Hari-Hari yang Tidak Akan Pernah Dilupakan
Detik-detik yang akan datang akan memberi ahli Gereja di mana-mana sahaja peluang yang lebih besar untuk berkongsi berita gembira injil Yesus Kristus.
Pengenalan
Saudara dan saudari yang dikasihi, sejarah Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir dalam zaman keagamaan ini penuh dengan pengalaman ilahi tentang bagaimana Tuhan telah membimbing Gereja-Nya. Namun, terdapat satu dekad dalam sejarah kita, yang lebih menakjubkan daripada yang lain—dekad dari 1820 hingga 1830. Bermula dengan pengalaman Nabi Joseph Smith di Sacred Grove pada musim bunga tahun 1820, ketika dia melihat Tuhan Bapa dan Putera-Nya, Yesus Kristus, dan berterusan sehingga 06 April 1830, dekad itu berbeza dari yang lain.
Pertimbangkan peristiwa yang luar biasa ini! Nabi muda itu berbicara dengan malaikat Moroni, menterjemahkan kepingan emas, dan menerbitkan Kitab Mormon! Dialah alat yang melaluinya Imamat Harun dan Melkisedek dipulihkan, dan kemudian dia menubuhkan Gereja! Oliver Cowdery menggambarkan era itu: “Inilah hari-hari yang tidak akan pernah dilupakan.” Peristiwa mukjizat berterusan hingga ke hari ini.
Izinkan saya berani mencadangkan bahawa tahun ini kita telah memulakan dekad yang mungkin terbukti sama pentingnya dengan mana-mana yang telah mengikuti dekad penubuhan yang tiada tandingan hampir dua abad yang lalu.
Dekad Kita
Biarlah saya jelaskan. Antara sekarang 2024, dan 2034, kita akan alami peristiwa penting bagi peluang untuk melayani, untuk bersatu dengan ahli-ahli dan rakan-rakan, dan untuk memperkenalkan Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir kepada lebih ramai orang.
Kita telah saksikan detik bersejarah semasa kita meraikan hari jadi Presiden Russell M. Nelson yang ke-100 bersama berpuluh ribu orang yang lain.
Melaporkan tentang hari jadi Presiden Nelson, Newsweek menulis tajuk utama yang berbunyi, “Pemimpin Agama Tertua di Dunia Berumur 100 Tahun.” Mereka kemudiannya menyenaraikan 10 pemimpin agama tertua di dunia—dengan Presiden Nelson yang pertama dalam senarai yang termasuk Pope Francis dan Dalai Lama.
Pernyataan artikel New York Times ini mewakili sikap kebanyakan liputan antarabangsa: “Dalam kitaran pilihan raya presiden [Amerika Syarikat] yang telah mendorong renungan mendalam tentang penuaan dan kepimpinan, Pencapaian En. Nelson menunjukkan bahawa, sekurang-kurangnya di gerejanya, hari jadi tiga angka tidak memerlukan banyak kekecewaan. Dia kekal sebagai tokoh popular di kalangan ahli gereja, yang melihat presiden mereka bukan sahaja sebagai eksekutif tetapi sebagai ‘nabi, pelihat, dan pewahyu.’”
Kita bersyukur kerana hari jadi penting Presiden Nelson memberi kita peluang untuk memperkenalkan dunia kepada seorang nabi Tuhan, satu sambutan yang tidak akan pernah dilupakan.
Pada awal musim bunga ini, plaza yang telah diubah suai di Temple Square—mempamerkan bendera antarabangsa yang mewakili negara di mana Gereja diiktiraf—telah diumumkan. Pintu masuk plaza ditandai dengan monumen granit yang tertulis kata-kata nubuat ini: “Pada masa hadapan bukit tempat Rumah Tuhan akan menjadi bukit yang tertinggi antara segala bukit yang lain. Semua bangsa akan berduyun-duyun ke sana.”
Pastinya, peristiwa monumental yang akan berlaku selama 10 tahun akan datang merupakan satu pernyataan nubuat Yesaya ini sedang digenapi.
Renungkan peningkatan bilangan rumah terbuka dan pembaktian bait suci yang akan berlangsung dalam dekad yang akan datang, secara potensinya sebanyak 164 bait suci dan bakal bertambah. Bayangkan berpuluh-puluh juta daripada anda dan kawan-kawan anda berjalan melalui rumah Tuhan. Pusat simbolik peristiwa-peristiwa ini ialah pembaktian semula Bait Suci Salt Lake dan aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengannya. Ini pasti akan menjadi hari-hari yang tidak akan pernah dilupakan.
Tahun 2030 akan membawa peluang di seluruh dunia untuk memperingati dua abad penubuhan Gereja. Walaupun masih terlalu awal berkata bagaimana Gereja akan mengiktiraf peristiwa penting ini, [namun] sudah tentu kita boleh jemput keluarga, kawan-kawan, rakan sekerja, dan tetamu untuk “marilah lihat” dan untuk lebih memahami impaknya dalam hidup ahli Gereja.
