Persidangan Umum
Tuhan Yesus Kristus Akan Datang Lagi
Persidangan umum Oktober 2024


14:49

Tuhan Yesus Kristus Akan Datang Lagi

Sekarang adalah masa untuk anda, dan saya, untuk bersedia untuk Kedatangan Kedua Tuhan dan Juruselamat kita, Yesus Kristus.

Saudara dan saudari yang dikasihi, saya bersyukur kerana Tuhan telah memberkati saya untuk berucap dengan anda.

Dalam persidangan ini, Tuhan telah berfirman kepada kita melalui para hamba-Nya. Saya menggesa anda untuk mengkaji pesanan-pesanan mereka. Gunakannya sebagai ujian litmus tentang apa yang benar, dan apa yang tidak, dalam tempoh enam bulan akan datang.

Pemeliharaan dan pengubahsuaian Bait Suci Salt Lake, dan kawasan lain di Temple Square, telah dijalankan selama hampir lima tahun. Unjuran semasa menunjukkan bahawa kerja ini akan siap menjelang akhir tahun 2026. Kami berterima kasih kepada semua yang mengusahakan projek besar ini.

Sepanjang enam bulan yang lalu, kami telah membaktikan atau membaktikan semula sembilan bait suci di lima negara. Antara sekarang hingga akhir tahun, kami akan membaktikan lima lagi.

Hari ini, dengan sukacita, kami mengumumkan rancangan untuk membina 17 bait suci baharu. Sila dengar dengan penuh hormat semasa saya mengumumkan lokasi.

  • Juchitán de Zaragoza, Mexico

  • Santa Ana, El Salvador

  • Medellín, Colombia

  • Santiago, Dominican Republic

  • Puerto Montt, Chile

  • Dublin, Ireland

  • Milan, Italy

  • Abuja, Nigeria

  • Kampala, Uganda

  • Maputo, Mozambique

  • Coeur d’Alene, Idaho

  • Queen Creek, Arizona

  • El Paso, Texas

  • Huntsville, Alabama

  • Milwaukee, Wisconsin

  • Summit, New Jersey

  • Price, Utah

Saudara saudari yang dikasihi, adakah anda melihat apa yang sedang berlaku di hadapan mata kita? Saya berdoa agar kita tidak terlepas keagungan saat ini! Tuhan sememangnya mempercepatkan pekerjaan-Nya.

Mengapakah kita membina bait suci pada kadar yang tidak pernah berlaku sebelum ini? Mengapa? Kerana Tuhan telah mengarahkan kita untuk berbuat demikian. Berkat bait suci membantu mengumpulkan Israel di kedua-dua belah tirai. Berkat-berkat ini juga membantu menyediakan umat yang akan membantu menyediakan dunia untuk Kedatangan Kedua Tuhan!

Kedatangan Kedua Juruselamat

Seperti nabi Yesaya nubuatkan, dan seperti diperingatkan dalam Messiah Handel, apabila Yesus Kristus kembali, “keagungan Tuhan akan dinyatakan, dan segenap umat manusia akan menyaksikannya.”

Pada hari itu “kerajaan akan di atas bahunya: dan nama-Nya akan disebut, Mengagumkan, Penasihat, Tuhan Yang Perkasa, Bapa Yang Kekal, Putera Damai.”

Yesus Kristus akan memerintah dari kedua-dua Yerusalem lama dan Yerusalem Baru “dibangunkan di atas benua Amerika.” Dari kedua-dua pusat ini, Dia akan mengarahkan hal ehwal Gereja-Nya.

Pada hari itu, Tuhan akan dikenali sebagai “Raja Yang Terutama, dan Tuhan Yang Agung.” Mereka yang bersama-Nya akan “dipanggil, dan dipilih, dan setia.”

Saudara dan saudari, sekarang adalah masa untuk anda, dan saya, untuk bersedia untuk Kedatangan Kedua Tuhan dan Juruselamat kita, Yesus Kristus. Sekarang adalah masa untuk kita menjadikan penganutan kita sebagai keutamaan tertinggi kita. Dalam dunia yang penuh dengan gangguan yang mengelirukan, bagaimana kita boleh melakukan ini?

Bait Suci Rome Italy.

Penyembahan yang kerap di bait suci akan membantu kita. Di rumah Tuhan, kita fokus pada Yesus Kristus. Kita belajar tentang Dia. Kita membuat perjanjian untuk mengikuti Dia. Kita mula mengenali Dia. Apabila kita mentaati perjanjian bait suci kita, kita memperoleh akses yang lebih besar ke atas kuasa pengukuhan Tuhan. Dalam bait suci, kita menerima perlindungan daripada seksaan dunia. Kita mengalami kasih suci Yesus Kristus dan Bapa Syurgawi kita dengan berlimpah-limpah! Kita merasakan kedamaian dan jaminan rohani, berbeza dengan pergolakan dunia.

Inilah janji saya kepada anda: Setiap pencari Yesus Kristus yang ikhlas akan menemui-Nya di dalam bait suci. Anda akan rasa belas kasihan-Nya. Anda akan mendapat jawapan kepada soalan yang mengganggu anda. Anda akan lebih memahami kebahagiaan injil-Nya.

Saya telah belajar bahawa soalan paling penting yang perlu kita jawab ialah: Kepada siapa atau kepada apa saya akan memberikan nyawa saya?

