Wahai Remaja Kelahiran Mulia
Tuhan mempercayai anda, anak-anak perjanjian untuk membantu pekerjaan-Nya iaitu membawa semua anak-Nya kembali dengan selamat kepada-Nya.
Elder Stevenson, ini adalah persidangan yang tidak boleh dilupakan.
Keluarga kami sentiasa menikmati sebuah buku kecil bertajuk Children’s Letters to God (Surat Kanak-kanak kepada Tuhan). Ini adalah beberapa:
“Ya Tuhan, daripada membiarkan orang mati dan mencipta orang baharu, kenapa tidak kekalkan sahaja orang yang ada sekarang?”
“Mengapa Tuhan hanya ada sepuluh peraturan, tetapi sekolah ada berjuta-juta [peraturan]?”
“Mengapa Tuhan memberi tonsil jika ia akan dikeluarkan semula?”
Hari ini tidak ada masa untuk menjawab semua soalan ini, tetapi ada satu soalan orang muda yang saya sering dengar yang saya ingin bincangkan. Dari Ulaanbaatar, Mongolia, ke Thomas, Idaho, soalannya sama: “Mengapa? Mengapakah Orang Suci Zaman Akhir mesti hidup berbeza daripada orang lain?”
Saya tahu ia susah untuk menjadi berbeza—terutamanya semasa anda muda dan mahu orang lain menyukai anda. Semua orang mahu tergolong, dan hasrat itu diperbesarkan dalam dunia digital hari ini dengan media sosial dan buli siber.
Jadi, dengan semua tekanan ini, mengapa Orang Suci Zaman Akhir harus hidup berbeza? Terdapat banyak jawapan baik: Kerana anda anak Tuhan. Kerana anda dipelihara untuk zaman akhir. Kerana anak pengikut Yesus Kristus.
Tetapi jawapan-jawapan itu tidak membezakan anda. Setiap orang ialah anak Tuhan. Setiap orang di dunia sekarang dihantar ke zaman akhir ini. Dan bukannya semua orang mengikuti Kata-kata Bijaksana atau hukum kemurnian akhlak seperti anda. Terdapat ramai pengikut berani Kristus yang bukan ahli Gereja ini. Tetapi mereka tidak melayani misi atau melaksanakan tatacara di bait suci sebagai wakil untuk nenek moyang seperti anda. Semestinya terdapat banyak lagi jawapan—dan memang ada.
Hari ini saya ingin fokus pada satu sebab tambahan yang amat bermakna dalam hidup saya. Pada 1988 seorang Rasul muda bernama Russell M. Nelson memberi satu ucapan di Universiti Brigham Young bertajuk “Thanks for the Covenant (Terima kasih untuk Perjanjian).” Pada masa itu Elder Nelson menjelaskan apabila kita gunakan hak pilihan moral kita untuk membuat dan mentaati perjanjian dengan Tuhan, kita menjadi pewaris perjanjian abadi yang Tuhan buat dengan nenek moyang kita dalam setiap zaman keagamaan. Dalam kata lain, kita menjadi “anak-anak perjanjian.” Itu membezakan kita. Ia memberi kita akses sama kepada berkat yang nenek moyang kita terima termasuk hak anak sulung.
Hak Anak Sulung! Anda mungkin pernah mendengar perkataan itu. Kita juga menyanyi nyanyian rohani tentangnya: “O, remaja kelahiran mulia, majulah, majulah, majulah!” Ia perkataan yang menambat perhatian. Tetapi apakah maksudnya?
Pada zaman Perjanjian Lama jika seorang bapa meninggal dunia, anak lelaki kelahiran sulungnya bertanggungjawab untuk menjaga ibu dan saudara perempuannya. Adik beradik lelakinya menerima warisan mereka dan berpindah keluar, tetapi anak lelaki sulung itu tidak pergi ke mana-mana. Dia akan berkahwin dan mempunyai keluarganya sendiri, tetapi akan mengurus estet bapanya sepanjang hidupnya. Kerana tanggungjawab tambahan ini, dia diberikan lebih dalam warisan. Adakah memimpin dan menjaga orang lain itu terlalu berat untuk diminta? Tidak jika anda pertimbangkan warisan tambahan yang diberikan kepadanya.
Hari ini kita tidak bercakap tentang susunan kelahiran anda dalam keluarga duniawi atau peranan jantina Perjanjian Lama. Kita bercakap tentang warisan yang anda terima bersama Kristus kerana hubungan perjanjian yang anda buat dengan Kristus dan Bapa Syurgawi. Adakah terlalu berat untuk Tuhan mengharapkan anda untuk hidup dengan berbeza daripada anak-anak-Nya yang lain supaya anda boleh memimpin dan melayani mereka dengan lebih baik? Tidak apabila anda mempertimbangkan berkat-berkat itu—secara jasmani dan rohani—yang anda diberi.
Adakah hak anak sulung anda bermakna anda lebih baik daripada orang lain? Tidak, tetapi ia bermakna anda dijangkakan untuk membantu orang lain dengan lebih baik. Adakah hak anak sulung anda bermakna anda telah dipilih? Ya, tetapi bukan dipilih untuk memerintah orang lain; anda dipilih untuk melayani mereka. Adakah hak anak sulung anda bukti kasih Tuhan? Ya, lebih penting lagi, ia adalah bukti kepercayaan-Nya.