Pada tahun 2034, beribu-ribu orang kenamaan, pelawat, dan atlet dari seluruh dunia akan memenuhi jalan-jalan di Salt Lake City, pentas untuk Sukan Olimpik Musim Sejuk. Tiada demonstrasi perpaduan dunia yang lebih hebat daripada yang terkandung dalam Sukan Olimpik. Mata dunia akan tertuju pada Gereja dan ahlinya, memberikan banyak peluang untuk menjadi sukarelawan, melayani, dan berkongsi berita baik melalui perbuatan baik—suatu peristiwa yang tidak akan pernah dilupakan.
Detik-detik yang akan datang ini akan berikan ahli Gereja peningkatan peluang untuk berkongsi berita baik tentang injil Yesus Kristus melalui kata-kata dan perbuatan, satu dekad yang tidak akan pernah dilupakan.
Berita Baik
Dalam pertemuan beberapa minggu sebelum hari jadinya, Presiden Nelson berkongsi sebab dia menghargai frasa “berita baik.” Katanya, frasa itu menyampaikan kebahagiaan dan kegembiraan. Tetapi “berita baik” menyampaikan lebih daripada itu. Dia menjelaskan bahawa frasa ini berasal daripada perkataan asal Yunani euangelion, yang bermaksud “khabar baik” atau “injil.” Kegembiraan dan kebahagiaan dalam hidup ini dan seterusnya sentiasa dikaitkan dengan injil Yesus Kristus. Oleh itu, frasa “berita baik” menangkap makna ini dengan indah.
“[Lelaki dan wanita] wujud, agar mereka boleh berbahagia.” Bapa Syurgawi telah sediakan rancangan kebahagiaan yang membolehkan kebahagiaan melalui berkat-berkat-Nya. Ini termasuk hidup dalam hadirat-Nya secara abadi sebagai keluarga. Korban Tebusan Yesus Kristus adalah pusat rancangan Tuhan untuk menebus kita. Untuk menerima kehidupan abadi, kita mesti datang kepada Kristus. Apabila kita berbuat demikian “dan membantu orang lain melakukan yang sama, kita terlibat dalam pekerjaan penyelamatan dan permuliaan Tuhan.”
Pesanan berita baik tentang injil Yesus Kristus ini adalah pesanan yang terpenting di bumi. Dan remaja dan belia Gereja mempunyai peranan penting.
Untuk Kekuatan Remaja
Dekad yang bakal dipenuhi dengan hari-hari yang tidak akan pernah dilupakan bagi setiap ahli Gereja, juga berlaku untuk anda generasi muda. Anda berada di bumi sekarang kerana anda telah dipilih untuk berada di sini. Anda ada kekuatan dan keupayaan untuk menjadi pengikut Kristus yang paling hebat.
Presiden George Q. Cannon mengajar, “Tuhan telah menyimpan roh-roh untuk zaman ini yang mempunyai keberanian dan keazaman untuk menghadapi dunia, dan semua kuasa si jahat [dan untuk] … membina Sion Tuhan kita tanpa takut akan akibatnya.”
Oleh itu, saya ingin bercakap kepada generasi muda, untuk jemput anda bayangkan betapa menariknya dekad yang akan datang ini, satu dekad yang tidak akan pernah dilupakan, untuk anda. Saya juga tawarkan kata nasihat dan galakan ringkas yang boleh memperkasakan anda dalam dekad yang akan datang ini.
Seperti kebanyakan anda, saya ada telefon pintar yang, sekali-sekala dan tanpa sebarang gesaan, tunjukkan reel foto apa yang saya lakukan pada hari tertentu. Ia sentiasa mengejutkan untuk melihat betapa banyak perubahan pada saya dan keluarga saya dalam beberapa tahun sahaja.
Bayangkan saja foto yang akan telefon anda paparkan 10 tahun dari sekarang! Anda mungkin melihat diri anda menamatkan pengajian dari sekolah menengah atau kolej, menerima anugerahan anda, pergi misi, berkahwin, dan mempunyai anak pertama anda. Bagi anda secara peribadi, ini akan menjadi satu dekad yang tidak akan pernah dilupakan. Tetapi ia akan menjadi dua kali ganda jika anda secara aktif berusaha untuk menjadi cahaya dunia tentang bagaimana berita baik injil Yesus Kristus boleh memperkaya dan meningkatkan hidup anda, keluarga, kawan-kawan, dan pengikut media sosial anda.
Anda mungkin tertanya-tanya bagaimana untuk melakukan ini.
Nabi Tuhan telah mengajar kita dengan empat aktiviti mudah, [atau] tanggungjawab yang dilantik secara ilahi: pertama, menjalankan injil Yesus Kristus; kedua, menjaga orang yang memerlukan; ketiga, menjemput semua untuk menerima injil; dan keempat, menyatukan keluarga untuk keabadian. Setiap satu ini boleh dilakukan dengan cara yang normal dan semula jadi.