Presiden Nelson sebagai seorang doktor bedah

Keputusan untuk mengikuti Yesus Kristus adalah keputusan terpenting yang pernah saya buat. Semasa sekolah perubatan, saya mendapat kesaksian tentang keilahian Tuhan Bapa dan Putera-Nya, Yesus Kristus. Sejak itu, Juruselamat kita telah menjadi batu yang di atasnya saya membina hidup saya. Pilihan itu telah membuat semua perbezaan! Keputusan itu telah menjadikan banyak keputusan lain lebih mudah. Keputusan itu telah memberi saya tujuan dan hala tuju. Ia juga telah membantu saya mengharungi ribut kehidupan. Saya ingin berkongsi dua contoh:

Pertama, apabila isteri saya Dantzel meninggal dunia secara tiba-tiba, saya tidak dapat menghubungi mana-mana anak kami. Di sana saya, bersendirian, hancur, dan menangis meminta bantuan. Syukurnya, melalui Roh-Nya, Tuhan mengajar saya mengapa Dantzel yang saya kasihi telah dibawa pulang. Dengan pemahaman itu, saya terhibur. Lama kelamaan, saya lebih mampu mengatasi kesedihan saya. Kemudian, saya berkahwin dengan isteri terkasih saya Wendy. Dia adalah bahagian utama dalam contoh kedua saya.

Semasa Wendy dan saya bertugas di negara yang jauh, perompak bersenjata mengacu pistol ke kepala saya dan menarik picu. Tetapi pistol itu tidak menembak. Sepanjang pengalaman itu, nyawa kami berdua terancam. Namun Wendy dan saya merasakan kedamaian yang tidak dapat dinafikan. Ia adalah kedamaian yang “tidak mungkin difahami oleh manusia.”

Saudara dan saudari, Tuhan juga akan menghiburkan anda! Dia akan menguatkan anda. Dia akan memberkati anda dengan kedamaian, bahkan di tengah huru-hara.

Tuhan Yesus Kristus

Sila dengarkan janji Yesus Kristus kepada anda: “Aku akan berada di kanan dan kirimu, dan Roh-Ku akan berada dalam hatimu, dan para malaikat-Ku di sekelilingmu, untuk menyokongmu.”

Keupayaan Juruselamat untuk membantu anda adalah tanpa had. Penderitaan-Nya yang tidak dapat difahami di Getsemani dan di Kalvari adalah untuk anda! Korban Tebusan-Nya yang tidak terhingga adalah untuk anda!

Saya menggesa anda untuk membaktikan masa setiap minggu—sepanjang hayat anda—untuk meningkatkan pemahaman anda tentang Korban Tebusan Yesus Kristus. Hati saya sakit untuk mereka yang terperangkap dalam dosa dan tidak tahu bagaimana untuk keluar. Saya menangis untuk mereka yang bergelut secara rohani atau yang memikul beban berat sendirian kerana mereka tidak memahami apa yang Yesus Kristus lakukan untuk mereka.

Yesus Kristus menanggung ke atas diri-Nya dosa-dosa anda, kesakitan anda, sakit hati anda, dan kelemahan anda. Anda tidak perlu menanggungnya sendirian! Dia akan mengampuni anda semasa anda bertaubat. Dia akan memberkati anda dengan apa yang anda perlukan. Dia akan menyembuhkan jiwa anda yang terluka. Apabila anda memakai kuk-Nya, beban anda akan terasa lebih ringan. Jika anda akan membuat dan mentaati perjanjian untuk mengikuti Yesus Kristus, anda akan mendapati bahawa saat-saat menyakitkan dalam hidup anda adalah sementara. Kesengsaraan anda akan “tertelan dalam kebahagiaan Kristus.”

Tidak terlalu awal atau terlambat untuk anda menjadi pengikut Yesus Kristus yang taat. Kemudian anda akan mengalami sepenuhnya berkat Korban Tebusan-Nya. Anda juga akan menjadi lebih berkesan dalam membantu mengumpulkan Israel.

Kedatangan Kedua Yesus Kristus.

Saudara dan saudari yang dikasihi, pada hari yang akan datang, Yesus Kristus akan kembali ke bumi sebagai Mesias milenium. Jadi hari in, saya menyeru anda untuk membaktikan semula hidup anda kepada Yesus Kristus. Saya menyeru anda untuk membantu mengumpulkan Israel yang tercerai-berai dan untuk menyediakan dunia untuk Kedatangan Kedua Tuhan. Saya menyeru anda untuk bercakap tentang Kristus, bersaksi tentang Kristus, beriman kepada Kristus, dan bersukacita dalam Kristus!

Datanglah kepada Kristus dan “persembahkanlah seluruh jiwamu” kepada-Nya. Inilah rahsia kehidupan yang penuh kebahagiaan!

Saudara dan saudari, yang terbaik bakal datang, kerana Juruselamat akan datang lagi! Yang terbaik bakal datang kerana Tuhan sedang mempercepatkan pekerjaaan-Nya. Yang terbaik bakal datang semasa kita memalingkan hati dan hidup kita sepenuhnya kepada Yesus Kristus.

Saya berikan kesaksian khusyuk bahawa Yesus Kristus adalah Putera Tuhan. Saya adalah pengikut-Nya. Saya berbesar hati untuk menjadi hamba-Nya. Pada Kedatangan-Nya yang Kedua, “keagungan Tuhan akan dinyatakan, dan segenap umat manusia akan menyaksikannya.” Hari itu akan dipenuhi dengan kebahagiaan bagi orang soleh!

Melalui kuasa kunci-kunci imamat kudus yang saya pegang, saya mengisytiharkan kebenaran ini kepada anda dan kepada seluruh dunia! Dalam nama Yesus Kristus, amin.