Persidangan Umum
“Kamu Adalah Teman-teman-Ku”
Persidangan umum Oktober 2024


10:49

“Kamu Adalah Teman-teman-Ku”

Pengisytiharan Juruselamat “kamu adalah teman-teman-Ku” adalah seruan yang jelas untuk membina hubungan yang lebih tinggi dan kudus di kalangan semua anak Tuhan.

Dalam dunia yang penuh perselisihan dan perpecahan, perbincangan berhemah telah digantikan dengan penghakiman dan penghinaan, dan persahabatan ditentukan oleh kelompok, saya tahu adanya teladan yang jelas, mudah, dan ilahi sebagai panduan untuk perpaduan, kasih, dan rasa tergolong. Teladan itu ialah Yesus Kristus. Saya bersaksi Dialah penyatu yang agung.

Kita Adalah Teman-teman-Nya

Pada Disember 1832, “munculnya kesusahan antara bangsa-bangsa”yang semakin “lebih kelihatan” daripada mana-mana masa sejak penubuhan Gereja, para pemimpin Orang Suci Zaman Akhir di Kirtland, Ohio, berkumpul untuk satu persidangan. Mereka berdoa “secara berasingan dan bersuara agar Tuhan mengungkapkan kehendak-Nya kepada [mereka].” Sebagai jawapan terhadap doa-doa ahli setia ini pada masa mencabar, Tuhan menghiburkan mereka, tiga kali menyebut Orang Suci dengan dua perkataan yang berkuasa: “teman-Ku.”

Yesus Kristus telah lama memanggil para pengikut-Nya yang setia sebagai teman-Nya. Empat belas kali di dalam Ajaran dan Perjanjian, Juruselamat guna istilah teman untuk mendefinisikan hubungan yang kudus dan dihargai. Saya tidak bercakap tentang perkataan teman mengikut definisi dunia—bergantung kepada pengikut media sosial atau “suka”. Ia tidak dapat digambarkan dengan “hashtag” atau angka di dalam Instagram atau X.

Sejujurnya, sebagai remaja, saya ada perbualan yang menyakitkan seperti “Hey, bolehkah kita berteman sahaja?” atau “Mari kekal dalam zon kawan sahaja.” Tiada dalam tulisan suci kita mendengar Dia berkata, “Kamu hanyalah teman saya.” Sebaliknya, Dia mengajarkan bahawa “Jika seseorang mati bagi sahabat-sahabatnya, hal itu menunjukkan bahawa dia orang yang paling mengasihi mereka.” Dan “kamu adalah mereka yang telah Bapa-Ku berikan kepada-Ku; kamu adalah teman-teman-Ku.”

Sentimen ini jelas: Juruselamat menghitung setiap kita dan menjaga kita. Penjagaan ini bukanlah remeh atau tidak penting. Sebaliknya, ia memuliakan, mengangkat, dan abadi. Saya melihat pengisytiharan Juruselamat “kamu adalah teman-teman-Ku.” sebagai panggilan jelas untuk membina hubungan yang lebih tinggi dan lebih kudus dengan semua anak Tuhan “agar [kita] dapat menjadi satu.” Kita melakukan ini semasa kita bersama-sama mencari peluang untuk bersatu dan tergolong.

Kita Bersatu di dalam Dia

Juruselamat menunjukkan ini dalam panggilan-Nya untuk “ikutlah Aku.” Dia memanfaatkan kurnia dan sifat individu dari kumpulan pengikut yang pelbagai untuk memanggil para Rasul-Nya. Dia memanggil nelayan, patriot, adik-beradik yang dikenali sebagai “anak guntur”, dan bahkan pemungut cukai. Kepercayaan mereka kepada Juruselamat dan hasrat untuk mendekati-Nya telah menyatukan mereka. Mereka melihat kepada-Nya, melihat Tuhan melalui-Nya, dan “segera meninggalkan jala mereka lalu mengikut Yesus.”

