Bab 3
Malaikat Moroni dan Kepingan-Kepingan Emas
1823–1827
Tiga tahun berlalu sejak penglihatan pertama Joseph. Ketika dia berumur 17 tahun, Joseph tertanya apa yang Tuhan mahu dia lakukan. Pada suatu malam Joseph berdoa tentang ini. Dia mempunyai iman bahawa Tuhan akan memberitahunya apa yang harus dilakukan.
Joseph melihat cahaya terang di biliknya. Seorang malaikat berdiri dalam cahaya itu. Muka malaikat itu sangat terang. Dia memakai jubah putih yang indah.
Malaikat itu berkata namanya adalah Moroni. Tuhan telah menghantarnya untuk berbicara dengan Joseph. Moroni berkata Tuhan memiliki suatu pekerjaan untuk Joseph lakukan.
Malaikat Moroni memberitahu Joseph tentang sebuah kitab. Kitab ini adalah tentang orang-orang yang hidup di benua Amerika lama dahulu. Yesus Kristus telah datang kepada orang-orang ini dan mengajar mereka injil-Nya.
Moroni berkata kitab ini ditulis pada halaman emas dipanggil kepingan-kepingan. Ia ditulis dalam bahasa yang tidak diketahui oleh kita hari ini. Tuhan mahu Joseph menterjemahkan kitab itu kepada Bahasa Inggeris.
Malaikat Moroni berkata kepingan-kepingan emas ditanamkan di sebuah bukit berdekatan rumah Joseph. Moroni berkata terdapat dua batu, dipanggil Urim dan Tumim, disembunyikan bersama kepingan-kepingan. Batu-batu ini akan membantu Joseph menterjemah kitab. Ketika Moroni sedang berbicara, Joseph melihat suatu penglihatan yang menunjukkan di mana kepingan-kepingan ditanamkan.
Moroni juga memberitahu Joseph tentang Elia, seorang nabi hebat yang hidup lama dahulu. Kisah Elia terdapat dalam Perjanjian Lama.
Moroni berkata bahawa Elia akan datang dan memulihkan kuasa imamat khusus ke bumi. Kuasa ini membolehkan keluarga dimeteraikan bersama di bait suci supaya mereka boleh hidup bersama selamanya.
Malaikat Moroni pergi, dan kemudian kembali lagi untuk dua kali pada malam itu. Setiap kali dia memberitahu banyak hal kepada Joseph, kemudian pergi ketika pagi tiba. Joseph bangun dan pergi kerja dengan bapanya di ladang.
Joseph terlalu letih untuk bekerja, jadi bapanya menyuruhnya pulang. Dalam perjalanan pulang ke rumah, dia jatuh ke tanah. Moroni muncul sekali lagi dan mengulangi apa yang dia telah katakan sepanjang malam itu. Selepas Moroni pergi, Joseph memberitahu bapanya hal-hal yang Moroni telah ajarnya. Bapa Joseph mempercayainya. Dia tahu bahawa Tuhan telah menghantar Moroni, dan dia menyuruh Joseph untuk mematuhinya.
Joseph pergi ke bukit di mana kepingan-kepingan emas ditanamkan. Dia menemui kepingan-kepingan itu di dalam sebuah kotak batu di bawah sebuah batu yang besar. Urim dan Tumin juga terdapat di dalam kotak itu.
Ketika Joseph berada di bukit, malaikat Moroni datang kepadanya. Moroni tidak membenarkan Joseph untuk mengambil kepingan-kepingan emas pada masa ini. Dia menyuruh Joseph untuk pergi ke bukit pada hari yang sama setiap tahun selama empat tahun.
Joseph mematuhi Moroni dan pergi ke Bukit Kumora setiap tahun. Di sana Moroni mengajar Joseph tentang kerajaan Tuhan di bumi.
Keluarga Joseph Smith miskin dan memerlukan wang. Joseph mahu membantu keluarganya, jadi dia pergi ke negeri Pennsylvania untuk bekerja. Dia tinggal dengan seorang lelaki bernama Tn. Hale.
Tn. Hale mempunyai seorang anak perempuan bernama Emma. Joseph dan Emma saling mengasihi, dan selepas suatu waktu mereka berkahwin. Kemudian mereka kembali untuk tinggal dengan keluarga Joseph di New York, di mana Joseph membantu bapa-Nya di ladang.
Beberapa bulan selepas Joseph dan Emma berkahwin, Joseph pergi ke Bukit Kumora lagi. Empat tahun berlalu sejak Joseph melihat kepingan-kepingan emas pada pertama kalinya, dan kali ini Moroni membenarkan Joseph untuk mengambilnya. Moroni menyuruh Joseph untuk menjaga kepingan-kepingan dengan baik.
Banyak orang mendengar bahawa Joseph telah memperoleh kepingan-kepingan emas itu. Mereka cuba mencuri kepingan-kepingan daripadanya, tetapi dia menyembunyikannya di tempat yang tidak dapat ditemui. Tuhan membantu Joseph menyimpan kepingan-kepingan emas dengan selamat.
Orang-orang di kawasan itu menyebabkan banyak masalah untuk Joseph. Mereka menyebarkan kebohongan tentang dia dan keluarganya.
Kerana masalah semakin teruk, Joseph dan Emma memutuskan untuk pulang ke Pennsylvania, di mana Joseph berharap dia boleh mula menterjemah dengan aman. Seorang lelaki bernama Martin Harris tinggal berdekatan Joseph. Dia baik hati terhadap Joseph dan Emma dan memberi mereka wang untuk membantu mereka pindah.