Persidangan Umum
Meletakkan Senjata Pemberontakan Kita
Persidangan umum Oktober 2024


13:12

Meletakkan Senjata Pemberontakan Kita

Semoga kita menguburkan—dengan sangat dalam—apa-apa unsur pemberontakan terhadap Tuhan dalam hidup kita dan menggantikannya dengan hati dan fikiran yang rela.

Kitab Mormon merekodkan para putera Raja Mosia telah memulakan misi yang berlangsung selama 14 tahun di kalangan bangsa Laman, 90 tahun sebelum kelahiran Kristus. Usaha untuk membawa bangsa Laman mempercayai ajaran Kristus telah berlangsung beberapa generasi. Namun, kali ini, melalui bantuan Roh Kudus, ribuan bangsa Laman telah bertukar hati dan menjadi pengikut Yesus Kristus.

Kita baca, “Dan sepastinya Tuhan hidup, sedemikian pastinya sebanyak yang percaya, atau sebanyak yang dibawa pada pengetahuan tentang kebenaran, melalui pengkhutbahan Amon dan saudara-saudaranya, menurut roh wahyu dan nubuat, dan kuasa Tuhan yang mengerjakan mukjizat dalam diri mereka—ya, aku berkata kepadamu, sebagaimana Tuhan hidup, sebanyak bangsa Laman yang percaya pada pengkhutbahan mereka, dan berpaling kepada Tuhan, tidaklah pernah jatuh.”

Asas penukaran hati yang berkekalan ini dinyatakan dalam ayat seterusnya: “Kerana mereka menjadi suatu bangsa yang soleh; mereka meletakkan senjata pemberontakan mereka, sehingga mereka tidak berperang melawan Tuhan lagi, tidak juga melawan siapa pun di antara saudara-saudara mereka.”

Rujukan kepada “senjata pemberontakan” adalah secara harfiah dan kiasan. Ia bukan sahaja bermaksud pedang dan senjata peperangan mereka tetapi juga ketidakpatuhan kepada Tuhan dan perintah-perintah-Nya.

Raja bangsa Laman menyatakan: “Dan sekarang lihatlah, saudara-saudaraku, … setelah segala yang dapat kita lakukan … untuk bertaubat akan segala dosa kita dan banyak pembunuhan yang telah kita lakukan, dan untuk memujuk Tuhan untuk mengambilnya daripada hati kita, kerana itu sahaja yang dapat kita lakukan untuk bertaubat dengan cukup di hadapan Tuhan agar Dia akan menanggalkan noda kita.”

Perhatikan kata-kata raja—bukan sahaja pertaubatan ikhlas mereka membawa kepada pengampunan dosa, tetapi Tuhan juga telah menanggalkan noda dosa dan juga keinginan untuk berdosa dari hati mereka. Seperti mana anda tahu, untuk tidak kembali memberontak terhadap Tuhan, mereka meletakkan pedang-pedang mereka. Selain meletakkan senjata-senjata fizikal, dengan hati yang telah berubah, mereka juga meninggalkan keinginan mereka untuk berdosa.

Kita mungkin bertanya bagaimanakah kita boleh ikut corak ini, untuk “meletakkan senjata pemberontakan [kita]” dan “berpaling kepada Tuhan” agar noda dosa dan keinginan untuk berdosa diambil dari hati kita dan kita tidak akan jatuh.

Pemberontakan boleh menjadi aktif atau pasif. Contoh klasik pemberontakan sengaja ialah Lusifer, semasa di pra-fana, menentang rancangan penebusan Bapa dan menghasut yang lain untuk turut serta, “dan, pada hari itu, ramai yang mengikutinya.” Tidak susah untuk membezakan kesan pemberontakan berterusannya dalam zaman kita.

Tiga anti-Kristus Kitab Mormon—Sherem, Nehor, and Korihor—memberi satu kajian klasik tentang pemberontakan aktif terhadap Tuhan. Tesis menyeluruh Nehor dan Korihor ialah dosa tidak wujud; maka, pertaubatan tidak diperlukan, dan Juruselamat tidak wujud. “Setiap orang makmur menurut bakatnya, dan … setiap orang berjaya menurut kekuatannya; dan apa pun yang seseorang lakukan bukanlah jenayah.” Anti-Kristus menolak wewenang agama, melihat tatacara dan perjanjian sebagai sesuatu yang “ditegakkan oleh para imam zaman dahulu, untuk merebut kekuatan dan wewenang ke atas diri mereka.”

