Tangan-Nya Sedia Membantu Kita
Apabila kita menjangkau Yesus Kristus dalam iman, Dia akan sentiasa berada di sana.
Ketika saya masih kanak-kanak, saya dan keluarga pergi bercuti di pesisiran pantai negara asal saya, Chile. Saya teruja untuk menikmati beberapa hari musim panas bersama keluarga saya. Saya juga teruja beranggapan akhirnya saya boleh menyertai dan buat apa yang dua orang abang saya buat untuk berseronok di atas air.
Pada suatu hari, abang-abang saya pergi bermain di tempat ombak memecah, dan saya rasa cukup dewasa dan matang untuk ikut mereka. Semasa saya menuju ke kawasan itu, saya sedari ombak-ombak itu lebih besar daripada yang saya nampak dari pantai. Tiba-tiba, ombak menghampiri saya dengan cepat, mengejutkan saya. Saya rasa seolah-olah kuasa alam telah menguasai saya, dan saya ditarik ke dalam laut. Saya tidak dapat melihat atau merasakan sebarang titik rujukan semasa saya dihanyut ke sana-sini. Ketika saya fikir pengembaraan saya di bumi akan berakhir, satu tangan menarik saya ke permukaan. Akhirnya, saya dapat melihat matahari dan bernafas.
Abang saya, Claudio, melihat cubaan saya menjadi orang dewasa dan datang menyelamatkan saya. Saya tidak jauh dari pantai. Walaupun airnya cetek, saya terasa bingung dan tidak sedar saya boleh membantu diri sendiri. Claudio beritahu saya untuk berhati-hati dan jika saya mahu, dia boleh mengajar saya. Walaupun saya telah menelan banyak air, keangkuhan dan keinginan saya untuk menjadi budak besar sangat kuat, jadi saya berkata, “Baiklah.”
Claudio memberitahu saya bahawa saya perlu menyerang ombak. Saya beritahu diri saya pasti akan kalah melawan ombak sebesar dinding.
Ketika ombak besar baharu menghampiri, Claudio dengan cepat berkata: “Lihat saya; inilah caranya.” Claudio berlari ke arah ombak yang datang dan menyelam ke dalamnya sebelum ia pecah. Saya begitu terpesona dengan cara selamnya sehingga saya tidak fokus pada ombak yang datang. Sekali lagi saya dihanyutkan ke laut dan dibawa oleh kuasa alam. Beberapa saat kemudian, satu tangan menggenggam tangan saya, dan saya sekali lagi ditarik ke pantai. Api keangkuhan saya semakin padam.
Kali ini, abang mengajak saya menyelam bersamanya. Saya ikut jemputannya, dan kami selam bersama. Saya rasa seolah-olah saya sedang menakluki cabaran yang paling rumit. Sememangnya, ia tidak begitu mudah, tetapi saya berjaya, dengan bantuan dan teladan abang saya. Tangannya menyelamatkan saya dua kali; teladannya menunjukkan saya cara menangani cabaran dan menjadi pemenang pada hari itu.
Presiden Russell M. Nelson menjemput kita untuk berfikiran selestial, dan saya ingin mengikut dan menerapkannya dalam cerita musim panas saya.
Kuasa Juruselamat ke atas Musuh
Jika kita berfikiran selestial, kita akan faham bahawa kehidupan kita akan menghadapi cabaran yang kelihatan lebih besar daripada keupayaan kita untuk mengatasinya. Semasa masa fana, kita tertakluk kepada serangan musuh. Seperti ombak yang menguasai saya pada musim panas itu, kita boleh berasa tidak berdaya dan mahu mengalah. “Ombak ganas” itu boleh menghempas kita sana sini. Tetapi jangan lupa siapa yang lebih berkuasa dari ombak itu dan malah, atas segalanya. Dialah Juruselamat kita, Yesus Kristus. Dia berkuasa untuk membantu kita dari setiap keadaan yang menyedihkan atau yang buruk. Tidak kira sama ada kita rasa dekat dengan-Nya atau tidak, Dia masih boleh mencapai kita di mana kita berada.
Apabila kita menjangkau Dia dalam iman, Dia akan sentiasa ada, dan pada masa-Nya, Dia sedia dan ingin menggenggam tangan kita dan menarik kita ke tempat yang selamat.