Saya turut melihat bagaimana membina hubungan yang lebih tinggi dan lebih kudus telah menyatukan kita. Isteri saya, Jennifer dan saya sangat diberkati untuk membesarkan lima orang anak di Kota New York. Di bandar raya yang sibuk itu, kami membentuk hubungan yang berharga dan kudus dengan jiran, rakan sekolah, rakan perniagaan, pemimpin agama, dan sesama Orang Suci.

Pada Mei 2020, ketika dunia sedang bergelut dengan penularan pandemik global, ahli-ahli Suruhanjaya Pemimpin Agama Kota New York bertemu secara maya dalam satu mesyuarat yang diadakan secara tergesa-gesa. Tiada agenda. Tiada tetamu istimewa. Hanya satu permintaan untuk berkumpul dan membincangkan cabaran yang kami semua hadapi sebagai pemimpin agama. Pusat Kawalan Penyakit baru sahaja melaporkan bahawa bandar kami adalah pusat penularan pandemik COVID-19 di Amerika Syarikat. Ini bermakna tiada lagi perhimpunan. Tiada lagi berkumpul bersama.

Bagi para pemimpin agama ini, penghapusan pelayanan peribadi, perhimpunan jemaah, dan penyembahan mingguan adalah satu tamparan yang dahsyat. Kumpulan kecil kami—yang terdiri daripada seorang kardinal, reverend, rabbi, imam, pendeta, pelayan rohani, dan seorang penatua—mendengar, menghibur, dan menyokong satu sama lain. Daripada fokus pada perbezaan kami, kami melihat pada persamaan. Kami bercakap tentang kemungkinan dan kebarangkalian. Kami bersatu dan menjawab soalan mengenai iman dan masa depan. Kemudian kami berdoa. Oh, betapa khusyuknya kami berdoa.

Di sebuah bandar yang kaya dengan kepelbagaian kompleksiti dan budaya, perbezaan kami hilang semasa kami berkumpul sebagai teman dengan satu suara, satu tujuan, dan satu doa.

Kami bersatu meminta bantuan syurga, daripada fokus kepada perbezaan individu. Kami tinggalkan setiap mesyuarat dengan lebih bersatu dan bersedia untuk mengambil “cangkul” kami dan bekerja. Kerjasama yang terhasil dan pelayanan yang diberikan kepada ribuan penduduk New York mengajar saya bahawa dalam dunia yang menyeru perpecahan, jarak, dan pengasingan, sentiasa ada lebih banyak hal yang menyatukan kita daripada yang memisahkan kita. Juruselamat memohon, “Jadilah satu; dan jika kamu tidak bersatu kamu bukanlah milik-Ku.”

Saudara dan saudari, kita mesti berhenti mencari alasan untuk berpecah dan mencari peluang untuk “menjadi satu.” Dia telah memberkati kita dengan kurnia dan sifat unik untuk kita belajar daripada satu sama lain dan menggalakkan pertumbuhan peribadi. Saya sering beritahu pelajar universiti saya jika saya buat apa yang anda buat dan anda buat apa yang saya buat, kita tidak saling memerlukan. Tetapi kerana anda tidak buat apa yang saya buat dan saya tidak buat apa yang anda buat, kita saling memerlukan. Dan keperluan itu menyatukan kita. Untuk berpecah dan menakluki adalah rancangan musuh untuk menghancurkan persahabatan, keluarga, dan iman. Juruselamatlah yang menyatukan.

Kita Milik Dia

Salah satu janji berkat daripada “menjadi satu” adalah rasa tergolong yang kuat. Elder Quentin L. Cook mengajarkan bahawa “Intipati tergolong yang sebenar adalah bersatu dengan Kristus.”

Pada lawatan terbaru bersama keluarga saya ke negara Afrika Barat, Ghana, saya terpesona dengan adat tempatan. Setibanya di gereja atau rumah, kami disambut dengan kata-kata “anda dialu-alukan.” Apabila makanan dihidangkan, tuan rumah akan berkata, “Anda dijemput.” Ucapan sederhana ini disampaikan dengan tujuan dan penuh niat. Anda dialu-alukan. Anda dijemput.

