama lain; tetapi inilah ajaran-Ku, bahawa hal-hal seperti itu haruslah dihentikan.”

Di akhir pelayanan-Nya di kalangan bangsa Nefi, Yesus mengajarkan perintah-perintah lain yang berkait rapat dengan larangan-Nya terhadap pertikaian. Kita tahu dari Alkitab bahawa Dia telah mengajar setiap satu ini dalam Khutbah di atas Bukit, dalam bahasa sama yang Dia sampaikan kepada bangsa Nefi. Saya akan memetik dari Alkitab:

Juruselamat mengajar di Yerusalem.

“Kasihilah musuh kamu dan berdoalah bagi orang yang menganiaya kamu.”

Ini adalah salah satu perintah terkenal Kristus—paling revolusioner dan paling sukar untuk diikuti. Namun ia adalah jemputan-Nya yang paling asas untuk semua mengikut-Nya. Presiden David O. McKay ajarkan, “Tiada cara yang lebih baik untuk menunjukkan kasih kepada Tuhan daripada menunjukkan kasih yang tidak mementingkan diri kepada sesama manusia.”

Pihak-pihak yang bertentangan dalam pengantaraan.

Satu lagi ajaran asas daripada Dia yang menjadi teladan kita: “Berbahagialah orang yang membawa kedamaian antara manusia, Tuhan akan menyebut mereka anak-anak-Nya.”

Pendamai! Ia akan mengubah hubungan peribadi jika para pengikut Kristus meninggalkan kata-kata kasar dan menyakitkan dalam semua komunikasi mereka.

Dalam persidangan umum tahun lepas, Presiden Russell M. Nelson memberi kita cabaran ini:

“Salah satu cara yang paling senang untuk mengenal pasti pengikut sejati Yesus Kristus adalah betapa berbelas kasihan orang itu semasa melayani orang lain. …

“… Pengikut Yesus Kristus yang sebenar pendamai.

“… Salah satu cara terbaik kita boleh menghormati Juruselamat adalah untuk menjadi pendamai.”

Menyimpulkan ajarannya: “Pertikaian adalah pilihan. Perdamaian adalah pilihan. Anda ada hak pilihan anda untuk memilih pertikaian atau perdamaian. Saya menggesa anda untuk memilih menjadi pendamai, sekarang dan selalu.”

Pihak yang berpotensi bermusuhan harus bermula perbincangan mereka dengan mengenal pasti titik persamaan yang semua setujui.

Untuk mengikuti Teladan Sempurna kita dan nabi-Nya, kita perlu mengamalkan Peraturan Emas: “Apa yang kamu ingin orang lain lakukan untuk kamu, lakukanlah hal itu untuk mereka. Inilah inti Taurat Musa dan ajaran nabi-nabi.” Kita perlu mengasihi dan berbuat baik kepada semua. Kita perlu mengelakkan pertikaian dan menjadi pendamai dalam semua komunikasi kita. Ini tidak bermaksud untuk kompromi asas dan keutamaan kita tetapi untuk berhenti menyerang orang lain secara kasar atas asas dan keutamaan mereka. Itulah yang Teladan Sempurna kita lakukan dalam pelayanan-Nya. Itulah teladan yang Dia tetapkan semasa Dia menjemput kita untuk mengikuti Dia.

Dalam persidangan empat tahun lalu, Presiden Nelson memberi kita cabaran kenabian untuk zaman kita:

“Adakah anda sudi membiarkan Tuhan menang dalam hidup anda? Adakah anda sudi membiarkan Tuhan menjadi pengaruh yang paling penting dalam hidup anda? Adakah anda membenarkan firman-Nya, perintah-perintah-Nya, dan perjanjian-Nya mempengaruhi apa yang anda lakukan setiap hari? Adakah anda membenarkan suara-Nya menjadi keutamaan daripada yang lain?”

Tuhan Yesus Kristus

Sebagai pengikut Kristus, kita mengajar dan bersaksi tentang Yesus Kristus, Teladan Sempurna kita. Oleh itu, marilah kita mengikuti Dia dengan meninggalkan pertikaian. Semasa kita meneruskan polisi pilihan kita dalam tindakan awam, marilah kita layak untuk berkat-Nya dengan menggunakan bahasa dan kaedah pendamai. Dalam keluarga dan hubungan peribadi yang lain, marilah kita mengelak daripada apa yang kasar dan penuh kebencian. Marilah kita berusaha untuk menjadi kudus, seperti Juruselamat kita, saya bersaksi dan berdoa berkat-Nya untuk membantu kita menjadi Orang Suci. Dalam nama Yesus Kristus, amin.