Persidangan Umum
Ajaran Yesus Kristus adalah Sederhana
Persidangan umum Oktober 2024


16:6

Ajaran Yesus Kristus adalah Sederhana

Saya memberi kesaksian tentang pekerjaan kudus mengajar anak-anak Bapa Syurgawi ajaran sederhana Yesus Kristus.

Kita semua mempunyai ahli keluarga terkasih yang sedang digoda dan diuji oleh kuasa Setan, sang pemusnah, yang ingin membuat semua anak Tuhan sengsara. Ramai kita telah mengalami malam-malam tanpa tidur. Kita telah berusaha mengelilingi orang yang berisiko ini dengan setiap kebaikan. Kita telah merayu di dalam doa-doa kita untuk mereka. Kita mengasihi mereka. Kita telah memberikan teladan terbaik.

Alma, seorang nabi yang bijak, menghadapi ujian yang serupa. Orang yang dia pimpin dan kasihi sering diserang oleh musuh ganas, namun mereka tetap berusaha untuk membesarkan anak-anak yang soleh dalam dunia yang penuh kejahatan. Alma merasakan satu-satunya harapannya untuk menang adalah satu kuasa yang kadangkala kita anggap remeh, dan jarang gunakan kuasa ini. Dia berdoa untuk bantuan Tuhan.

Alma tahu bahawa untuk Tuhan membantu, pertaubatan diperlukan oleh mereka yang dia pimpin, begitu juga musuh-musuhnya. Oleh itu, dia memilih pendekatan yang berbeza untuk bertempur.

Kitab Mormon menggambarkannya seperti ini: “Dan sekarang, sebagaimana kerana pengkhutbahan firman mempunyai kecenderungan besar untuk menuntun umat itu untuk melakukan apa yang adil—ya, itu telah … mempunyai kesan yang lebih kuat pada fikiran orang daripada pedang, atau apa-apa pun yang lain, yang telah terjadi kepada mereka—oleh itu Alma berfikir adalah arif bahawa mereka patut menguji kuasa firman Tuhan.”

Firman Tuhan adalah ajaran yang Yesus Kristus dan para nabi–Nya sampaikan. Alma tahu bahawa kata-kata ajaran itu mempunyai kuasa yang besar.

Dalam bahagian 18 Ajaran dan Perjanjian, Tuhan mengungkapkan landasan ajaran-Nya:

“Kerana, lihatlah, Aku memerintahkan semua orang di mana-mana pun untuk bertaubat. …

“Kerana, lihatlah, Tuhan Penebusmu menderita kematian dalam keadaan daging; kerana itu Dia menderita kesakitan semua manusia, agar semua manusia boleh bertaubat dan datang kepada-Nya.

“Dan Dia telah bangkit lagi dari yang mati, agar Dia boleh membawa semua orang kepada-Nya, dengan syarat-syarat pertaubatan.”

“Dan kamu akan menjatuhkan diri dan menyembah Bapa dalam nama-Ku.

“… Kamu mesti bertaubat dan dibaptiskan, dalam nama Yesus Kristus.”

“Mintalah kepada Bapa dalam nama-Ku, dalam iman percaya bahawa kamu akan menerima, dan kamu akan memperoleh Roh Kudus.”

“Dan sekarang, setelah … kamu menerima ini, kamu mesti mentaati perintah-perintah-Ku dalam segala hal.”

“Ambillah ke atas dirimu nama Kristus, dan ucapkanlah kebenaran dengan kesungguhan.

“Dan seberapa banyak yang bertaubat dan dibaptiskan dalam nama-Ku, iaitu Yesus Kristus, dan bertahan sampai akhir, orang yang sama akan diselamatkan.”

Dalam beberapa petikan itu, Juruselamat memberi kita contoh yang sempurna tentang bagaimana kita harus mengajar ajaran-Nya. Ajaran ini ialah iman kepada Tuhan Yesus Kristus, pertaubatan, pembaptisan, menerima kurnia Roh Kudus, dan bertahan sampai akhir memberkati semua anak Tuhan.

Semasa kita mengajarkan asas-asas ini kepada orang yang kita kasihi, Roh Kudus akan membantu kita mengetahui kebenaran. Kerana kita memerlukan dorongan Roh Kudus, kita mesti mengelak spekulasi atau tafsiran peribadi yang melampaui ajaran sejati.

