Kefanaan Berfungsi!
Meskipun kita semua hadapi cabaran, Bapa Syurgawi kita yang pengasih telah mencipta rancangan kebahagiaan supaya kita tidak ditakdirkan untuk gagal.
Selama beberapa tahun saya ditugaskan untuk melayani seorang saudari tua di bahagian saya. Kehidupannya sukar. Dia mempunyai beberapa masalah kesihatan dan mengalami kesakitan sepanjang hayat disebabkan oleh kemalangan di taman permainan semasa kecil. Dia bercerai pada umur 32 tahun dan membesarkan empat anak kecil, kemudian berkahwin lagi pada umur 50. Suami keduanya meninggal dunia semasa dia berumur 66, dan saudari ini hidup sebagai balu selama 26 tahun.
Walaupun mengalami banyak cabaran hidup, dia tetap setia kepada perjanjiannya sehingga akhir. Saudari ini gemarkan genealogi, kerap ke bait suci, dan suka mengumpul dan menulis sejarah keluarga. Walaupun dia mempunyai banyak cabaran, dan kadang kala berasa sedih dan sunyi, wajahnya tetap ceria dan personalitinya peramah dan menyenangkan.
Sembilan bulan selepas kematiannya, salah seorang anak lelakinya mempunyai pengalaman yang menakjubkan di bait suci. Dia belajar melalui kuasa Roh Kudus bahawa ibunya mempunyai pesanan untuknya. Ibunya berkomunikasi dengannya, tetapi bukan melalui penglihatan atau perkataan yang boleh didengar. Pesanan ibunya datang ke minda anaknya: “Saya mahu kamu tahu bahawa kefanaan berfungsi, dan saya mahu kamu tahu bahawa kini saya fahami mengapa semua terjadi [dalam hidup saya]—dan semuanya OK.”
Pesanan ini lebih menakjubkan kerana situasinya dan cabaran yang saudari ini telah lalui dan atasi.
Saudara dan saudari, kefanaan berfungsi! Ia dicipta untuk berfungsi! Walaupun cabaran, kepedihan, dan kesukaran yang kita semua hadapi, Bapa Syurgawi kita yang pengasih, bijaksana, dan sempurna telah mencipta rancangan kebahagiaan supaya kita tidak ditakdirkan untuk gagal. Rancangan-Nya menyediakan jalan untuk kita mengatasi cabaran fana kita. Tuhan telah berkata, “Inilah pekerjaan-Ku dan kemuliaan-Ku—untuk mendatangkan kebaqaan dan kehidupan [abadi] bagi manusia.”
Namun, jika kita ingin menjadi penerima “pekerjaan dan … kemuliaan” Tuhan, bahkan “kebaqaan dan kehidupan abadi,” kita mesti dididik dan diajar, dan mengharungi cabaran—kadang-kadang sampai ke batas kita sepenuhnya. Mengelak masalah, cabaran, dan kesukaran dunia ini bererti mengenepikan proses yang benar-benar diperlukan untuk kefanaan berfungsi.
Oleh itu kita tidak harus terkejut apabila masa sukar menimpa kita. Kita akan menghadapi situasi yang mencabar kita dan peluang untuk melatih kasih ihsan dan kesabaran. Tetapi kita mesti bertahan dan ingat kata Tuhan:
“Dan barang siapa menyerahkan nyawanya dalam tujuan-Ku, demi kepentingan nama-Ku, akan menemukannya kembali, bahkan kehidupan yang abadi.
“Oleh kerana itu, janganlah takut kepada musuhmu [atau masalah, cabaran, atau ujian kehidupan ini], kerana telah Aku tetapkan … , firman Tuhan, bahawa Aku akan mengujimu dalam segala hal, sama ada kamu akan mematuhi perjanjian-Ku, … agar kamu boleh didapati layak.”
Apabila kita berasa kecewa atau resah tentang masalah kita atau rasa kita mendapat terlalu banyak cabaran hidup, kita boleh ingat kata-kata Tuhan kepada anak-anak Israel:
“Ingatlah bagaimana Tuhan, Tuhan kamu memimpin kamu dalam perjalanan jauh di padang gurun selama empat puluh tahun yang lampau; Dia mendatangkan kesukaran untuk menguji kamu supaya Dia dapat mengetahui isi hati kamu, dan mengetahui sama ada kamu akan taat kepada perintah-Nya atau tidak.”