Juruselamat dan Teladan Pelayanan-Nya
Jika kita berfikiran selestial, kita akan mengenali Yesus Kristus sebagai teladan pelayanan yang sempurna. Terdapat satu pola untuk kita dalam tulisan suci apabila Dia atau para pengikut-Nya menjangkau kepada seseorang yang memerlukan bantuan, penyelamatan, atau berkat semasa mereka menghulurkan tangan mereka. Seperti dalam cerita saya, saya tahu abang saya ada di sana, tetapi hanya berada di sana untuk saya tidak mencukupi. Claudio tahu saya menghadapi masalah, dan dia pergi untuk membantu mengangkat saya dari air.
Kadang-kadang, kita berfikir bahawa kita hanya perlu berada di sana untuk seseorang yang memerlukan, dan sering kali, banyak lagi yang boleh kita lakukan. Mempunyai perspektif kekal boleh membantu kita menerima wahyu untuk menawarkan bantuan kepada orang lain yang memerlukannya. Kita boleh bergantung pada bimbingan dan ilham Roh Kudus untuk membezakan jenis bantuan yang diperlukan, sama ada sokongan duniawi seperti emosi, makanan, atau bantuan dengan tugas harian, atau bimbingan rohani untuk membantu orang lain dalam perjalanan mereka untuk bersedia, membuat, dan menghormati perjanjian kudus.
Juruselamat Bersedia Menyelamatkan Kita
Apabila Petrus, Rasul senior “berjalan di atas air menuju kepada Yesus … dia takut; dan mula tenggelam”, lalu “Petrus berseru, Ya Tuhan, selamatkanlah aku.” Yesus tahu iman yang Petrus gunakan untuk berjalan kepada-Nya di atas air. Dia juga tahu ketakutan Petrus. Menurut kisah itu, Yesus “dengan segera … menghulurkan tangan lalu memegang dia,” sambil berkata, “Mengapa engkau kurang percaya kepada-Ku? Mengapa engkau meragui Aku?” Kata-kata-Nya bukan untuk memarahi Petrus tetapi untuk mengingatkan Petrus bahawa Dia, Mesias, ada bersama dia dan para pengikut.
Jika kita berfikiran selestial, kita akan menerima pengesahan dalam hati kita bahawa Yesus Kristus sememangnya Penyelamat kita, Pembela kita dengan Bapa, dan Penebus kita. Semasa kita beriman kepada-Nya, Dia akan menyelamatkan kita daripada keadaan kita yang jatuh, melampaui cabaran, kelemahan, dan keperluan kita dalam kehidupan duniawi ini, dan memberikan kita yang anugerah terhebat, iaitu kehidupan abadi.
Juruselamat Tidak Putus Asa dengan Kita
Abang saya tidak berputus asa dengan saya pada hari itu tetapi berterusan supaya saya boleh belajar melakukannya sendiri. Dia meneruskan, walaupun dia perlu menyelamatkan saya dua kali. Dia meneruskan, walaupun saya tidak berjaya pada mulanya. Dia meneruskan supaya saya dapat mengatasi cabaran itu dan berjaya. Jika kita berfikiran selestial, kita akan menyedari bahawa Juruselamat akan berada di sana sebanyak yang diperlukan untuk memberikan bantuan jika kita ingin belajar, berubah, mengatasi, atau berjaya dalam apa sahaja yang akan membawa kebahagiaan sejati dan kekal ke kehidupan kita.
Tangan Juruselamat
Tulisan suci mengabadikan simbol dan kepentingan tangan Juruselamat. Dalam korban tebusan-Nya, tangan-Nya dipaku untuk meletakkan Dia di atas kayu salib. Selepas Kebangkitan-Nya, Dia tunjukkan diri kepada para pengikut-Nya dalam tubuh yang sempurna, tetapi bekas-bekas di tangan-Nya tinggal sebagai peringatan akan pengorbanan-Nya yang tidak terhingga. Tangan-Nya akan sentiasa ada untuk kita, walaupun kita tidak dapat melihat atau merasa pada mulanya, kerana Dia dipilih oleh Bapa Syurgawi kita untuk menjadi Juruselamat kita, Penebus semua umat manusia.
Jika saya berfikiran selestial, saya tahu kita tidak ditinggalkan sendirian dalam hidup ini. Walaupun kita mesti menghadapi cabaran dan ujian, Bapa Syurgawi kita mengetahui keupayaan kita dan tahu kita boleh menanggung atau mengatasi kesukaran kita. Kita perlu melakukan bahagian kita dan berpaling kepada Dia dengan iman. Putera-Nya, Yesus Kristus, ialah penyelamat kita dan sentiasa ada. Dalam nama kudus-Nya, Yesus Kristus, amin.