Bab 60 Para Orang Suci Meninggalkan Nauvoo September 1845–September 1846 Selepas kematian Joseph Smith, para perusuh fikir Gereja akan berakhir. Namun ia tetap kuat di bawah kepimpinan Para Rasul, dan Nauvoo terus berkembang. Ini menyebabkan para perusuh berusaha keras untuk memusnahkan Gereja dan mengusir para Orang Suci. Para perusuh mencetak kebohongan mengenai para Orang Suci dalam surat khabar. Gabenor Illinois tidak mahu menghentikan para perusuh. Para Orang Suci sedar bahawa mereka tidak akan merasakan kedamaian kecuali mereka meninggalkan Nauvoo. Gabenor mencadangkan mereka berpindah ke barat, di mana mereka jauh dari musuh dan boleh menubuhkan kerajaan mereka sendiri. Akhirnya, para Orang Suci setuju untuk pergi, tetapi mereka memerlukan masa untuk bersedia. Para Orang Suci perlu mendapatkan makanan dan pakaian untuk perjalanan mereka. Mereka juga perlu membuat gerabak, membeli lembu dan haiwan lain, dan menjual rumah mereka. Orang Suci bekerja keras untuk bersedia meninggalkan Nauvoo. Para perusuh tidak mahu memberi masa kepada para Orang Suci untuk bersedia. Mereka mencuri barang-barang dan membakar beberapa rumah. Para Orang Suci merancang untuk meninggalkan Nauvoo pada April 1846, tetapi ancaman musuh menyebabkan mereka mula berangkat pada Februari semasa musim sejuk. Para Orang Suci meletakkan barang-barang mereka dalam gerabak. Kemudian mereka memandu gerabak ke atas kapal dan menyeberangi Sungai Mississippi. Lebih kurang dua minggu selepas para Orang Suci pertama meninggalkan Nauvoo, cuaca yang sangat sejuk menyebabkan sungai beku. Beberapa Orang Suci memandu gerabak mereka menyeberangi sungai yang beku. Orang Suci berkhemah di tepi sungai untuk beberapa hari. Sesetengah daripada mereka tidak mempunyai pakaian yang cukup dan berasa sangat sejuk. Sesetengah daripada mereka tidak mempunyai makanan yang cukup. Mereka yang mempunyai makanan dan pakaian yang cukup berkongsi dengan orang lain. Tidak lama kemudian para Orang Suci berpindah dan membuat perkhemahan lain. Brigham Young memilih para pemimpin yang membantu orang-orang bersedia untuk perjalanan ke barat. Para Orang Suci yang melakukan perjalanan ke barat dipanggil para perintis. Pada Mac 1846 para perintis mula melakukan perjalanan ke barat melintasi Iowa. Kemajuan mereka lambat kerana cuaca teruk, jalan laluan yang buruk, dan masalah-masalah lain. Brigham Young menghantar beberapa lelaki untuk berangkat dahulu untuk mencari tempat-tempat yang baik untuk mendirikan khemah. Para lelaki ini menebang pokok dan membuat kabin balak. Mereka juga menanam tanaman dan membina jambatan di sungai. Mereka memudahkan perjalanan bagi para perintis. Pada Jun 1846, lebih kurang empat bulan selepas meninggalkan Nauvoo, kumpulan pertama para perintis berjaya melintasi Iowa ke Sungai Missouri. Mereka berhenti di sebuah tempat bernama Council Bluffs dan membina sebuah kapal feri untuk menyeberangi sungai. Tidak lama kemudian, para Orang Suci lain turut tiba (lihat peta di halaman 190). Walaupun banyak Orang Suci telah meninggalkan Nauvoo pada Februari 1846, terdapat banyak lain yang tinggal untuk lebih lama. Sesetengah daripada mereka telah ditugaskan untuk menyiapkan bait suci. Para Orang Suci lain cuba menjual beberapa harta tanah. Menjelang September, kebanyakan Orang Suci telah meninggalkan kota. Apabila para Orang Suci meninggalkan Nauvoo, mereka memandang ke seberang sungai dan melihat kota indah mereka, dengan bait suci di atas bukit. Mereka sedih untuk pergi, tetapi mereka gembira mereka telah menyiapkan bait suci Tuhan. Pada bulan-bulan seterusnya, kebanyakan Orang Suci yang meninggalkan Nauvoo berasa terlalu sakit, miskin, atau tidak bersedia untuk melakukan perjalanan. Ratusan dari mereka tercerai-berai di sepanjang tepi sungai dan mempunyai sedikit tempat teduh atau makanan. Tetapi Tuhan membantu mereka dengan menghantar kawanan burung kecil dipanggil burung puyuh, yang mereka dapat tangkap dan makan. Apabila Brigham Young mendengar tentang masalah para Orang Suci, dia menghantar beberapa orang lelaki untuk menyelamatkan mereka. Para lelaki ini menyelamatkan mereka dari kelaparan dan membantu mereka melakukan perjalanan ke Council Bluffs dan tempat-tempat lain di Iowa di mana para Orang Suci berkhemah.