Kita meletakkan pengisytiharan kudus yang serupa di pintu rumah pertemuan kita. Tetapi tanda Pelawat Dialu-alukan tidak mencukupi. Adakah kita menyambut mesra semua yang melalui pintu itu? Saudara dan saudari, tidak cukup apabila hanya duduk di bangku sahaja. Kita mesti mengikut panggilan Juruselamat untuk membina hubungan yang lebih tinggi dan lebih kudus dengan semua anak Tuhan. Kita mesti menjalankan iman kita! Ayah saya sering mengingatkan saya hanya duduk di bangku pada hari Ahad tidak menjadikan anda seorang Kristian yang baik sama seperti tidur di dalam garaj tidak menjadikan anda sebuah kereta.

Kita mesti menjalankan hidup kita supaya dunia tidak melihat kita tetapi melihat Dia melalui kita. Ini tidak berlaku hanya pada hari Ahad. Ia berlaku di pasar raya, stesen minyak, pertemuan sekolah, perhimpunan kejiranan,—semua tempat di mana ahli keluarga kita yang telah baptis dan belum baptis bekerja dan hidup.

Saya menyembah pada Hari Ahad sebagai peringatan bahawa kita saling memerlukan dan kita memerlukan Dia. Kurnia dan bakat unik kita yang membezakan kita dalam dunia sekular menyatukan kita dalam ruang yang kudus. Juruselamat telah memanggil kita untuk saling membantu, mengangkat satu sama lain, dan saling meneguh. Inilah yang Dia lakukan ketika Dia menyembuhkan wanita yang mengalami pendarahan, menyembuhkan pesakit kusta yang memohon belas kasihan-Nya, menasihati pemuda kaya yang bertanya apa lagi yang dia boleh lakukan, mengasihi Nikodemus yang tahu tetapi goyah dalam imannya, dan duduk dengan wanita di tepi perigi yang tidak sesuai dengan adat zaman itu tetapi kepada siapa Dia menyatakan misi mesia-Nya. Ini bagi saya adalah gereja—tempat berkumpul dan pemulihan, pembaikan dan berfokus semula. Seperti Presiden Russell M. Nelson ajarkan: “Jala injil adalah jala terbesar di dunia. Tuhan menjemput semua untuk datang kepada-Nya. … Terdapat ruang untuk semua orang.”

Sesetengah mungkin ada pengalaman yang membuat anda rasa anda tidak tergolong. Pesanan Juruselamat kepada anda dan saya adalah sama: “Marilah kepada-Ku, hai kamu semua yang lelah kerana memikul beban yang berat; Aku akan membebaskan kamu daripada beban kamu.” Injil Yesus Kristus adalah tempat yang sempurna untuk kita. Datang ke gereja menawarkan harapan untuk hari-hari yang lebih baik, janji bahawa anda tidak sendirian, dan sebuah keluarga yang memerlukan kita sama seperti kita memerlukan mereka. Elder D. Todd Christofferson menegaskan bahawa “menjadi satu dengan Bapa, Putera, dan Roh Kudus adalah yang terbaik dalam kekitaan.” Kepada sesiapa yang telah menjauh dan sedang mencari peluang untuk kembali, saya menawarkan satu kebenaran abadi dan jemputan: Anda tergolong. Kembalilah. Sudah tiba masanya.

Di dunia yang penuh perselisihan dan perpecahan, saya bersaksi bahawa Juruselamat Yesus Kristus adalah penyatu yang agung. Izinkan saya menjemput setiap kita untuk menjadi layak atas jemputan Juruselamat untuk “menjadi satu” dan mengistiharkan seperti Dia, “Kamu adalah teman-teman ku .” Dalam nama kudus Yesus Kristus, amin.