Seperti Lehi mengajar anaknya Yakub:
“Kamu telah menderita kesengsaraan dan banyak dukacita. … Walaupun demikian, … [Tuhan] akan membaktikan kesengsaraanmu demi keuntunganmu. … Oleh kerana itu, aku tahu kamu ditebuskan, kerana kesolehan Penebusmu.”
Kerana hidup ini adalah medan ujian dan “awan gelap membayang, mengancam [kita] yang damai,” mengingati nasihat dan janji yang terdapat dalam Mosia 23 berkaitan dengan cabaran hidup amat membantu: “Walaupun demikian—barang siapa menaruh kepercayaannya kepada [Tuhan] orang yang sama akan diangkat pada hari terakhir.”
Sebagai seorang remaja, saya mengalami kesakitan emosi dan rasa amat malu akibat daripada tindakan tidak soleh orang lain, yang selama bertahun-tahun menjejaskan nilai diri saya dan rasa layak saya di hadapan Tuhan. Namun, saya memberikan kesaksian peribadi bahawa Tuhan boleh menguatkan kita dan menyokong kita dalam apa jua kesukaran yang kita terpaksa alami dalam cabaran fana ini.
Kita tahu pengalaman Paulus:
“Tetapi supaya aku tidak terlalu sombong kerana penglihatan-penglihatan yang luar biasa [yang aku terima], aku diberikan sejenis penyakit yang sangat menyakitkan. Penyakit itu alat Iblis untuk memukul aku supaya aku tidak terlalu sombong.
“Tiga kali aku berdoa kepada Tuhan supaya menghilangkan penyakit itu.
“Tetapi Tuhan menjawab, “Aku mengasihi kamu dan hal itu sudah cukup bagimu, kerana kuasa-Ku nyata sekali pada masa kamu lemah. Oleh itu aku lebih suka membanggakan kelemahanku, supaya merasakan kuasa Kristus yang melindungi aku.”
Kita tidak tahu apa “penyakit yang sangat menyakitkan” Paulus. Dia memilih untuk tidak menggambarkan sama ada ia adalah penyakit fizikal, kelemahan mental atau emosi, atau godaan. Tetapi kita tidak perlu tahu butiran itu untuk tahu bahawa dia bergelut dan merayu kepada Tuhan untuk bantuan dan kekuatan dan, kuasa Tuhanlah yang membantu dia melaluinya.
Seperti Paulus, melalui bantuan Tuhan akhirnya saya dikuatkan secara emosi dan rohani dan mengenali selepas bertahun-tahun bahawa saya bernilai dan layak menerima berkat-berkat injil. Juruselamat membantu saya mengatasi perasaan tidak layak dan tulus mengampuni pesalah. Akhirnya saya memahami bahawa Korban Tebusan Juruselamat adalah kurnia peribadi untuk saya dan Bapa Syurgawi dan Putera-Nya mengasihi saya dengan sempurna. Kerana Korban Tebusan Juruselamat, kefanaan berfungsi.
Walaupun saya kemudiannya mengenali bagaimana Juruselamat menyelamatkan saya dan berdiri di sisi saya melalui pengalaman itu, saya memahami bahawa situasi malang pada usia remaja saya adalah perjalanan dan pengalaman peribadi saya, hasil itu tidak dapat diunjurkan kepada mereka yang telah menderita dan terus menderita akibat tingkah laku tidak soleh orang lain.
Saya mengenali bahawa pengalaman hidup—baik dan buruk—boleh mengajar kita pengajaran penting. Kini saya tahu dan bersaksi bahawa kefanaan berfungsi! Saya berharap melalui semua pengalaman hidup saya—baik dan buruk—saya mempunyai belas kasihan untuk mangsa tindakan orang lain dan empati terhadap mereka yang ditindas.
Saya dengan ikhlas berharap melalui semua pengalaman hidup saya—baik dan buruk—saya lebih baik hati kepada orang lain, memperlakukan orang lain seperti Juruselamat, ada pemahaman lebih besar untuk orang-orang berdosa dan memiliki integriti. Apabila kita bergantung pada rahmat Juruselamat dan mentaati perjanjian kita, kita boleh menjadi contoh kesan meluas daripada Korban Tebusan Juruselamat.
