Sembuhlah
Pertaubatan harian membolehkan kita membezakan bimbingan Tuhan melalui Roh Kudus.
Semasa saya berusia kira-kira lima tahun, saya bermain bola sepak bersama dengan rakan-rakan di belakang gereja di kampung saya di Côte d’Ivoire. Saya ingat dengan jelas seruan pengkhutbah kepada para jemaahnya untuk membersihkan pakaian mereka sebagai persediaan kedatangan Juruselamat. Kerana masih muda, saya menganggap panggilan ini secara literal. Saya segera berlari pulang dengan kaki kecil saya dan merayu ibu untuk mencuci pakaian saya supaya saya bersih dan sedia untuk kedatangan Juruselamat pada keesokan harinya. Walaupun ibu saya ragu-ragu tentang kedatangan Juruselamat esok, dia tetap mencuci pakaian terbaik saya.
Keesokan paginya, saya memakai pakaian yang masih lembap dan dengan penuh semangat menunggu pengumuman kedatangan Juruselamat. Apabila hari semakin berlalu dan tiada apa yang berlaku, saya memutuskan untuk pergi ke rumah pertemuan. Saya sangat kecewa bahawa gereja kosong dan Juruselamat belum tiba. Anda boleh bayangkan perasaan saya semasa saya dengan perlahan-lahan balik ke rumah.
Bertahun-tahun kemudian, semasa saya menerima pelajaran misionari untuk persediaan menyertai Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir, saya terbaca: “Dan tidak ada apa pun yang tidak bersih dapat masuk ke dalam kerajaan-Nya; oleh itu tidak ada apa pun yang masuk ke dalam peristirahatan-Nya kecuali mereka yang telah mencuci pakaian mereka dalam darah-Ku, kerana iman mereka, dan pertaubatan di atas segala dosa mereka, dan kesetiaan mereka sehingga akhir.”
Penjelasan yang saya terima pada waktu itu membantu saya memahami kebenaran penting yang dulunya saya tidak fahami. Pesanan pengkhutbah itu berpusat pada kepentingan kesucian rohani. Dia menggesa para jemaah untuk mencari pertaubatan, mengubah hidup mereka, dan berpaling kepada Juruselamat untuk penebusan.
Bapa Syurgawi kita memahami perjalanan fana dan kebarangkalian dosa dalam hidup kita. Saya sangat bersyukur Dia telah menyediakan Juruselamat untuk menebus pelanggaran kita. Melalui penebusan Juruselamat, kita boleh bertaubat dan mencari pengampunan dan menjadi bersih. Pertaubatan, asas ajaran injil, adalah penting untuk perkembangan rohani dan daya tahan kita semasa kita mengharungi cabaran hidup.
Semasa persidangan umum April 2022, Presiden Russell M. Nelson menjemput setiap ahli Gereja untuk mengalami kebahagiaan pertaubatan harian. Dia berkata:
“Sila jangan takut atau menangguhkan pertaubatan. Setan bersukacita dalam kesengsaraan anda. Putuslah pengaruhnya. Halau pengaruhnya dari kehidupan anda! Mulakan hari ini dengan mengalami kebahagiaan dari menanggalkan manusia alamiah. Juruselamat sentiasa mengasihi kita tetapi terutamanya apabila kita bertaubat. …
“Jika anda rasa anda telah menjauhi atau meninggalkan jalan perjanjian terlalu lama dan tidak boleh kembali, itu tidak benar.”
Jika ada sesuatu yang anda belum bertaubat sepenuhnya, saya menggalakkan anda untuk mendengar seruan Presiden Nelson untuk tidak menangguhkan hari pertaubatan anda. Ia perlukan sedikit keberanian untuk terlibat dalam proses ini; namun, saya boleh jamin bahawa kebahagiaan yang datang dari pertaubatan yang tulus mengatasi pemahaman. Melalui pertaubatan, beban rasa bersalah kita diangkat dan digantikan dengan rasa kedamaian dan ketenangan. Apabila kita bertaubat dengan bersungguh-sungguh, kita dikuduskan melalui darah Juruselamat, meningkatkan kepekaan kita kepada dorongan dan pengaruh Roh Kudus.
Pasangan abadi saya dilahirkan dengan cacat pendengaran dan perlu memakai alat bantuan pendengaran. Habuk dan peluh boleh menjejaskan prestasi peranti ini, jadi setiap pagi saya memerhati dia rajin membersihkan tiub penyambung sebelum memakai alat bantuan. Rutin mudah tetapi konsisten ini menghilangkan sebarang kotoran, kelembapan atau penyejatan, dengan itu meningkatkan keupayaannya untuk mendengar dan berkomunikasi dengan berkesan. Apabila dia terlupa upacara harian ini, kebolehannya untuk mendengar terganggu sepanjang hari; kata-kata yang diucapkan beransur-ansur pudar dan akhirnya tidak dapat didengari. Sama seperti pembersihan alat pendengaran hariannya membolehkan dia mendengar dengan jelas, pertaubatan harian membolehkan kita membezakan bimbingan Tuhan melalui Roh Kudus.
