Bab 11
Lebih Banyak Orang Menyertai Gereja
April–Jun 1830
Selepas beberapa minggu, terdapat 27 orang ahli Gereja. Tidak semua mereka tinggal di kota yang sama. Joseph Smith meminta mereka untuk datang ke satu persidangan, pertemuan istimewa untuk semua Orang Suci. Para ahli Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir.
Para Orang Suci mengambil sakramen di persidangan. Beberapa lelaki ditahbiskan kepada imamat. Roh Kudus memberkati para Orang Suci, dan mereka sangat gembira.
Beberapa orang lain yang menghadiri persidangan bukan ahli Gereja. Mereka belajar tentang injil dan mahu menyertai Gereja, jadi mereka dibaptiskan. Selepas persidangan, Joseph Smith pergi ke kota yang lain. Beberapa orang di sana juga mahu dibaptiskan. Joseph berkata mereka boleh dibaptiskan di anak sungai yang berdekatan.
Orang-orang membina satu empangan kecil di anak sungai untuk membuat air cukup dalam bagi melakukan pembaptisan. Pada waktu malam, beberapa orang memusnahkan empangan itu.
Empangan dibina semula, dan Oliver Cowdery mula membaptiskan orang-orang. Tidak lama kemudian para perusuh datang. Perusuh adalah sekumpulan orang jahat. Mereka mengatakan hal-hal buruk dan cuba mencederakan para Orang Suci, tetapi Tuhan melindungi mereka.
Para perusuh terus berusaha membuat masalah untuk Gereja. Mereka menyebarkan kebohongan tentang Joseph Smith dan menyebabkannya ditahan. Dalam satu perbicaraan, mereka mendapatkan orang-orang untuk memberi kesaksian palsu terhadap Nabi. Tetapi banyak orang lain memberitahu kebenaran tentang Joseph, membuktikan kata-kata musuh tidak benar.
Joseph dibebaskan, tetapi hampir serta-merta dia ditahan lagi oleh orang-orang dari daerah berdekatan. Semasa dia di penjara, orang-orang meludah padanya dan tidak memberinya makanan. Satu lagi perbicaraan diadakan, dan Joseph sekali lagi didapati tidak bersalah dan dibebaskan.