Persidangan Umum
Mempercayai Bapa Kita
Persidangan umum Oktober 2024


10:20

Mempercayai Bapa Kita

Tuhan mempercayai kita untuk membuat banyak keputusan penting, dan dalam semua hal, Dia meminta kita untuk mempercayai Dia.

Pada 1 Jun 1843, Addison Pratt meninggalkan Nauvoo, Illinois, untuk mengkhutbahkan injil di Kepulauan Hawaii, meninggalkan isterinya, Louisa Barnes Pratt, untuk menjaga keluarga muda mereka.

Di Nauvoo, semasa penganiayaan semakin meningkat, memaksa Orang Suci untuk berpindah, dan kemudian di Winter Quarters semasa mereka bersiap untuk berhijrah ke Lembah Salt Lake, Louisa menghadapi keputusan sama ada mahu melakukan perjalanan itu. Lebih mudah untuk tinggal dan menunggu kepulangan Addison daripada mengembara bersendirian.

Untuk dua keputusan itu, dia meminta bimbingan nabi, Brigham Young, yang menggalakkannya untuk pindah. Walaupun kesukaran dan keengganan peribadi, dia berjaya membuat kedua-dua perjalanan itu.

Pada mulanya, Louisa temui sedikit kebahagiaan dalam perjalanan. Namun, dia segera disambut rumput padang menghijau, bunga liar yang berwarna-warni, dan tanah di tepi sungai. “Kegelisahan di fikiran saya mula hilang,” dia mencatat, “dan tidak ada wanita yang lebih gembira di seluruh kumpulan ini.”

Kisah Louisa amat mengilhami saya. Saya kagum kerelaannya untuk mengetepikan pilihan peribadinya, keupayaannya untuk mempercayai Tuhan, dan bagaimana menjalankan imannya membantunya melihat keadaan secara berbeza.

Dia mengingatkan saya bahawa kita mempunyai Bapa Syurgawi yang menjaga kita di mana sahaja kita berada, dan kita boleh mempercayai Dia lebih daripada sesiapa pun.

Sumber Kebenaran

Tuhan mempercayai kita untuk membuat banyak keputusan penting, dan dalam semua hal Dia meminta kita untuk mempercayai Dia. Ini sangat sukar apabila penghakiman kita atau pendapat umum berbeza daripada kehendak-Nya untuk anak-anak-Nya.

Ada yang mencadangkan kita mengukur semula apa yang benar dan apa yang salah kerana mereka mengatakan bahawa kebenaran adalah relatif, realiti adalah ditentukan sendiri, atau Tuhan begitu murah hati sehingga Dia tidak peduli apa yang kita lakukan.

Semasa kita berusaha untuk memahami dan menerima kehendak Tuhan, adalah berguna untuk ingat bahawa sempadan antara benar dan salah bukan untuk kita tentukan. Tuhan Sendiri telah menetapkan sempadan ini, berdasarkan kebenaran abadi untuk manfaat dan berkat kita.

Hasrat untuk mengubah kebenaran abadi Tuhan telah lama berlaku. Ia bermula sebelum dunia bermula, apabila Setan memberontak terhadap rancangan Tuhan, dengan penting diri berusaha untuk memusnahkan hak pilihan manusia. Mengikut pola ini, orang seperti Sherem, Nehor, dan Korihor telah berhujah bahawa iman adalah kebodohan, wahyu tidak relevan, dan apa sahaja yang kita mahu lakukan adalah betul. Malangnya, sering kali penyimpangan daripada kebenaran Tuhan ini telah membawa kepada kesedihan yang besar.

Walaupun beberapa hal mungkin bergantung pada keadaan, tidak semuanya demikian. Presiden Russell M. Nelson secara konsisten mengajar bahawa kebenaran Tuhan yang menyelamatkan adalah mutlak, bebas, dan ditarifkan oleh Tuhan Sendiri.

