Putera dan Puteri Tuhan
Kita benar-benar percaya bahawa kita semua anak Tuhan, dan kerana itu, kita ada potensi untuk menjadi seperti Dia.
Hari ini saya ingin berucap tentang satu kebenaran injil yang paling bahagia, mulia, dan berkuasa yang Tuhan ungkapkan. Pada masa yang sama, ironinya ia adalah salah satu yang dikritik. Pengalaman saya beberapa tahun yang lalu telah mendalamkan penghargaan saya untuk kebenaran injil ini.
Sebagai wakil Gereja, saya pernah dijemput ke persidangan agama di mana mulai saat itu mereka umumkan akan mengiktiraf sah semua pembaptisan yang dilakukan oleh hampir semua gereja Kristian lain, selagi tatacara itu dilakukan dengan air dan dalam nama Bapa dan Putera dan Roh Kudus. Kemudian, dijelaskan bahawa polisi ini tidak terpakai untuk pembaptisan yang dilakukan oleh Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir.
Selepas persidangan itu saya dapat menyelidiki lebih lanjut pengecualian itu dengan pemimpin yang bertanggungjawab ke atas pengumuman itu. Kami mempunyai perbualan yang indah dan bernas.
Ringkasnya, dia menjelaskan pengecualian itu berkaitan dengan kepercayaan kita tentang Kesatuan Ketuhanan, yang Kristian lain sebut sebagai Triniti. Saya menyatakan penghargaan saya kerana dia meluangkan masa untuk menjelaskan kepercayaannya dan polisi gerejanya. Di akhir perbualan, kami berpelukan dan kemudian mengucapkan selamat tinggal.
Kemudian saya merenungkan perbincangan kami, di mana pemimpin ini katakan bahawa Orang Suci Zaman Akhir tidak memahami “misteri Triniti” kekal dalam fikiran saya. Apa yang dia maksudkan? Ia berkaitan dengan pemahaman kita tentang sifat Tuhan. Kita percaya bahawa Tuhan Bapa “ialah manusia dimuliakan” dengan “tubuh daging dan tulang senyata manusia; [dan] Putera juga.” Oleh itu, setiap kali kita bercakap tentang sifat Tuhan, dalam beberapa cara kita juga bercakap tentang sifat kita sendiri.
Dan ini benar kerana bukan sahaja kita semua dicipta “seperti [Dia], meyerupai [Dia],” tetapi juga kerana, seperti Pemazmur catatkan, Tuhan berfirman, “Kamu ilahi; bahawa kamu semua anak Yang Maha Tinggi.” Ini ajaran berharga kita yang kini dipulihkan melalui Pemulihan. Ringkasnya, ia tidak lebih atau kurang daripada apa yang misionari ajarkan dalam pelajaran pertama, perenggan pertama, baris pertama: “Tuhan ialah Bapa Syurgawi kita, dan kita adalah anak-Nya.”
Anda mungkin katakan “Tapi ramai orang percaya kita adalah anak-anak Tuhan.” Ya, itu benar, tetapi pemahaman mereka mungkin sedikit berbeza daripada implikasi maknanya yang lebih mendalam yang kita tegaskan. Bagi Orang Suci Zaman Akhir, ajaran ini bukanlah metafora. Sebaliknya, kita benar-benar percaya bahawa semua orang adalah anak Tuhan. Dia adalah “Bapa roh [kita],” dan kerana itu, kita mempunyai potensi untuk menjadi seperti Dia, yang susah diterima oleh sesetengah orang.
Kini sudah 200 tahun berlalu sejak Penglihatan Pertama yang membuka pintu Pemulihan. Pada masa tu, Joseph Smith muda mencari bimbingan dari syurga untuk mengetahui gereja apa yang harus disertai. Melalui wahyu yang dia terima pada hari itu, dan dalam wahyu yang diberikannya kemudian, Nabi Joseph memperoleh pengetahuan tentang sifat Tuhan dan hubungan kita kepada Dia sebagai anak-anak-Nya.
Kerana itu, kita belajar dengan lebih jelas bahawa Bapa Syurgawi kita telah mengajar ajaran berharga ini sejak awal lagi. Izinkan saya memetik sekurang-kurangnya dua pengalaman daripada tulisan suci untuk ini.
Anda mungkin ingat arahan Tuhan kepada Musa seperti yang tercatat dalam Mutiara yang Sangat Berharga.
Kita baca “Tuhan berfirman kepada Musa, memfirmankan: Lihatlah, Akulah Tuhan Raja Yang Maha Kuasa, dan Tanpa Akhir adalah nama-Ku.” Dalam kata lain, Musa, Saya ingin anda tahu siapa saya. Kemudian Dia menambah, “Dan, lihatlah, engkaulah anak-Ku.” Kemudian Dia berkata, “Dan Aku mempunyai sebuah pekerjaan bagimu, Musa, anak-Ku; dan engkau memiliki suatu kemiripan dengan Anak Tunggal-Ku.” Dan kemudian akhirnya, Dia habiskan dengan “Dan sekarang, lihatlah, sebuah hal ini Aku tunjukkan kepadamu, Musa, anak-Ku.”
Tuhan bertekad untuk mengajar Musa sekurang-kurangnya satu pengajaran: “Engkau adalah anak-Ku,” yang Dia ulangi sekurang-kurangnya tiga kali. Dia tidak dapat menyebut nama Musa tanpa menyatakan dia adalah anak-Nya.
Namun, setelah Musa ditinggalkan sendirian, dia berasa lemah kerana dia tidak lagi berada di hadirat Tuhan. Ketika itulah Setan datang untuk menggodanya. Bolehkah anda melihat pola di sini? Hal pertama dia katakan ialah, “Musa, anak manusia, sembahlah aku.”