Itu mungkin sukar dilakukan apabila anda mengasihi orang yang anda cuba pengaruhi. Dia mungkin telah mengabaikan ajaran yang telah diajar. Mencuba sesuatu yang baharu atau penuh sensasi sentiasa menggoda. Tetapi Roh Kudus akan mengungkapkan roh kebenaran hanya apabila kita berhati-hati untuk tidak melampaui ajaran sejati. Satu cara untuk mengelakkan daripada mendekati ajaran palsu adalah membuat pilihan untuk mengajar dengan sederhana. Keselamatan dicapai dengan kesederhanaan itu, dan tiada banyak yang akan hilang.

Mengajar dengan sederhana membolehkan kita berkongsi ajaran penyelamatan sejak awal, sementara kanak-kanak masih tidak terjejas oleh godaan penipu yang mereka akan hadapi kelak, jauh sebelum kebenaran yang perlu mereka pelajari tenggelam oleh kebisingan media sosial, rakan sebaya, dan pergelutan peribadi mereka sendiri. Kita harus mengambil setiap peluang untuk berkongsi ajaran Yesus Kristus dengan kanak-kanak. Detik-detik pengajaran ini adalah berharga dan jauh lebih sedikit jika dibandingkan dengan usaha tanpa henti daripada musuh. Untuk setiap jam yang dihabiskan untuk menerapkan ajaran ke dalam hidup kanak-kanak, terdapat berjam-jam tentangan yang dipenuhi dengan mesej dan gambar yang mencabar atau mengabaikan kebenaran yang menyelamatkan ini.

Sebahagian anda mungkin tertanya-tanya sama ada lebih baik rapat dengan anak-anak anda melalui keseronokan, atau anda mungkin rasa anak itu mula terbeban dengan ajaran anda. Sebaliknya, kita harus mempertimbangkan, “Dengan masa dan peluang yang begitu sedikit, apakah ajaran yang saya boleh kongsi yang akan menguatkan mereka melawan cabaran iman mereka?” Kata-kata yang anda kongsi hari ini boleh menjadi kata-kata yang mereka simpan, dan hari ini akan segera berlalu.

Saya sentiasa kagumi pengabdian nenek moyang saya Mary Bommeli untuk berkongsi ajaran Yesus Kristus. Keluarganya pernah diajar oleh misionari di Switzerland ketika dia berumur 24 tahun.

Selepas dibaptiskan, Mary berhasrat untuk menyertai Orang Suci di Amerika, jadi dia berangkat dari Switzerland ke Berlin dan diupah oleh seorang wanita untuk menenun kain untuk pakaian keluarga tersebut. Mary tinggal di bilik pembantu dan memasang alat tenunnya di ruang tamu rumah.

Pada masa itu, mengajar ajaran Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir adalah haram di Berlin. Tetapi Mary tidak dapat menahan daripada berkongsi hal-hal yang dia pelajari. Wanita itu dan kawan-kawannya akan berkumpul mengeliling alat tenun untuk mendengar Mary mengajar. Dia bercakap tentang Bapa Syurgawi dan Yesus Kristus muncul kepada Joseph Smith, kunjungan para malaikat, dan Kitab Mormon. Memetik laporan Alma, dia mengajar tentang ajaran Kebangkitan. Dia bersaksi keluarga boleh disatukan semula dalam kerajaan selestial.

Semangat Mary untuk berkongsi ajaran injil yang dipulihkan segera menimbulkan masalah. Tidak lama kemudian, polis membawa Mary ke penjara. Dalam perjalanan, Mary menanyakan pegawai polis siapakah nama hakim yang dia akan hadapi esok pagi. Dia juga bertanya tentang keluarganya dan jika dia seorang bapa dan suami yang baik. Polis itu menggambarkan hakim itu sebagai seorang yang bersifat duniawi.

Dalam penjara, Mary meminta sebatang pensel dan kertas. Dia menghabiskan malam itu menulis surat kepada hakim, bersaksi tentang Kebangkitan Yesus Kristus seperti dalam Kitab Mormon, membincangkan dunia roh, dan menjelaskan pertaubatan. Dia mencadangkan hakim itu untuk merenungkan kehidupannya sebelum menghadapi penghakiman akhir. Dia menulis bahawa ada banyak hal yang hakim itu perlu bertaubat, yang akan menyedihkan keluarganya dan dia. Pagi itu, apabila suratnya siap, Mary berikannya kepada polis dan meminta dia sampaikan kepada hakim, dan dia berbuat demikian.