Pilihan Kita

Siapa yang kita pilih untuk percaya adalah salah satu keputusan penting dalam hidup. Raja Benyamin mengarahkan rakyatnya, “Percayalah kepada Tuhan; percaya bahawa Dia ada … ; percayalah bahawa Dia memiliki segala kebijaksanaan … ; percayalah bahawa manusia tidak memahami segala hal yang dapat Tuhan fahami.”

Syukur, kita mempunyai kitab suci dan bimbingan daripada nabi-nabi yang hidup untuk membantu kita memahami kebenaran Tuhan. Jika penjelasan melebihi apa yang kita ada diperlukan, Tuhan menyediakannya melalui para nabi-Nya. Dan Dia akan menjawab doa tulus kita melalui Roh Kudus semasa kita berusaha untuk memahami kebenaran yang belum kita hargai sepenuhnya.

Elder Neil L. Andersen pernah mengajar bahawa kita jangan hairan “jika ada masanya pendapat peribadi [kita] pada mulanya tidak selaras dengan ajaran nabi Tuhan. Masa ini ialah masa untuk pembelajaran,” dia berkata “kerendahan hati, apabila kita melutut untuk berdoa. Kita maju ke depan dengan iman, percaya kepada Tuhan, mengetahui bahawa kita akan menerima kejelasan rohani dari Bapa Syurgawi kita.”

Pada setiap masa, ingatlah ajaran Alma bahawa Tuhan memberikan firman-Nya mengikut perhatian dan usaha kita. Jika kita mematuhi firman Tuhan, kita akan menerima lebih banyak; jika kita mengabaikan nasihat-Nya, kita akan menerima semakin sedikit sehingga kita tidak memilikinya. Kehilangan pengetahuan ini tidak bermakna bahawa kebenaran itu salah; sebaliknya, ia menunjukkan kita telah kehilangan keupayaan untuk memahaminya.

Pandanglah kepada Juruselamat

Di Kapernaum, Juruselamat mengajar tentang identiti dan misi-Nya. Banyak yang sukar menerima firman-Nya, menyebabkan mereka berpaling dan tidak “[berjalan] lagi bersama-Nya.”

Mengapa mereka pergi?

Kerana mereka tidak suka apa yang Dia katakan. Oleh itu, dengan mempercayai penghakiman mereka sendiri, mereka pergi, menafikan diri mereka berkat-berkat yang akan datang jika mereka kekal.

Keangkuhan mudah menjadi penghalang antara kita dan kebenaran abadi. Apabila kita tidak faham, kita boleh berhenti sebentar, tenangkan perasaan kita, dan kemudian memilih cara untuk respon. Juruselamat menyeru kita untuk “lihatlah kepada[-Nya] dalam setiap pemikiran; janganlah ragu, janganlah takut.” Apabila kita fokus pada Juruselamat, iman kita dapat mula mengatasi kebimbangan kita.

Seperti yang Presiden Dieter F. Uchtdorf galakkan untuk kita lakukan: “Sila, meragui keraguan anda terlebih dahulu sebelum anda meragui iman anda. Kita tidak boleh membiarkan keraguan menahan kita sebagai tahanan dan menjauhkan kita dari kasih, kedamaian, dan anugerah ilahi yang datang melalui iman kepada Tuhan Yesus Kristus.”

Berkat Datang kepada Mereka yang Kekal

Semasa pengikut lain meninggalkan Juruselamat pada hari itu, Dia kemudian bertanya kepada Dua Belas Rasul-Nya, “Adakah kamu pun akan meninggalkan Aku?”

Petrus menjawab:

“Ya Tuhan, kepada siapakah kami akan pergi? Kata-kata Tuhan memberikan hidup sejati dan kekal.

“Sekarang kami percaya dan yakin bahawa Tuhan utusan suci daripada Tuhan.”