Menjelang akhir pelayanan fana Tuhan dan sebelum berangkat ke Taman Getsemani, Dia mempersiapkan para pengikut-Nya untuk menghadapi ujian yang akan datang. Dia meyakinkan mereka, mengatakan, “Tetapi Roh Tuhan, [iaitu] Penolong yang akan diutus oleh Bapa demi nama-Ku, akan mengajar kamu segala-galanya dan akan mengingatkan kamu segala yang telah Aku katakan kepada kamu.”
Salah satu fungsi penting Roh Kudus adalah untuk memberi amaran, memimpin, dan membimbing setiap individu yang mendengar suara yang lembut itu. Sama seperti saluran komunikasi alat bantuan pendengaran yang tersumbat boleh menghalang fungsinya, hubungan rohani kita dengan Bapa Surgawi kita juga boleh terganggu, yang mendatangkan salah faham yang berbahaya atau kegagalan untuk mendengar nasihat-Nya. Kemunculan Internet telah menjadikan maklumat lebih mudah diakses daripada sebelumnya. Hal ini boleh menyebabkan kita mencari bimbingan dunia dan bukannya daripada Tuhan. Presiden Russell M. Nelson mengajarkan, “Di hari-hari yang mendatang, ia akan menjadi mustahil untuk bertahan secara rohani tanpa bimbingan, arahan, galakan, dan pengaruh yang tetap dari Roh Kudus.”
Saya bersyukur kita boleh menerima kurnia Roh Kudus semasa penetapan kita. Namun, Presiden Dallin H. Oaks memberi amaran bahawa “berkat tersedia daripada kurnia Roh Kudus adalah tertakluk kepada kelayakan. [dan] ‘Roh Tuhan tidak berdiam di dalam bait suci yang tidak kudus’ [Helaman 4:24].”
Apabila kita secara sedar memilih untuk mengikuti bimbingan nabi dan rasul, keupayaan kita untuk memiliki Roh Kudus sebagai teman yang tetap semakin meningkat. Roh Kudus memberikan kejelasan dalam membuat keputusan, mendorong pemikiran dan tanggapan yang selaras dengan kehendak Bapa Surgawi kita. Memiliki Roh Kudus sebagai teman yang tetap adalah penting untuk pertumbuhan rohani kita.
Saya baru-baru ini ditugaskan untuk memimpin persidangan pancang di Pancang Salt Lake Granger West di Utah. Semasa acara ini, saya bertemu dengan seorang presiden pancang yang tekun mengembangkan kemampuannya untuk membezakan bisikan Roh Kudus melalui kehidupan yang soleh dan pertaubatan harian. Sebahagian usaha pelayanan kami, kami mengatur kunjungan ke tiga buah keluarga. Semasa selesai lawatan terakhir, kami hanya mempunyai 30 minit sebelum pertemuan kami yang seterusnya. Semasa dalam perjalanan balik ke pusat pancang, Presiden Chesnut menerima ilham untuk kunjungi satu lagi keluarga. Kami berdua setuju mengikuti bisikan ini.
Kami mengunjungi keluarga Jones, di mana kami mendapati Saudari Jones terbaring di katil kerana sakit. Dia memerlukan berkat imamat. Dengan izinnya, kami memberikan berkat kepadanya. Semasa kami bersedia untuk bertolak, Saudari Jones bertanya bagaimana kami tahu dia ingin diberkati. Kebenarannya ialah, kami pun tidak tahu. Namun, Bapa Syurgawi tahu keperluannya, telah mengerakkan dan mengilhami Presiden Chesnut untuk kunjungi rumahnya. Apabila kita terbuka kepada bimbingan suara kecil yang lembut, kita lebih bersedia untuk melayani dengan berkesan kepada mereka yang memerlukan.
Saya bersaksi tentang Bapa Syurgawi yang baik dan pengasih. Yesus Kristus ialah Juruselamat dan Penebus umat manusia. Saya bersaksi Korban Tebusan Yesus Kristus itu nyata dan semasa kita belajar untuk mengikuti bimbingan Roh Kudus, Dia akan membimbing kita untuk bertaubat dan menggunakan kuasa Korban Tebusan Juruselamat dalam kehidupan kita. Presiden Russell M. Nelson ialah nabi Tuhan yang benar dan hidup, memiliki segala kunci imamat di bumi hari ini. Dalam nama Yesus Kristus, amin.