Dalam konteks ini, permintaan Setan untuk menyembahnya mungkin hanya satu gangguan. Godaan utama bagi Musa pada saat lemah itu adalah menjadi keliru dan percaya bahawa dia hanya “anak manusia,” dan bukannya anak Tuhan.
“Dan terjadilah bahawa Musa memandang Setan dan berkata: Siapakah engkau? Kerana lihatlah, Aku ialah seorang anak Tuhan, yang memiliki kemiripan dengan Anak Tunggal-Nya.” Mujurlah, Musa tidak keliru dan tidak membiarkan dirinya terganggu. Dia telah belajar tentang siapa dirinya sebenarnya.
Contoh seterusnya terdapat dalam Matius 4. Para sarjana telah menamakan ini “tiga godaan Yesus,” seolah-olah Tuhan telah digoda hanya tiga kali, yang sudah tentu tidak betul.
Beratus-ratus gelen dakwat telah digunakan untuk menerangkan maksud dan kandungan godaan ini. Seperti yang kita ketahui, bab ini bermula dengan menjelaskan bahawa Yesus telah pergi ke padang gurun, “dan setelah berpuasa selama empat puluh hari dan empat puluh malam, Yesus lapar.”
Godaan pertama Setan nampaknya hanya berkaitan dengan memuaskan keperluan fizikal Tuhan. “Perintahlah batu-batu ini menjadi roti,” Setan mencabar Juruselamat.
Bisikan kedua berkaitan dengan menggoda Tuhan: “Jika Engkau Anak Tuhan, terjunlah ke bawah, kerana di dalam Alkitab tertulis, Tuhan akan menyuruh malaikat-malaikat-Nya menjaga Engkau.”
Akhirnya, godaan ketiga Setan merujuk kepada aspirasi dan kekayaan dunia. Selepas Yesus ditunjukkan “semua kerajaan dunia, … [Setan] berkata kepadanya: Semua ini akan aku berikan kepada-Mu, jika Engkau sujud menyembah aku.”
Sebenarnya, godaan utama Setan mungkin kurang berkaitan dengan tiga provokasi khusus itu dan lebih kepada menggoda Yesus Kristus untuk mempersoalkan sifat ilahi-Nya. Sekurang-kurangnya dua kali, godaan itu didahului dengan tuduhan mencabar daripada Setan “Jika Engkau Anak Tuhan”—jika engkau benar-benar percaya, maka lakukan ini atau itu.
Sila perhatikan apa yang telah berlaku sejurus sebelum Yesus pergi ke padang gurun untuk berpuasa dan berdoa: kita temui kisah pembaptisan Kristus. Dan apabila Dia keluar dari air,”suara dari syurga berkata, Inilah Anak-Ku yang Aku kasihi. Dia menyenangkan hati-Ku.”
Adakah kita melihat kaitannya? Bolehkah kita mengenali satu pola?
Tidak hairanlah bahawa setiap kali kita diajar tentang sifat dan takdir ilahi kita, musuh segala kebenaran menggoda kita untuk mempersoalkannya.
Betapa berbezanya keputusan kita jika kita benar-benar tahu siapa kita sebenarnya.
Kita hidup dalam dunia yang mencabar, dunia yang semakin kacau, di mana orang terhormat berusaha untuk sekurang-kurangnya menekankan maruah manusia kita, sementara kita tergolong dalam sebuah gereja dan menerima injil yang mengangkat visi kita dan menjemput kita kepada yang ilahi.
Perintah Yesus untuk menjadi “sempurna, seperti Bapa [kita] di syurga” adalah gambaran yang jelas tentang harapan tinggi-Nya dan kemungkinan abadi kita. Semua ini tidak akan berlaku dalam sekelip mata. Dalam kata-kata Presiden Jeffrey R. Holland, ia akan berlaku “akhirnya.” Tetapi janjinya ialah jika kita “datang kepada Kristus” kita “akan sempurna di dalam Dia.”. Itu memerlukan banyak kerja—bukan sekadar kerja, tetapi kerja ilahi. Pekerjaan-Nya!
Sekarang, berita baik ialah Bapa Syurgawi kita yang berkata, “Kerana lihatlah, inilah pekerjaan-Ku dan kemuliaan-Ku—untuk mendatangkan kebaqaan dan kehidupan abadi bagi manusia.”
Jemputan Presiden Russell M. Nelson untuk “berfikiran selestial” menekankan peringatan yang indah tentang sifat ilahi, asal usul, dan potensi destinasi kita. Kita hanya boleh memperoleh selestial melalui korban tebusan Yesus Kristus.
Mungkin itulah sebabnya Setan mengumpan Yesus dengan godaan yang sama dari awal hingga akhir pelayanan duniawi-Nya. Matius mencatat apabila Yesus digantung pada salib, semua yang “lalu sambil mencemuh Yesus, … berkata, … Jika kamu Anak Tuhan, selamatkanlah dirimu dan turunlah dari salib!” Kemuliaan bagi Tuhan kerana Dia tidak mendengar tetapi sebaliknya menyediakan jalan bagi kita untuk menerima semua berkat selestial.
Marilah kita sentiasa ingat, kegembiraan kita telah dibayar dengan harga yang tinggi.
Saya bersaksi sama seperti Rasul Paulus bahawa “Roh Tuhan bersama dengan roh kita menyatakan bahawa kita anak-anak Tuhan. … Kita akan menerima berkat-berkat … Tuhan untuk umat-Nya … [dan] segala yang … Tuhan [sediakan] untuk Dia, kerana jika kita menderita bersama-sama Kristus, kita juga akan mendapat kemuliaan-Nya.” Dalam nama Yesus Kristus, amin.