Sekarang, para Rasul hidup di dunia yang sama, dan mereka menghadapi tekanan sosial yang sama seperti pengikut lain yang pergi itu. Namun, pada masa ini, mereka memilih iman mereka dan mempercayai Tuhan, dengan itu mengekalkan berkat yang Tuhan berikan kepada mereka yang kekal.

Mungkin anda, seperti saya, ada masanya mendapati diri anda berada di antara dua keputusan ini. Apabila kita rasa sukar untuk memahami atau mengikuti kehendak Tuhan, mengingati bahawa Dia mengasihi kita seadanya, dan di mana sahaja kita berada akan membantu. Dan Dia ada sesuatu yang lebih baik untuk kita. Jika kita menjangkau kepada-Nya, Dia akan membantu kita.

Walaupun menjangkau kepada-Nya boleh menjadi sukar, sama seperti bapa yang mencari penyembuhan untuk anaknya diberitahu oleh Juruselamat, “Orang yang percaya kepada Tuhan dapat melakukan segala sesuatu.” Pada saat pergelutan kita, kita juga boleh berseru, “Tolonglah saya supaya lebih percaya lagi.”

Menyerahkan Kehendak Kita kepada-Nya

Elder Neal A. Maxwell ajarkan: “menyerahkan kehendak seseorang adalah satu-satunya hal peribadi yang kita perlu letakkan di atas altar Tuhan.” Tidak hairanlah Raja Benyamin mahu rakyatnya menjadi “seperti seorang anak kecil, peserah, lemah hati, rendah hati, sabar, penuh dengan kasih, rela untuk berserah pada segalanya yang Tuhan anggap patut untuk ditimpakan ke atas dirinya, bahkan seperti anak kecil berserah kepada ayahnya.”

Seperti biasa, Juruselamat memberikan teladan yang sempurna untuk kita. Dengan hati yang berat, dan mengetahui kerja pedih yang perlu Dia lakukan, Dia berserah pada kehendak Bapa-Nya, memenuhi misi mesias-Nya dan membuka janji keabadian kepada anda dan saya.

Pilihan untuk menyerahkan kehendak kita kepada kehendak Tuhan adalah tindakan iman dalam pemuridan kita. Dengan membuat pilihan itu, kita mendapati hak pilihan kita tidak berkurang; sebaliknya, ia diperbesarkan dan diberi ganjaran kehadiran Roh Kudus, yang membawa tujuan, kegembiraan, kedamaian, dan harapan yang kita tidak temui di tempat lain.

Beberapa bulan yang lalu, seorang presiden pancang dan saya melawat seorang saudari dalam pancangnya dan anak lelaki dewasanya. Selepas bertahun jauh dari Gereja, melalui perjalanan yang sukar, dia telah kembali. Semasa kunjungan kami, kami bertanya mengapa dia kembali.

“Saya telah merosakkan hidup saya”, katanya, “dan saya tahu di mana saya perlu berada.”

Saya kemudian bertanya apa yang dia telah belajar dalam perjalanannya.

Dengan sedikit emosi, dia berkongsi bahawa dia tahu dia perlu menghadiri gereja setiap minggu untuk menghentikan tabiat tidak datang dan dia perlu berada di tempat yang sepatutnya. Kepulangannya tidak mudah, tetapi ketika dia beriman kepada rancangan Bapa, dia merasakan Roh kembali.

Dan kemudian dia menambah, “Saya telah belajar bahawa Tuhan itu baik dan cara-Nya lebih baik daripada saya.”

Saya bersaksi tentang Tuhan, Bapa yang Abadi, yang mengasihi kita; Putera-Nya, Yesus Kristus, yang menyelamatkan kita. Mereka tahu kesakitan dan cabaran kita. Mereka tidak akan pernah meninggalkan kita dan tahu dengan sempurna bagaimana untuk menyokong kita. Kita boleh menjadi ceria semasa kita mempercayai Mereka lebih daripada sesiapa pun. Dalam nama kudus Yesus Kristus, amin.