William W. Phelps

Satu contoh zaman ini berkenaan pemberontakan yang berakhir dengan kegembiraan ialah kisah William W. Phelps. Phelps menyertai Gereja pada tahun 1831 dan telah ditugaskan sebagai pencetak Gereja. Dia telah menyunting beberapa terbitan Gereja, menulis banyak lagu rohani, dan menjadi jurutulis untuk Joseph Smith. Malangnya, dia berpaling daripada Gereja dan Nabi, bahkan dia memberi kesaksian palsu tentang Joseph Smith di mahkamah Missouri, yang menyebabkan Nabi dipenjarakan di sana.

Kemudian, Phelps menulis kepada Joseph untuk meminta keampunan. “Saya tahu keadaan saya, kamu tahu, dan Tuhan tahu, dan saya mahu diselamatkan jika kawan saya akan membantu saya.”

Nabi membalas: “Benarlah kami telah banyak menderita akibat tingkah laku kamu. … Namun, air telah diminum, kehendak Tuhan telah disempurnakan, dan kami masih hidup. … Marilah, saudaraku, peperangan telah pun lalu, kita mulanya berkawan dan berkawanlah kita akhirnya.”

Dengan pertaubatan ikhlas, William Phelps meletakkan “senjata pemberontakan,” dan diterima semula sepenuhnya, dan tidak akan jatuh lagi.

Pemberontakan terhadap Tuhan yang paling licik, ialah versi yang pasif—tidak mengendahkan kehendak-Nya dalam hidup kita. Ramai yang tidak memberontak secara aktif mungkin masih menentang kehendak dan firman Tuhan dengan mengikuti jalan sendiri tanpa mengendahkan bimbingan ilahi. Saya teringatkan satu lagu terkenal oleh Frank Sinatra dengan baris kemuncak “Ku lakukan demi cara ku.” Pastinya kehidupan penuh dengan pilihan peribadi, tetapi berkenaan penyelamatan dan kehidupan abadi, lagu tema kita haruslah “Ku lakukan demi cara Tuhan,” kerana itulah satu-satunya cara.

Contohnya, teladan Juruselamat berkenaan pembaptisan. Dia dibaptiskan untuk menunjukkan kesetiaan-Nya kepada Bapa dan sebagai teladan untuk kita:

“Dia memperlihatkan kepada anak-anak manusia bahawa, menurut keadaan daging Dia merendahkan hati-Nya di hadapan Bapa, dan bersaksi kepada Bapa bahawa Dia akan patuh kepada-Nya dalam mentaati perintah-perintah-Nya. …

“Dan Dia berfirman kepada anak-anak manusia: Engkau, ikutlah Aku. Oleh kerana itu, saudara-saudaraku yang dikasihi, dapatkah kita mengikuti Yesus kecuali kita akan sedia mentaati perintah-perintah Bapa?”

Tiada “cara aku” jika kita mengikuti teladan Kristus. Cuba mencari jalan yang lain ke syurga seperti sia-sia membina menara Babel daripada melihat kepada Kristus dan penyelamatan-Nya.

Pedang dan senjata lain yang bangsa Laman letakkan adalah senjata pemberontakan kerana cara ia telah digunakan. Senjata yang sama itu dalam tangan anak-anak mereka, yang digunakan untuk mempertahankan keluarga dan kebebasan, bukannya senjata pemberontakan terhadap Tuhan. Sama seperti senjata di dalam tangan bangsa Nefi: “Mereka tidak berperang demi kerajaan tidak juga kekuasaan tetapi … berperang demi rumah-rumah mereka dan kemerdekaan mereka, isteri-isteri mereka dan anak-anak mereka, dan semua milik mereka, ya, demi upacara-upacara ibadat mereka dan gereja.”

Dalam cara yang sama, terdapat hal dalam kita yang neutral atau sememangnya baik tetapi apabila digunakan secara salah menjadi “senjata pemberontakan.” Ucapan kita, contohnya, boleh membina atau merendahkan. Seperti mana Yakobus katakan:

“Tidak seorang pun dapat menjinakkan lidah manusia. Lidah itu jahat, Serta penuh dengan racun yang mematikan.

“Kita menggunakan lidah untuk mengucapkan syukur kepada Tuhan dan Bapa kita, tetapi juga untuk mengutuk sesama manusia, yang sudah diciptakan menurut rupa Tuhan.