Untuk dikasihi adalah satu hal dan dipercayai sepenuhnya adalah hal lain. Dalam panduan Untuk Kekuatan Remaja, kita baca: “Bapa Syurgawi anda yakin terhadap anda. Dia telah memberi anda berkat yang besar, termasuk kegenapan injil dan tatacara kudus serta perjanjian yang mengikat anda kepada-Nya di samping membawa kuasa-Nya ke dalam hidup anda. Bersama berkat-berkat itu datanglah tanggungjawab yang lebih banyak. Dia tahu anda boleh membawa perbezaan di dunia dan itu memerlukan, dalam banyak situasi, sifat yang berbeza daripada dunia.”
Pengalaman fana kita boleh dibandingkan dengan sebuah kapal pesiar di mana Tuhan telah menghantar semua anak-Nya melakukan perjalanan dari satu pantai ke pantai yang lain. Pelayaran itu dipenuhi dengan peluang untuk belajar, berkembang, bergembira, dan maju, tetapi ia juga penuh dengan bahaya. Tuhan mengasihi semua anak-Nya dan prihatin terhadap kebajikan mereka. Dia tidak mahu kehilangan sesiapa pun, jadi Dia menjemput mereka yang rela untuk menjadi anak kapal-Nya—iaitu anda. Kerana pilihan anda untuk membuat dan mentaati perjanjian, Dia menawarkan kepercayaan-Nya. Dia percaya anda boleh menjadi berbeza, umat Tuhan, dan lain daripada orang lain kerana pekerjaan penting yang Dia berikan kepada anda.
Fikirkanlah! Tuhan mempercayai anda—daripada semua orang di bumi, anak-anak perjanjian, anak kapal-Nya—untuk membantu pekerjaan-Nya iaitu membawa semua anak-Nya kembali dengan selamat kepada-Nya. Presiden Brigham Young pernah berkata, “Semua malaikat di syurga sedang melihat segelintir manusia ini.”
Apabila anda melihat perjalanan kapal persiar yang juga bumi ini, anda mungkin melihat orang lain duduk di kerusi rehat dengan minuman, berjudi di kasino, memakai pakaian yang terdedah, menatal telefon bimbit tanpa henti dan banyak membuang masa bermain permainan elektronik. Daripada bertanya, “Mengapa saya tidak boleh lakukan itu?,” anda boleh ingat bahawa anda bukanlah penumpang biasa. Anda seorang anak kapal. Anda ada tanggungjawab yang penumpang tiada. Seperti Sister Ardeth Kapp katakan, “Anda tidak boleh menjadi anggota penyelamat jika anda kelihatan seperti perenang lain di pantai.”
Sebelum anda rasa patah hati dengan kewajipan tambahan, ingatlah anak kapal menerima sesuatu yang penumpang lain tidak terima: bayaran. Elder Neil L. Andersen berkata, “Terdapat ganjaran kuasa rohani untuk orang soleh,” termasuk “jaminan lebih besar, pengesahan lebih besar, dan keyakinan lebih besar.” Seperti Abraham, anda menerima kebahagiaan dan kedamaian yang lebih besar, kesolehan yang lebih besar dan pengetahuan yang lebih besar. Ganjaran anda bukan hanya tempat tinggal di syurga dan jalan-jalan diturap dengan emas. Bapa Syurgawi memberi anda segala yang Dia miliki. Hasrat-Nya adalah untuk membantu anda menjadi seperti-Nya. Oleh itu, komitmen anda memerlukan lebih daripada anda kerana itulah cara Tuhan membantu mencapai potensi anda.
Ia adalah “terlalu berat untuk diminta dari sesiapa, tetapi anda bukan sesiapa”! Anda adalah remaja kelahiran mulia. Hubungan perjanjian anda dengan Tuhan dan Yesus Kristus adalah hubungan kasih dan kepercayaan di mana anda mengakses rahmat Mereka dengan lebih besar—dan juga bantuan ilahi, anugerahan kekuatan, dan kuasa Mereka. Kuasa itu bukan sekadar angan-angan, azimat bertuah, atau nubuat yang memenuhi diri sendiri. Ia adalah nyata.
Apabila anda memenuhi tanggungjawab hak anak sulung anda, anda tidak akan keseorangan. Tuan ladang bekerja bersama anda. Anda bekerja bergandingan dengan Yesus Kristus. Dengan setiap perjanjian baharu—dan apabila hubungan anda dengan Tuhan mendalam—anda saling mengikatkan diri sehingga anda terikat erat. Dalam simbol kudus rahmat-Nya, anda akan temui hasrat dan kekuatan untuk hidup seperti Juruselamat—lain daripada dunia. Anda boleh melakukan ini kerana Yesus Kristus akan membantu anda!
Dalam 2 Nefi 2:6 kita membaca, “Oleh kerana itu, penebusan datang dalam dan melalui Mesias Kudus; kerana Dia penuh dengan rahmat dan kebenaran.” Kerana Dia penuh dengan kebenaran, Dia melihat anda dengan keseluruhan—kekurangan, kelemahan, penyesalan, dan semuanya. Kerana Dia penuh dengan rahmat, Dia melihat anda seperti yang anda boleh menjadi. Dia bertemu anda di mana anda berada dan membantu anda bertaubat dan bertambah baik, mengatasi dan menjadi.
“Wahai, remaja kelahiran mulia, majulah, majulah, majulah!” Saya bersaksi anda dikasihi—dan anda dipercayai—hari ini, dalam 20 tahun, dan selamanya. Jangan menjual hak anak sulung anda seperti Esau dalam Alkitab. Jangan melepaskan sesuatu yang berharga untuk sesuatu yang tidak bernilai. Jangan biarkan dunia mengubah anda apabila anda dilahirkan untuk mengubah dunia. Dalam nama Yesus Kristus, amin.