Bab 39
Bait Suci Kirtland Dibaktikan
Januari–Mac 1836
Tuhan memerintahkan para Orang Suci untuk membina sebuah bait suci di Kirtland. Para Orang Suci miskin, tetapi mereka membuat pengorbanan dan bekerja keras untuk membina bait suci. Mereka mempunyai iman bahawa Tuhan akan membantu mereka melakukan apa yang Dia telah minta mereka lakukan.
Apabila bait suci hampir selesai, beberapa pemimpin Gereja mengadakan satu pertemuan di sana. Di pertemuan itu, bapa Joseph Smith memberkati para pemimpin Gereja. Bapa Joseph adalah bapa bangsa Gereja.
Kemudian Joseph Smith melihat sebuah penglihatan yang indah tentang kerajaan syurga selestial. Kerajaan selestial adalah tempat tinggal Bapa Syurgawi. Joseph melihat betapa indahnya kerajaan selestial. Dia melihat Bapa Syurgawi dan Yesus. Dia juga melihat abangnya Alvin, yang sudah meninggal dunia.
Joseph terkejut untuk melihat Alvin di kerajaan selestial kerana Alvin tidak dibaptiskan sebelum dia meninggal dunia. Yesus menjelaskan bahawa banyak orang tidak mengetahui tentang injil semasa mereka hidup di bumi.
Sebilangan orang ini, seperti Alvin, hidup pada masa kebenaran injil Yesus Kristus tidak berada di bumi. Sebilangan orang ini tinggal di kawasan-kawasan di mana para penginjil tidak dapat mengajar mereka.
Sebilangan orang ini akan mempercayai injil dan dibaptiskan jika mereka mengetahuinya ketika mereka hidup di bumi. Orang-orang ini akan pergi ke kerajaan selestial.
Dalam penglihatan ini, Joseph juga belajar tentang kanak-kanak yang meninggal dunia sebelum mereka berumur lapan tahun. Yesus berkata kanak-kanak ini akan pergi ke kerajaan selestial.
Akhirnya Bait Suci Kirtland diselesaikan dan sedia untuk dibaktikan. Ini bermaksud bait suci akan diberikan kepada Tuhan dan hanya digunakan untuk pekerjaan-Nya. Para Orang Suci mengadakan pertemuan istimewa untuk membaktikan bait suci.
Banyak Orang Suci datang ke pertemuan itu. Mereka sangat gembira kerana mempunyai bait suci. Mereka menyanyi dan berdoa kepada Bapa Syurgawi. Mereka berjanji untuk mengikuti Nabi Joseph Smith dan pemimpin Gereja yang lain.
Joseph Smith mengucapkan doa khas untuk membaktikan bait suci. Selepas doa itu, bait suci menjadi bangunan yang kudus. Ia adalah rumah Tuhan. Para malaikat berada di dalam Bait Suci Kirtland pada hari itu. Roh Kudus berada bersama para Orang Suci. Ia adalah hari yang indah!