Tanggungjawab yang Dilantik secara Ilahi
Saya berjanji ini akan menjadi satu dekad yang tidak akan pernah dilupakan untuk anda jika anda menerima empat tanggungjawab yang dilantik secara ilahi ini. Mari pertimbangkan apa maksud ini.
Pertama, menjalankan injil Yesus Kristus. Kaji kata-kata para nabi, dan belajar untuk mengasihi Bapa Syurgawi anda. Dekatkan hatimu kepada-Nya, dan berusahalah untuk berjalan di jalan-Nya. Bangkitlah dengan “keyakinan perjanjian” seperti Elder Ulisses Soares terangkan. Keyakinan ini datang daripada membuat perjanjian untuk mengikuti Yesus Kristus, mengetahui bahawa Juruselamat akan menguatkan dan menyokong anda.
Biarkan kawan-kawan anda melihat kebahagiaan anda dalam menjalankan injil, dan anda akan menjadi mesej injil terbaik yang pernah mereka terima.
Kedua, menjangkau dengan belas kasihan untuk menjaga mereka yang memerlukan. Generasi anda sangat prihatin terhadap golongan yang kurang bernasib baik. Setiap kali bencana melanda dan ahli Gereja bergegas membantu dan menghiburkan mereka yang menderita, majoriti yang memakai kemeja-T “Helping Hands” adalah remaja dan belia dua puluhan. Adalah sifat anda “untuk menanggung beban satu sama lain” dan “menghibur mereka yang memerlukan penghiburan.” Dengan melakukan ini kita “mentaati perintah Kristus.”
Evan, seorang budak lelaki Sekolah Primer, menghabiskan cuti sekolah musim panasnya dengan mengumpulkan bekalan untuk sandwic mentega kacang dan jeli untuk didermakan kepada bank makanan tempatannya. Dia menemui projek itu di laman web JustServe. Evan yang muda mendaftarkan seluruh kelas sekolahnya untuk membantu mengumpul lebih 700 balang jeli! Biarkan orang yang anda melayani itu tahu bahawa keprihatinan anda terhadap mereka berakar pada kasih anda kepada Tuhan dan hasrat anda untuk memperlakukan mereka seperti diri sendiri.
Ketiga, jemput semua untuk menerima injil. Tahun ini kami membuka 36 misi baharu di seluruh dunia untuk menampung semua yang ingin melayani misi sepenuh masa. Dalam era apabila ramai remaja menarik diri daripada aktiviti keagamaan formal sama sekali, ini adalah luar biasa dan menggambarkan sifat keagungan kesaksian anda. Sama ada melayani sepenuh masa atau tidak, sedarilah keupayaan besar anda untuk mempengaruhi rakan sebaya anda semasa anda kasih, kongsi dan jemput mereka untuk meneroka injil Yesus Kristus.
Keempat, menyatukan keluarga untuk keabadian. Semasa saya melawat bait suci di seluruh dunia, saya kagum dengan kumpulan remaja yang menunggu di tempat pembaptisan yang sesak dan dengan peningkatan bilangan belia yang melayani sebagai pekerja tatacara. Baru-baru ini satu kumpulan yang terdiri daripada lebih 600 remaja dari Scotland dan Ireland pergi ke Bait Suci Preston England, melaksanakan lebih 4,000 tatacara, kebanyakannya adalah untuk nenek moyang mereka yang telah meninggal dunia! Saya menggesa anda untuk terlibat dalam sejarah keluarga, menghabiskan masa di bait suci, dan dengan teliti mempersiapkan diri untuk menjadi lelaki atau wanita yang layak dan berkahwin dengan pasangan yang sama layak di bait suci. Kembangkan pola dalam hidup anda sekarang untuk menjadikan bait suci sebahagian daripada kehidupan anda.
Kesimpulan
Saudara dan saudari, dan rakan muda yang dikasihi, pada hari-hari mendatang kita mungkin hadapi kesukaran. Namun, semasa kita memasuki dekad yang tidak pernah berlaku sebelum ini, semoga kita berkongsi berita baik melalui aktiviti yang sederhana seperti menjalani, mengambil berat, menjemput, dan bersatu. Semasa kita berbuat demikian, Tuhan akan memberkati kita dengan pengalaman yang tidak akan pernah dilupakan.
Saya bersaksi bahawa mereka yang mendekati Tuhan dengan hati yang tulus dan niat yang bersungguh-sungguh, mereka yang sedia berkongsi tentang Juruselamat dan memiliki Roh Kudus dalam jiwa mereka, mereka yang memulakan perjalanan yang agung dan mulia ini, anda akan temui dan mengalami berkat selestial yang melimpah dan menerima kesaksian bahawa Tuhan mendengar anda, mengenali anda, dan mengasihi anda. Anda akan mengalami hari-hari yang tidak akan pernah dilupakan. Dalam nama Yesus Kristus, amin.