Kemudian, hakim itu memanggil polis itu ke pejabatnya. Surat yang Mary tulis adalah bukti nyata bahawa dia sedang mengajar injil yang dipulihkan dan, ia melanggar undang-undang. Namun, tidak lama kemudian polis itu kembali ke bilik penjara Mary. Dia memberitahu Mary bahawa semua tuduhan telah dilepaskan dan Mary bebas untuk pergi. Ajarannya tentang injil yang dipulihkan telah menyebabkan dia dimasukkan ke penjara. Dan dengan pengisytiharan pertaubatan kepada hakim itu telah menyebabkan Mary dibebaskan dari penjara.

Ajaran Mary Bommeli tidak berakhir dengan pembebasannya. Rekod kata-katanya adalah ajaran sejati yang dipelihara untuk keturunannya, termasuk mereka yang belum dilahirkan. Kepercayaannya bahawa ahli baharu boleh mengajar ajaran Yesus Kristus telah memastikan keturunannya diperkuatkan dalam perjuangan mereka sendiri.

Semasa kita buat yang terbaik untuk mengajar orang yang kita kasihi tentang ajaran Yesus Kristus, mungkin ada yang masih tidak memberi respon. Keraguan mungkin datang ke fikiran anda. Anda mungkin mempersoalkan sama ada anda cukup mengetahui ajaran Juruselamat untuk mengajarkannya dengan berkesan. Dan jika anda telah mencuba untuk mengajarnya, anda mungkin tertanya-tanya mengapa kesan positif tidak kelihatan. Jangan menyerah kepada keraguan itu. Berpalinglah kepada Tuhan untuk bantuan.

“Ya, dan berserulah kepada Tuhan untuk segala tunjanganmu; … biarlah kasih sayang hatimu ditujukan kepada Tuhan selama-lamanya.”

“Dan sekarang, aku menghendaki agar kamu sepatutnya rendah hati, dan bersifat peserah dan lemah lembut; ramah tamah; penuh dengan kesabaran dan panjang sabar; bersederhana dalam segala hal; tekun dalam mentaati perintah-perintah Tuhan pada seluruh masa; meminta untuk apa pun yang sedang kamu perlukan, baik rohani mahupun duniawi; selalu kembali bersyukur kepada Tuhan untuk apa pun yang kamu terima.”

Jika anda berdoa, jika anda bercakap dengan Tuhan, dan jika anda merayu bantuan-Nya untuk orang terkasih, dan jika anda berterima kasih kepada-Nya untuk bantuan dan kesabaran serta kelembutan yang datang kerana tidak menerima semua yang anda inginkan, maka saya berjanji kepada anda bahawa anda akan mendekati-Nya. Anda akan menjadi tekun dan panjang sabar. Kemudian anda tahu bahawa anda telah melakukan segala yang anda boleh untuk membantu orang terkasih anda dan orang yang anda doakan untuk mengharungi percubaan Setan untuk menggagalkan mereka.

“Tetapi orang yang berharap kepada Tuhan akan mendapat kekuatan baru. Mereka seperti burung rajawali, yang terbang tinggi dengan kekuatan sayapnya. Mereka akan berlari dan tidak lelah; mereka akan berjalan dan tidak menjadi lemah.”

Anda boleh temui harapan di dalam rekod suci tentang keluarga. Kita membaca tentang mereka yang berpaling daripada apa yang mereka diajar atau bergelut dengan Tuhan untuk pengampunan, seperti Alma yang Muda, para putera Mosia, dan Enos. Di saat krisis, mereka teringat kata-kata ibu bapa mereka, ajaran Yesus Kristus. Mengingati itu menyelamatkan mereka. Ajaran anda tentang ajaran kudus akan diingati.

Saya bersaksi tentang pekerjaan kudus mengajar anak-anak Bapa Syurgawi ajaran sederhana Yesus Kristus, yang membersihkan kita secara rohani dan akhirnya disambut ke hadirat Tuhan, untuk hidup bersama-Nya dan Putera-Nya dalam kemuliaan selamanya dalam keluarga. Dalam nama Yesus Kristus, amin.