Saya berkongsi satu contoh akhir bahawa kefanaan berfungsi.
Kehidupan fana ibu saya amat sukar. Dia tidak menerima anugerah atau penghormatan duniawi dan tidak mempunyai peluang pendidikan selepas sekolah menengah. Dia dijangkiti polio semasa kecil, mengakibatkan kesakitan dan ketidakselesaan kaki kiri dia sepanjang hayat. Sebagai seorang dewasa, dia mengalami banyak cabaran dan kesukaran fizikal dan kewangan tetapi tetap setia pada perjanjiannya dan mengasihi Tuhan.
Semasa ibu saya berumur 55 tahun, kakak saya meninggal dunia, meninggalkan seorang bayi perempuan berusia lapan bulan, tanpa ibu. Atas pelbagai sebab, Ibu akhirnya membesarkan anak saudara saya selama 17 tahun, dalam keadaan yang sangat mencabar. Namun, ibu dengan gembira dan rela melayani keluarga, jiran, dan ahli bahagiannya serta melayani sebagai pekerja tatacara di bait suci selama bertahun-tahun. Dalam beberapa tahun terakhir dalam hidupnya, Ibu mengalami demensia, sering keliru, dan terkurung di rumah jagaan. Malangnya, dia bersendirian apabila dia meninggal dunia tanpa diduga.
Beberapa bulan selepas kematiannya, saya dapat mimpi yang tidak pernah saya lupakan. Dalam mimpi saya, saya sedang duduk di pejabat saya di Bangunan Pentadbiran Gereja. Ibu masuk ke pejabat. Saya tahu dia datang dari dunia roh. Saya akan sentiasa ingat perasaan itu. Dia tidak berkata apa-apa, tetapi dia memancarkan keindahan rohani yang tidak pernah saya alami sebelum ini dan yang sukar saya gambarkan.
Wajah dan sifatnya benar-benar menakjubkan! Saya masih ingat berkata kepadanya, “Ibu, kamu sangat cantik!” merujuk kuasa kerohanian dan kecantikannya. Dia mengakui saya—sekali lagi tanpa bercakap. Saya merasakan kasihnya untuk saya, dan tahu dia gembira dan telah disembuhkan dari cabaran duniawinya dan menunggu “kebangkitan yang mulia.” Saya tahu untuk Ibu, kefanaan berfungsi—dan ia berfungsi untuk kita juga.
Pekerjaan dan kemuliaan Tuhan adalah untuk mendatangkan kebaqaan dan kehidupan abadi bagi manusia. Pengalaman kefanaan adalah sebahagian daripada perjalanan yang membolehkan kita berkembang dan maju ke arah kebaqaan dan kehidupan abadi itu. Kita tidak dihantar ke bumi untuk gagal tetapi untuk berjaya dalam rancangan Tuhan untuk kita.
Seperti yang Raja Benyamin ajarkan: “Dan selain itu, aku berhasrat agar kamu hendaknya mempertimbangkan keadaan diberkati dan bahagia orang yang mentaati perintah-perintah Tuhan. Kerana lihatlah, mereka diberkati dalam segala hal, baik duniawi mahupun rohani; dan jika mereka bertahan setia sampai akhir mereka diterima ke dalam syurga, agar dengan demikian mereka boleh berdiam bersama Tuhan dalam suatu keadaan kebahagiaan yang tak akan berakhir.” Dalam kata lain, kefanaan berfungsi!
Saya bersaksi apabila kita menerima tatacara injil, membuat perjanjian dengan Tuhan dan mentaati perjanjian itu, bertaubat, melayani orang lain, dan bertahan sampai akhir, kita juga boleh mendapat jaminan dan kepercayaan penuh dalam Bapa bahawa kefanaan berfungsi! Saya bersaksi tentang Yesus Kristus dan masa depan gemilang bersama Bapa Syurgawi kita adalah mungkin melalui rahmat dan Korban Tebusan Juruselamat. Dalam nama Yesus Kristus, amin.