“Ucapan syukur dan kata-kata kutukan keluar dari mulut yang sama. Saudara-saudaraku, perkara ini tidak seharusnya berlaku.”

Terdapat banyak perbualan awam dan peribadi hari ini yang berniat jahat. Terdapat banyak perbualan yang kesat dan tidak senonoh, bahkan di kalangan remaja. Ucapan sebegini adalah “senjata pemberontakan” terhadap Tuhan, “penuh dengan racun yang mematikan.”

Pertimbangkan satu lagi contoh tentang sesuatu yang asasnya baik tetapi boleh digunakan sebagai pemberontakan terhadap arahan ilahi—kerjaya seseorang. Seseorang boleh memperoleh kepuasan dalam satu kerjaya, pekerjaan, atau perkhidmatan, dan kita semua memperoleh faedah dari ramai orang yang berbakti dan berbakat dalam pelbagai bidang yang dicapai dan dicipta.

Namun, kebaktian terhadap kerjaya boleh menjadi fokus utama seseorang. Dan yang lain menjadi kurang penting, termasuk masa dan bakat untuk Juruselamat. Untuk lelaki dan wanita, melepaskan peluang untuk perkahwinan sah, gagal untuk menyokong dan mengangkat pasangan, gagal memelihara anak-anak sendiri, atau mengelak berkat dan tanggungjawab untuk melahirkan anak demi kemajuan kerjaya boleh mengubah pencapaian yang diperoleh sebagai satu bentuk pemberontakan.

Satu lagi contoh berkenaan badan fizikal kita. Paulus mengingatkan kita untuk memuliakan Tuhan melalui badan dan roh dan badan ini adalah bait suci Roh Kudus, “Diri kamu bukanlah milik kamu, tetapi milik Tuhan.” Oleh itu, adalah penting untuk menjaga badan kita sebaik mungkin. Hanya beberapa di antara kita yang boleh mencapai prestasi puncak seperti para atlit Olimpik dan Paralimpik, dan ada di antara kita sedang merasai kesan usia, atau seperti Presiden M. Russell Ballard katakan “rivet semakin longgar.”

Namun, saya percaya Pencipta kita gembira apabila kita melakukan segala yang boleh untuk menjaga kurnia badan fizikal. Ia adalah satu pemberontakan untuk mencacatkan badan, menyalahgunakannya, atau gagal hidup secara sihat. Pada masa yang sama, kemegahan diri dan menumpu hanya kepada rupa fizikal, atau pakaian boleh menjadi satu pemberontakan yang extrim, mendorong pada pemujaan kurnia Tuhan dan bukannya Tuhan.

Akhirnya, meletakkan senjata pemberontakan terhadap Tuhan bermaksud tunduk pada Roh Kudus, menanggalkan manusia alamiah, dan menjadi “orang suci melalui Korban Tebusan Kristus Tuhan.” Ia bermaksud mengutamakan perintah utama dalam kehidupan kita. Ia bererti membiarkan Tuhan menang. Jika kasih terhadap Tuhan dan keazaman untuk melayani dengan sepenuh daya, fikiran, dan kekuatan menjadi keseimbangan di mana kita menentukan segala keputusan kita, kita telah meletakkan senjata pemberontakan. Melalui rahmat Kristus, Tuhan akan mengampuni dosa dan pemberontakan lalu kita dan menanggalkan noda dosa dan pemberontakan dari hati kita. Lambat laun, Dia juga akan mengambil sebarang keinginan jahat, sepertimana Dua lakukan dengan penganut baru bangsa Laman dahulu. Maka, kita juga “tidaklah [akan] jatuh.”

Meletakkan senjata pemberontakan mendorong pada kebahagiaan yang unik. Bagi semua yang pernah berpaling kepada Tuhan, kita “dibawa untuk menyanyikan [lagu] kasih penebusan.” Bapa Syurgawi kita dan Putera-Nya, Penebus kita, telah mengesahkan komitmen Mereka yang tak berhenti untuk kebahagiaan utama kita melalui kasih dan pengorbanan yang paling mendalam dan kekal. Kita mengalami kasih Mereka setiap hari. Sudah tentu kita boleh membalas dengan kasih dan kesetiaan kita sendiri. Semoga kita menguburkan—dengan sangat dalam—apa-apa unsur pemberontakan terhadap Tuhan dalam hidup kita dan menggantikannya dengan hati dan fikiran yang rela. Dalam nama Yesus Kristus, amin.